Friday, January 20, 2012

Isilah Kekosongan Itu


Bismillahirrahmanirraheem...

JIWA KOSONG

Pernah rasa jiwa kosong? Melihat apa yang di depan mata hanya sebagai
suatu yang tiada ertinya buat diri sendiri...Semua di sekeliling tiada
kaitan dengan diri...Hambar, tiada makna...

Jiwa itu fitrahnya menuntut diisi oleh sesuatu. Fitrahnya mahu mencari
apa yang hilang.

KITA ADA MISI?

Ya, kita berada di dunia dengan suatu misi... Mencari yang Maha Satu!
Cinta hati kita yang mungkin hilang ketika kita lahir di dunia...
Maksudnya?
Ingat tak, sebenarnya jiwa kita atau roh kita sebenarnya berada dekat
dengan ALLAH sebelum roh-roh kita ditiupkan ke dalam jasad yang
dikandung ibu kita?Dan kita telah berjanji akan mencariNYA di dunia
ini...seperti firman-NYA dalam surah al-A'raf,172

'Dan ingatlah ketika Tuhanmu mengeluarkan dari sulbi (tulang belakang)
anak cucu Adam keturunan mereka dan ALLAH mengambil kesaksian terhadap
roh mereka (seraya berfirman),
"Bukankah AKU ini Tuhanmu?"
Mereka menjawab, "Betul (ENGKAU Tuhan kami), kami bersaksi."
(KAMI lakukan yang demikian itu) agar di akhirat kelak kamu tidak
mengatakan, "Sesungguhnya kami ketika itu lengah terhadap ini."
(Al-A'raf :172)

ALLAH telahpun mengambil kesaksian itu daripada kita!

Bahawa kita hanya akan mengesakan DIA dalam hidup kita yang sementara di dunia.

Bahawa kita akan mencari cahaya hidayahNYA sepanjang perjalanan hidup
kita ini.

Bahawa cintaNYA lah yang akan menjadi dambaan kita.

Bahawa rindu padaNYAlah yang akan memenuhi jiwa raga kita...

Namun, sila berhati-hati!

Dunia, tempat persinggahan kita semua ini
ada tarikan yang hebat yang mungkin membuat kita lupa misi kita
mencari-NYA di dunia ini.

Pabila matlamat sudah melencong daripada landasan sebenar, maka jiwa
itu akan hilang arah...
Hilang tujuan...
Mudah sekali merasa kosong...

Lalu jiwa yang tersesat tanpa bimbingan itu akan mencari-cari sesuatu
yang lain untuk diisi dalam jiwanya.
Kaburlah matanya oleh perhiasan dunia...
Sehingga jiwa itu gembira dengan suatu yang sementara sifatnya,
sehingga terlupa jiwa itu perlukan RABBnya...

Tuhannya...


Penciptanya..

Pemeliharanya...

Terlupa bahawa ALLAH lah yang dicarinya...

Sehingga jiwa itu gembira dengan suatu yang membinasakan dirinya...
Jatuhlah hamba ALLAH itu dalam lembah kemaksiatan dan kemurkaan ILAHI...


ISILAH JIWA ITU

Maka, isilah jiwa itu dengan cahaya ILAHI...

Itulah salah satu kandungan doa rabithah kita ; ya ALLAH, penuhkanlah
piala hati kami dengan cahaya Rabbani-MU.

Ya, kita perlukan cahaya rabbani itu untuk memenuhi piala hati kita...
Kerana, jika tidak akan ada sesuatu yang lain akan memenuhinya...

Mari sama-sama penuhkan hati kita dengan ingatan kepada ALLAH
(zikrullah) dan mengajak jiwa-jiwa lain meletakkan ALLAH ke dalam
jiwa-jiwa mereka...
Mari lakukan apa-apa sahaja yang boleh membawa jiwa kita dekat kepadaNYA...

Isilah, jangan dibiarkan jiwa itu gersang tanpa mengingati janji dan
cahaya hatinya >> ALLAH...

Saturday, January 7, 2012

Harus Mula Berfikir untuk Berkorban

Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Maha Penyayang

PENGORBANAN
Hidup adalah perjuangan. Perjuangan sentiasa akan menuntut pengorbanan. Bezanya, pengorbanan itu dilakukan oleh kita sendiri atau orang lain yang melakukan pengorbanan untuk kita.

Dalam usaha mencari redha dan cinta ALLAH, itu adalah suatu perjuangan. Maka, tatkala hati kita memilih untuk mencari cinta itu dalam kehidupan kita harus sedar bahawa ada pengorbanan yang mesti kita lakukan.

