Monday, February 11, 2013

Syukurku

Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Maha Penyayang 

Renung kiri dan kanan; pakaian dalam beberapa almari, bantal dan katil yang selesa, pinggan mangkuk yang tersusun rapi di raknya, bilik mandi yang mewah dan berfungsi dengan baik.. 

Patut kata apa?
Alhamdulillah.. syukur lillah..

Renung ke dalam skrin telefon; telefon sentuh skrin, punya kamera cantik, mudah menghubungi keluarga yang jauh di mata dengan Skype yg ada dalam android. 

Patut kata apa?
Alhamdulillah.. syukur lillah..

Buka dompet; ada duit beberapa keping yang mencukupi untuk sebulan lebih belanja, ada kad diskaun untuk pasaraya-pasaraya, ada kad debit yang ada beberapa ribu matawang.

Patut kata apa?
Alhamdulillah.. syukur lillah..

Pejam mata; nampak ibu ayah dan adik-beradik, terbayang wajah sahabat-sahabat dan guru. Insan istimewa di hati..

Patut kata apa?
Alhamdulillah.. syukur lillah..

ALLAHU AKBAR! Rupa-rupanya banyaaaaak sekali nikmat-nikmat yang ALLAH kurniakan kepada kita untuk kita ... 
SYUKURI!

Sedarkah kita bahawa semua yang kita ada hari ini, tatkala ini adalah nikmat kurniaan ILAHI? 
Kalau belum tersedar, JOM rasainya! 

Katakan dengan lidahmu, kepada hati & fikirmu ; ALHAMDULILLAH, syukur ya ALLAH untuk semuuuuuuuuua nikmat yang ENGKAU kurniakan kepadaku! 

Eh, tapi ada lagi lah nikmat yang ALLAH kurniakan kepada kita!!?

Oh? 

Yeszaaa.. Serius! 

Itulah IMAN dan ISLAM. 

ALLAHU AKBAR! 

Bagiku, iman & islam itu hanya benar-benar kurasakan sebagai sebuah nikmat kurniaan ILAHI adalah setelah daku berkenalan dengan cik TnD..

TnD?

oh..itulah Tarbiyah dan Dakwah.. 

Subhanallah! Rupanya TnD juga adalah nikmat ALLAH untukku! 

Ya, tidak pernah kuminta dikurniakan nikmat tarbiyah dan dakwah ini. 

Pernah saja hati ini berbolak-balik, rasa berat dan tak mampu. 
Namun, tadaburku pada ayat-ayatMU seringkali menarik hatiku yang cenderung untuk gelincir agar teguh berjalan di atas jalan tarbiyah dan dakwah ini. 
Namun, sirah anbiya dan kisah sahabat seringkali mengejekku yang kadangkala jadi lemah. Tapi, selalunya kisah mereka buatku cemburu untuk jadi semurni,seikhlas,setegar hati mereka.
Namun, kata-kata hikmah para pejuang dalam tulisan-tulisan mereka sering membuat aku malu dan menjadikan aku teringin mengikuti langkah mereka.
Namun, insan-insan yang ENGKAU hantarkan untuk membawaku berkenalan denganMU di jalan tarbiyah dan dakwah ini tak pernah henti menghulurkan tangan mengajakku bersama mereka mengejar keredhaanMU di jalan ini. 

Sungguh, kedua-duanya (tarbiyah dan dakwah) juga adalah nikmat ALLAH untukku syukuri. YES, absolutely! Kena syukuri hadirnya kedua-dua nikmat ini dalam hidupku! 

MENSYUKURINYA
Untukku syukuri nikmat TnD yang ALLAH kurniakan ini, aku tahu bukan hanya dengan kata-kata bahkan harus dibuktikan dengan perbuatan. 

