Friday, November 8, 2013

Hijau Selepas Hujan

Subhanallah, masyaALLAH.. Pemandangan yang indah. Bumi yang beberapa bulan lalu putih diselimuti salji kini menghijau dan berwarna-warni. Pepohon yang menghijau dengan berbagai tona, menyerikan bukit-bukau di kiri kanan landasan keretapi. Hamparan kuning yang menghias tambah mengindahkan. Langit nan biru berhias awanan bergumpalan. 

Pasti.. Pasti menimbulkan sebuah ketenangan yang cukup luar biasa.

Diberikan peluang olehNYA untuk melihat sendiri fenomena perubahan musim di tengah benua Eropah ini cukup menginsafkan jiwa. Dedaun berguguran di musim luruh untuk menyediakan tumbuhannya agar bisa terus hidup dalam musim sejuk yang kurang matahari dan suhu rendah. Setelah hujan turun memberikan bekal, lalu musim pun berubah. Musim sejuk melanda dan salji memenuhi bumi. Kadangkala turunnya banyak, kadangkala sedikit. Hujan lagi dan bunga-bunga mula tumbuh dan mekar di padang. Musim bunga pun tiba!

Sungguh, aku kagum pada DIA yang Maha Menciptakan, Maha Menghidupkan.

Tika itu, aku merenung kepada diri sendiri. DIA telah menghidupkan daku di bumiNYA. Alhamdulillah. 

Bahkan DIA telah memberikan daku sebuah pengertian kehidupan yang luar biasa istimewanya. Ketika DIA menyapaku dengan hidayahNYA.

Manusia diciptakan terdiri daripada fizikal dan rohani; jasad dan ruh. Tanpa ruh, tidaklah jasad manusia itu hidup. Untuk kehidupan kedua-keduanya ada keperluan yang perlu dipenuhi. Jasad perlukan makanan, kita tak mudah melupakan keperluan jasad tapi kita seringkali mengabaikan keperluan ruh. Pabila berbicara tentang kehidupan, teringatku kepada sepotong ayat yang bagiku mengandung makna yang sangat mendalam untuk dihayati.


Wahai orang-orang yang beriman, sahut dan sambutlah seruan Allah dan seruan RasulNya apabila Ia menyeru kamu kepada perkara-perkara yang menjadikan kamu hidup sempurna; dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah berkuasa mengubah atau menyekat di antara seseorang itu dengan (pekerjaan) hatinya, dan sesungguhnya kepadaNyalah kamu akan dihimpunkan.

Sungguh, seruan ILAHI melalui para RasulNYA iaitu agar manusia mengesakan DIA dan hidup mengikut syariatNYA adalah seruan yang akan menghidupkan manusia dengan erti hidup yang sebenar.

Tanpa kita sedar, meninggalkan syariatNYA akan menjadikan jiwa kita kosong dan kehilangan arah. Kita akan sentiasa cuba mencari bagaimana kita hendak mengisi kehidupan kita dan sekiranya kita tersalah membuat pilihan akhirnya akan kecundanglah kita. Akan hanyutlah kita dalam pujukan duniawi (anak,isteri,harta,pangkat dan kuasa etc) sehingga fitrah untuk tunduk kepada Tuhan yang Esa itu akan terkambus oleh keinginan hawa dalam diri.

Ibarat air yang menghidupkan tanah yang tandus sehingga menjadilah tanah itu subur dan mengeluarkan hasil yang bermanfaat, begitulah siraman hidayah ILAHI kepada hati-hati yang kosong. Semoga iman akan terisi dalam hati-hati kita agar kehidupan kita rasa terpandu dan bermatlamat kerana tanpanya akan gelaplah jalan hidup kita.

Percayalah, menyambut seruan ILAHI itu akan memberikan kita kehidupan. Hati kita akan mampu merasakannya. Jasad kita akan merasakan tenaga luar biasa untuk mentaati perintahNYA dan meninggalkan laranganNYA.

Namun, kebenaran dan kebatilan itu akan sentiasa bertentangan. Jadi, bersiap sedialah menghadapi bisikan syaitan dan godaan duniawi yang akan menarik-narik kita keluar daripada landasan kehidupan itu. 

Percayalah, tergelincirnya kita daripada landasan kehidupan itu akan melelahkan kita tanpa kita sedar, walaupun ia seolah memberikan kita suatu kepuasan. Mungkin jiwa kita tak merasakan lelahnya tetapi fitrah kita meronta dan tersiksa dengan keingkaran kita kepada DIA.

Ya ALLAH, semoga hati ini sentiasa kuat memilih untuk menyahut seruanMU yang menghidupkan. Tawakkalna a'lallah.