Bukanlah dinamakan sebuah pengorbanan bila ia adalah suatu yang mudah untuk kita lakukan. Di situ, kita harus sedar bahawa pengorbanan itu selalunya pahit tatkala dilakukan... Namun, alangkah indahnya bila kepahitan yang ditelan itu ALLAH berjanji akan membalasnya dengan nikmat terbesar yang tiada bandingan dan tiada terbayang dek akal; syurga-NYA.

Sepanjang aku berkenalan dengan jalan ini, aku lihat pelbagai pengorbanan orang sekeliling.
Teman-teman yang menyambut kehadiranku tika daku melawat, yang menyediakan masakan, yang menjadi teman ketika melawat persekitaran...
Pengorbanan untuk bermusafir berbatu-batu demi menghadiri majlis ilmu untuk menambah kefahaman tentang islam dan dakwah, sendirian. Merentas sempadan daerah dan negara, tanpa ragu..
Yang sanggup menerima kehadiran tetamu ketika diri sedang sibuk bersiap sedia untuk peperiksaan etc...
Ada juga temanku yang sanggup mengorbankan beratus-ratus wangnya demi melaksanakan amanah yang dipinta untuk sama-sama membuka mata akan tanggungjawab sebenar sebagai seorang hambaNYA...

Semoga aku jua terus hidup dalam perjuangan ini, kerana perjuangan ini pasti menuntut diri ini berkorban... Berkorban harta, masa dan tenaga hanya semata-mata untuk mencari cinta-NYA...


MANGSA KEADAAN
Aku mendengar cerita-cerita teman-teman yang bermusafir ke negeri orang. Ada yang pergi ke negara majoriti penduduknya adalah muslim dan melihat bahawa islam itu tidak terlaksana dengan syumulnya. Ada yang ke negara yang dulu islam pernah gemilang dan akhirnya tumbang, melihat betapa daifnya kehidupan umat islam.. Suatu kontradiksi; melukut di tepi gantang di tanah yang dahulunya islam pernah gemilang

Aku juga mendengar berita-berita hangat tentang betapa jauhnya muslimin hari ini dengan islam yang syumul, kamil dan mutakamil. Bila zina dianggap biasa, bila menjadi muslim itu cukup dengan hanya mendirikan solat dan puasa ramadhan dan zakat dan haji... Bila perkara yang di luar fitrah dianggap sesuatu yang memenuhi kehendak diri... Bila hukum ALLAH jadi bahan debat...

Kita semua tidak bersalah kerana kita adalah mangsa keadaan, saat kita masih belum mengetahui bahawa semua kerosakan dan keberantakan masyarakat ini adalah suatu agenda musuh yang cukup-cukup teliti dan tersusun...

Namun, rasa bersalahlah jika telah mengetahui bahawa rosaknya ummah hari ini adalah kerana segala perancangan yang super terancang itu dibiarkan terus meracuni diri, keluarga, teman dan jiran tetangga.


PENGORBANAN MEREKA
Nabi dan para sahabat berkorban semampu mereka; sehingga mereka semua syahid di bumi asing, bukan di bumi kelahiran mereka... Nabi SAW yang kita cintai berasal dari Mekah namun wafatnya di bumi Madinah. Saad bin Abi Waqas kuburnya di China. Abu Ayyub Al-ANsari dikuburkan di kubu Constantinople. Zaid bin Harithah,Jaafar bin Abi Thalib, Abdullah bin Abi Rawahah pula syahid di medan Mu'tah di
bumi Syam.. Dengan segala pengorbanan inilah islam tersebar luas ke seluruh penjuru dunia dan terus kekal hingga hari ini, islam itu bersama kita kini...

Bukan hanya sahabat-sahabat yang lelaki, bahkan sahabiah-sahabiah turut melakarkan sejarah membantu memperjuangkan islam.. Antara kisah paling aku kagumi, bagaimana ALLAH memilih wanita istimewa ini iaitu Asma' bin Abu Bakr sebagai salah seorang penyumbang berjayanya hijrah. Bagaimana pengorbanan wanita berjiwa kental ini untuk membekalkan makanan buat ayahanda dan Rasul yang dicintai, meredah sahara seorang diri... masyaALLAH!

Pengorbanan golongan musuh islam juga tidak kurang hebatnya... Jika islam meninggalkan ketamadunan ilmu untuk diwarisi oleh para saintis hari ini dan arkitektur indah yang memuji ALLAH, pengorbanan golongan musuh islam ini juga tak kurang hebatnya... Hinggakan hari ini jiwa nasionalism yang ditanam masih teguh berakar dalam hati muslimin menyebabkan izzah islam wal muslimin itu seolahnya terhakis sungguh daripada jiwa-jiwa muslimin; hingga perjuangan untuk membebaskan Al-Aqsa iaitu perjuangan mempertahankan tanah suci dianggap sebagai sebuah perjuangan mendapatkan sebuah negara berdaulat...Tidak, tidak! Persaudaraan kita adalah persaudaraan yang terikat oleh aqidah, bukan hanya kerana sempadan geografi atau politik. Betapa hebatnya ghazwul fikr (perang pemikiran) yang dilancarkan dan melekat di jiwa muslimin hari ini...