Sujud syukurku untuk semua yang telah dikurniakan-NYA kepadaku.. Apa salahnya, untuk setiap hari bersujud syukur atas nikmat dakwah dan tarbiyah yang diberikan oleh ALLAH ini. 
JOM! *angkat kening 2x*

Bersungguh-sungguh merelakan diri ditarbiyah dan mentarbiyah, bersungguh-sungguh melaksanakan amal dakwah; ya, itu juga tanda syukur,insyaALLAH!

Mempertahankan keduanya di penjuruku adalah tanda syukurku. 

Dan masih banyak lagi yang perlu kulakukan untuk membuktikan syukurku.. (even yang telah cuba dilakukan pun masih terlalu banyak kekurangannya).

ya ALLAH, bantulah diri ini mensyukuri nikmat tarbiyah dan dakwah ini! 

#yang masih berusaha menjadi hamba yang bersyukur#


^^ Murnikan niat, hanya keranaNYA...teruskan langkah dgn bimbinganNYA ^^

Monday, February 4, 2013

Aku Telah Dilamar

Bismillahirrahmanirraheem

FITRAH 
Fitrah itu menghiasi kejadian kita sebagai seorang manusia. Fitrah itu telah diletakkan dalam diri kita oleh yang Maha Bijaksana. Ia memandu insan mencari kebenaran dan Tuhannya sebagaimana magnet yang akan mencari besi. 

Kerana DIA telah menciptakan makhluk-NYA berpasang-pasangan, maka kecenderungan terhadap gender lain adalah suatu fitrah. Tambahan pula ketika umur sudah mencapai peringkat yang sesuai (usia remaja dan  dewasa) dan melihat sahabat-sahabat lain yang telahpun berumah tangga, keinginan ini semakin dirasai. 

Ketika kita rasa kita tidak mempunyai sesiapa (takde orang minat,tiada orang melamar, tiada orang yang kita suka etc), kesepian pula menyapa hingga kita mungkin menjadi stresss dan murung. 

Diriku juga punya fitrah itu.

'DIA'
Dalam umur mudaku ini, aku bersyukur kerana aku telah berkenalan dengan'nya'. Sedikit sebanyak, semakin aku mengenali in-out si 'dia'. 'Dia' telah membawaku menjelajah dunia & berkenalan dengan rakan karibnya. Adakalanya kurasakan juga bosan asyik bersamanya. Tapi, suatu hari aku melihat sendiri bagaimana dia diuji. Dan aku merasakan betapa lemahnya diriku dalam mempertahankannya. 

Ketika ini, jiwaku berperang. 

Antara fitrah & 'dia'..

Aku lantas tersedar, biarlah dulu fitrahku itu. Tiba masanya, ALLAH akan kurniakan aku kekuatan & ALLAH akan mudahkan jalannya. Yang aku tahu, aku telahpun dilamar si 'dia' sejak awalku berkenalan dengannya. 

Moga ikatan ini terus bersemi dan subur di hati, tidak dikaburi ikatan-ikatan lain.

p/s: Memoria fitnah kepada saudara dakwah di Indonesia.

Wednesday, January 30, 2013

Andai Terasa Berat

Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Maha Penyayang

Sudah lama laman ini kutinggalkan. Alhamdulillah, ALLAH melorongkan hati ini untuk kembali mengisi ruang yang ada dengan sedikit kesempatan waktu yang dikurniakanNYA.

RASA HATI
iA, kali ini ingin sekali kubicarakan rasa hati ini. Ya, aku tak mahu rasa ini hilang ditelan masa dan kesibukan dengan pelbagai urusan yang memenuhi diari hari.

SEBUAH PERKENALAN
Telah sekian lama aku berkenalan dengan jalan ini, sebuah jalan suci dan utama. Sebuah jalan yang menyucikan diriku dan jalan yang menyelamatkan daku daripada kenistaan dunia. Aku bersyukur atas perkenalan ini. Benar, setiap kali aku teringat bagaimana aku berkenalan dengan-MU di atas jalan ini aku pasti akan tersenyum dan hatiku akan sebak memikirkan Engkau sudi memilih diri ini.

