Tuesday, July 22, 2014

Ramadhan Jangan Pergi

Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Maha Penyayang

Ramadhan ini bulan doa; maka hiaskan hari-harinya dengan doa
Ramadhan ini bulan membuat perubahan; pada diri dan keluarga
Ramadhan ini bulan membersihkan; fizikal dan rohani
Ramadhan ini bulan menyuburkan kasih sayang; cinta kepada Ilahi dan silaturrahim sesama insan
Ramadhan ini bulan rahmat yang melimpah; maka jangan diundang murkaNya

Sekarang kufahami mengapa puasa disifatkan Allah sebagai sebuah ibadah yg sangat istimewa di sisiNya
Menahan diri daripada sesuatu yang halal kerana Allah
Itu tidak semudah ABC
Jika bukan Dia nombor satu di hati

Ketika hati dan diri meletakkan Dia sebagai yang tertinggi dan terutama
Maka selayaknyalah cinta itu dibalas dengan neraca cintaNya jua
Yang tidak pernah kita tahu justeru hanya Dia

Tika bulan sudah penuh tanda separuh Ramadhan telah berlalu
Dan kembali menyabit tanda makin mendekati tibanya Syawal
Lantas kita bersuka-suka menyambut ketibaannya Syawal hingga terlupa Ramadhan kian ke penghujung
Penghujung yang sering membuatkan menitisnya air mata para sahabat baginda SAW
Sedang kita sibuk memasang panjut dan membuat kuih raya dan menjahit baju raya
Sehingga terlupa bahawa bukan itu sandarannya Aidilfitri

Kerna Aidilfitri adalah hari kemenangan setelah berjuang mendidik nafsu tanpa gangguan syaitan
Kerna Aidilfitri adalah hari kemenangan setelah menyuburkan benih cinta yang mendalam kepada Ilahi
Kerna Aidilfitri adalah hari kemenangan setelah menanam iman dan taqwa yang mekar sebagai bekal untuk 11 bulan mendatang
Kerna Aidilfitri adalah hari kemenangan setelah membersihkan jiwa dan raga daripada segala keburukan dan penyakitnya
Kerna Aidilfitri adalah hari kemenangan setelah hati kita diikat oleh kasih sayang sesama insan dengan saudara-saudara seaqidah dan caknanya kita dengan ceritera mereka

Walau Ramadhan ini saksi segala cerita luka; Gaza, MH 17, Mesir dan Syria dll
Yang berbaki masih ada untuk kita kejar rahmatNya
Semoga pada Syawal nanti lahir seorang lagi pencinta Ilahi, pejuang sejati yang cintanya kosong untuk dunia

^^ Murnikan niat, hanya keranaNYA...teruskan langkah dgn bimbinganNYA ^^