PERANAN KITA
Sekiranya sudah ada titik kesedaran dalam diri tentang rosaknya ummah dan diketahui puncanya, adakah kita masih mahu berdiam diri,terus melayani perasaan sendiri tanpa mula berfikir tentang perasaan insan-insan sekeliling dan mula memahami mereka, hanyut dengan cerita-cerita diri tapi melupakan cerita-cerita penindasan saudara-saudara kita di pelbagai negara islam lain...

Ummah ini jadi lemah kerana islam hanya di kulit, bukan lagi yang mewarnai diri dan jiwa. Bila islam terhakis dari jiwa, maka syaitan akan menguasai dan menjadikan terasa indah segala perkara yang buruk. Saat itu, tercabutlah pergantungan total kepada ALLAH dan ketundukan sebenar yang merupakan syarat utama untuk kita berada di puncak kemuliaan.

Maka, marilah kita sama-sama membina iman dan kefahaman islam yang benar dalam diri agar kita mampu menjadi agen perubahan dalam keluarga dan masyarakat. Agar kita juga dapat menyebarkan kefahaman dan tasawur islam yang murni dan benar kepada seluruh umat islam, kerana hari ini umat islam telah diperdaya dan dipesongkan daripada kebenaran.


Ini peringatan buat diri agar mensibghahkan diri dengan sibghah ALLAH. Buktikan dengan amal, bukan hanya banyak bicara...Ya ALLAH, mudahkanlah!

^^ Murnikan niat, hanya keranaNYA...teruskan langkah dgn bimbinganNYA ^^

Friday, January 6, 2012

Medic, seriously? (0_o)

Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Maha Penyayang

1st of all, don't expect this post to be in english... ;)

Sekarang sudah masuk tahun ketiga aku di sini, di bumi Olomouc,Czech Republic untuk menimba ilmu perubatan aka kedoktoran.
Dua tahun sudah berlalu... Dua tahun mempelajari perkara-perkara teori, tahun ini akan memasuki fasa transisi menuju kepada klinikal. Anatomy, physiology, biochemistry, biology, biophysics; semuanya adalah ilmu-ilmu asas yang diperlukan untuk memahami subjek-subjek klinikal...

Pada tahun ketiga ini, sudah mula belajar pathophysiology, pathology, microbiology...aku termuhasabah...

Sejauh mana ilmu-ilmu yang aku pelajari 2 tahun sebelum ini benar-benar aku kuasai untuk aku menghadapi subjek-subjek klinikal yang aku sudah mula pelajari semester kelima ini?

Sejauh mana masa dua tahun yang sudah berlalu itu aku gunakan dengan sebaiknya?

Jawapannya..
AKU MASIH BELUM SERIUS...

Astaghfirullah 3x... Ini sungguh pengakuan yang memalukan diri sendiri... Namun, walaupun pahit kebenaran itu harus ditelan jua... Dan jika mahu jadi mukmin yang beruntung, hari ini harus lebih baik daripada semalam... Kata orang putih,'There's still room for improvement.'

Bila Perlu Serius?
Untuk menjadi seorang doktor atau pengamal perubatan, ia adalah suatu perkara serius! Ada tanggungjawab besar yang tergalas. Saat kita memilih jalan ini (karier sebagai seorang doktor), kita sebenarnya telahpun secara tidak langsung mengikat diri dengan sebuah perjanjian bahawa kita akan serius!

Premis 1 : How can we play with human life?
Premis 2 : A doctor deals with human life.
Conclusion : How can a doctor plays with human life?

huhu... Seorang pelajar perubatan ialah seorang bakal doktor. Sebagaimana seorang doktor harus serius dalam segala keputusan dan diagnosisnya terhadap seseorang pesakit, begitulah seorang pelajar perubatan harus serius dalam setiap ilmu perubatan yang ditimbanya!

Serius yang Bagaimana , ye?
1) Harus cuba memahami bukan sekadar menghafal fakta.
Beware! Dalam bidang ini, anda akan menemui ribuan fakta penting yang perlu diketahui dan diingati... Sebaiknya, fakta-fakta ini bukan hanya diingati untuk tackle soalan peperiksaan. Fahamilah setiap benda yang dipelajari supaya ia lebih mudah diingati dan lebih bermanfaat untuk masa depan. Kerana target kita bukan hanya mahu menghabiskan 12 semester di medical school, tapi kita sedang mempersiapkan diri untuk sebuah karier penting iaitu mengubati pesakit-pesakit.