Siapalah diri ini untuk berada bersama gerabak dakwah ini. Siapalah diri ini untuk sama-sama menggerakkan dakwah di sisi hamba-hambaMU yang jaaaaaauhhhhh lebih hebat amalnya, yang jaaaaauhhhhh lebih dekat hubungannya denganMU, yang jaaaaauhhhhhhhhhh lebih, lebih, lebih baik daripada diri ini.
Ya, terlalu banyak kekurangan yang ada.

Namun, tika Engkau telah menerbitkan rasa untuk berdakwah dan komited terhadap tarbiyah, apakah harus aku berpaling? Bukankah berpaling itu tanda sombongnya diri, tanda tidak mahu mensyukuri nikmat yang disediakan untuk hambaMU?

KEPAHITAN
Jalan yang menyucikan ini ditempuh dengan segala keindahan dan kepahitannya. Pahitnya berubah-ubah namun manisnya selalu bertambah.

Adakalanya pahit itu benar-benar mencengkam sehingga langkah jadi lemah. Saat itu, syaitan mula berlari-lari dalam salur darah dan menghasilkan impuls-impuls yang berbisik negatif; berpalinglah, tinggalkanlah, menjauhlah..

Adakalanya, pahit itu terasa begitu berat untuk ditanggung oleh dada. Sesak. Lemas.

ANDAI TERASA BERAT
Tika kepahitan itu melemahkan langkah, memberatkan kepala, menyesakkan dada; carilah masa seketika. Untuk apa? Untuk bersendirian dan berbicara denganNYA. Mohonkan kepadaNYA agar dikembalikan semula perasaan ketika mula-mula diri disentuh tarbiyah.

Ya, mungkin sahaja diri terpaut dengan tarbiyah dan dakwah ini kerana makhlukNYA; senior yang baik, ukhuwah yang sangat erat, dapat menjelajah negeri.

Tetapi, bukankah tarbiyah telah mengajar kita agar mengikhlaskan semuanya kerana DIA? Dakwah ini ialah seruan kepada ALLAH. Dakwah ini milik ALLAH. Jalan ini diatur oleh sunnatullahNYA. Lalu, adakah sebarang ruang untuk kita letakkan sebab-sebab selain ALLAH dalam kita meniti jalan dakwah ini?

Jawapannya : Tiada

ALLAH itu Maha Esa, Maha Besar, Maha Berkuasa. Cukuplah asmaNYA menjadi penguat hati kita. DIA satu-satunya tujuan dan sebab. DIAlah yang berkuasa mengurniakan kita kekuatan dan petunjuk agar kita sentiasa lurus menujuNYA.

Ya, sucikan hati kita daripada asbab lain dalam mengharungi jalan dakwah ini. Di situlah kekuatan.

Dengan segala kesempurnaanNYA, hanya DIAlah penenang hati kita dan yang mampu menguatkan kaki kita untuk terus melangkah. Dengan segala kesempurnaanNYA, menjadi kecillah segala cabaran dan ujian.

#Dan kerana kadangkala aku lupa, Engkaulah satu-satunya sebab aku berada di jalan ini.
Wahai Dzat yang membolak balikkan hati, tetapkanlah hati-hati kami di atas jalanMU dan ketaatan kepadaMU.

 ^^ Murnikan niat, hanya keranaNYA...teruskan langkah dgn bimbinganNYA ^^

Tuesday, September 25, 2012

Mencari Tinta Cintaku

Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Maha Penyayang


RINDU YANG HILANGDengan nama kekasihku, kumulakan bicara yang sekian lama terpendam kerana kelu untuk berbahasa. Tiada kata mampu kuungkapkan untuk kubicarakan rindu dan cinta yang terasa hilang seketika dek hanyut memikirkan diri sendiri. Ketika datang ketukan dan percikan-percikan yang menyilaukan pandangan, membuatku tersedar bahawa daku tidak sendirian, bahkan punya tanggungan untukku fikir,belai dan jagai.. 