2) Harus tumpukan perhatian ketika dalam kelas & tutorial.
Jangan main handphone atau dengar muzik. Maksimakan perhatian supaya nanti senang bila nak ulangkaji. Bolehlah bertanya jika tak faham. Kalau segan nak tanya di khalayak ramai, boleh juga tanya pensyarah selepas lecture tu atau set masa untuk buat consultation.

3) Hadiri lecture dan tutorial dengan niat untuk menuntut ilmu dengan cikgu tu, tak kira cikgu tu best atau tak..
Bila namanya cikgu, pasti ada ilmu di dadanya yang boleh kita ambil. Teringat kata seorang teman, 'ilmu itu suatu yang mulia,maka muliakanlah penyampai ilmu itu.'
Kerana islam sendiri mengajar kita untuk menghormati pengajar atau penyampai ilmu.

4) Perlu sentiasa perbaharui niat
Ini persoalan paling utama untuk kita membina keseriusan dalam diri. Dalam setiap perbuatan kita, sedarilah bahawa semuanya akan dihisab. Sedarilah bahawa kita sendiri perlu jelas mengapa kita melakukan ini. Bimbang jika kita tidak jelas, kita akan senang terayun oleh arus dunia dan kelalaian sehingga kita tergelincir daripada tujuan sebenar kita berada di sekolah perubatan ini. Sehingga kita tidak belajar untuk menjadi seorang doktor, sebaliknya kita belajar untuk menghabiskan semester.

Kemuliaan Ilmu
Apa jua ilmu, sebenarnya adalah ilmu ALLAH. Mengapa ilmu itu suatu yang dianggap mulia? Kerana ilmu sepatutnya membawa kita mengenal kebesaran dan kesempurnaanNYA. Ilmu adalah antara ayat-ayat (tanda-tanda) ALLAH.
Jika kita rasa seronok mencari ilmu, kita sebenarnya sedang seronok menuju kemuliaan. Dan kemuliaan tertinggi ialah kemuliaan ALLAH kepada hambaNYA yang beriman... Ilmu sepatutnya menambahkan iman seterusnya membuka jalan kepada kita untuk meningkatkan amal soleh kepada ALLAH.

BE SERIOUS, now or never!
Kemuliaan itu suatu yang serius!
Ilmu itu serius!
Menjadi seorang pelajar perubatan itu serius!

Firman ALLAH dalam surah Abasa ayat 23,
'Sekali-kali jangan begitu! Dia (manusia) itu belum melaksanakan apa yang DIA (ALLAH) perintahkan kepadaNYA.'

Bagiku, ini satu peringatan pendek yang menggoncang jiwa bahawa 'aku masih belum serius!'
Hidup di dunia ini adalah untuk melaksanakan tugas sebagai hamba dan khalifah yang akan memakmurkan alam dengan kesejahteraan islam. Maka, keberadaan kita di sekolah perubatan ini sepatutnya selalu berorientasikan tujuan ini... Tujuan penciptaan kita ialah apa yang ALLAH sebutkan dalam ayat di atas sebagai 'apa yang DIA (ALLAH) perintahkan kepadaNYA'.

Keseriusan ; harus bermula dari saat diberikan kesedaran! Mulalah untuk serius di jalan ini... Kerana ini jalan menuju redha dan cinta ILAHI...

Jika ditanya,
mengapa mahu serius dalam studimu?

Akanku jawab,
kerana aku cinta... cinta kepada ALLAH; yang telah memberikan segala nikmat terbaik untukku di dunia ini... yang telah menyediakan semuanya untuk aku berusaha menggapai cintaNYA...

How can we be not serious on this really big matter (searching for ALLAH's love)?

^^ Murnikan niat, hanya keranaNYA...teruskan langkah dgn bimbinganNYA ^^

Tuesday, January 3, 2012

Pesan Pendek

Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Maha Penyayang

Kita tak boleh biarkan diri dalam keadaan jahil
Maka, harus menuntut ilmu dan belajar...

Ilmu bukan untuk disimpan sendiri
Sebaliknya harus memberi manfaat kepada diri dan orang lain...
Maka, harus AMALkan ilmu dan SEBARKAN kepada insan-insan lain tentang apa yang diketahui...

Kadangkala untuk menyebarkan lebih mudah daripada mengamalkan sendiri...

Kerana itulah, kata orang;
Medan kata-kata lebih luas daripada medan amal, lantaran itu tidak ramai yang berkata-kata mampu menterjemahkan kata-katanya kepada amal..

p/s : Banyak cakap, banyak amal = bagus,
banyak cakap, sikit amal = bahaya,
sikit cakap,banyak amal = bahagia...

ya ALLAH, bantulah hambaMU ini mentaatiMU dan mencari keredhaanMU...

^^ Murnikan niat, hanya keranaNYA...teruskan langkah dgn bimbinganNYA ^^