Tanggungan yang kuterima kerana telah mengikat hati dan diri dengan cinta ini. Cinta ini yang terlalu istimewa, sayangnya kadangkala kuabaikan dan kuletak di belakang bayang-bayang yang menggoda. Bayang-bayang yang mengajak aku meninggalkan cinta istimewa itu. 

LAKARAN CINTA MEREKA
Cinta ini bukan cinta yang baru tercipta. Bahkan ia cinta yang telah sekian lama menyuburkan dunia dengan kebaikannya. Mereka yang sudah berapa keturunan mewariskan cinta ini agar tidak terhapus dek hebatnya marak kebencian dan kesombongan hingga tiba padaku serpihan cinta itu. Saat aku disapa cinta yang diwariskan ini, aku tahu bahawa keasliannya harus kupelihara. 

Kisah-kisah cinta mereka itu masih bisaku baca. Mereka melakar cinta ini dengan segala yang mereka miliki.. Segalanya...
Nuh melakar cinta ini dengan segala kesungguhan walau lakarannya tidak dipandang bahkan diperolok-olok. Bayangkan juga betapa terlukanya jiwa seorang suami dan bapa ketika cintanya tidak disahut isteri dan anak yang dikasihi. 
Ibrahim melakar cinta dengan jiwa hamba yang sungguh-sungguh taat kepada Yang Maha Esa. Berilah apa jua perintah, pasti ditaati dan dilaksanakan dengan jiwa ketaatan, walau terpaksa berjauhan dengan yang tersayang atau hingga perlu mengorbankan jiwa.
Musa melakar cinta dengan kesabaran yang luar biasa terhadap segala kerenah kaumnya. Ya, sukar sekali baginda menanam cinta itu ketika jiwa-jiwa mereka mudah terikut-ikut dan terpengaruh oleh musuh cinta itu. 
Muhammad melakar cinta itu dengan segala kemampuannya menjadi contoh dan ikutan. Akhlak mulia dan kekuatan jiwanya menjadi kekuatan yang mengalir hingga cinta itu masih hidup hingga kini. 

TINTA CINTAKU
Ya, kerana cinta itu adalah cinta dari Yang Maha Hidup.. 
Akanku lakar juga cinta itu untuk kupersembahkan kepada Yang Maha Melihat. 
Mereka melakar cinta itu dengan darah dan keringat. Mereka melakar cinta itu dengan segala kemanusiaan dan fitrah. 
Moga lakaran cinta mereka bisaku manfaatkan untukku cari tinta cintaku.  



^^ Murnikan niat, hanya keranaNYA...teruskan langkah dgn bimbinganNYA ^^

Sunday, August 26, 2012

Statik, menyakitkan

Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Maha Penyayang

Statik itu sakit.

Ungkapan keramat dari seorang teman seperjuangan yang disampaikan ketika aku mula-mula bercuti. Berada jauh dari persekitaran yang menyokong kita untuk bergerak memang menguji mujahadah dan jiddiyah diri. Keinginan, kesempatan dan kemampuan memang tercabar untuk memastikan diri terus berputar bersama roda dakwah dan tarbiyah.

Mungkin jua bicara berbunyi lebih indah berbanding realiti sebenar. Maksudku, mungkin sahaja bicara kedengaran berapi-api dan berkobar-kobar namun amalnya masih begitu kecil dan sedikit. Astaghfirullah, moga Allah ampuni diri ini.

Ya, diri ini sedang bermuhasabah atas semua kelapangan dan tenaga yang dikurniakan Ilahi sepanjang cutiku kali ini.
Masih belum maksimum.. Itu sahaja yang boleh kukatakan.

Namun insyaALLAH, selagi masa masih dikurniakan ILAHI, selagi nafas masih bisa dihela, selagi darah masih mengalir di pembuluhnya, tak harus putus asa. Sebaliknya harus berusaha mengambil dan merebut segala peluang yang ada untuk memperbaiki resume kita di mata ALLAH!

Astaghfirullah, andai diri lebih sedar bahawa sakitnya statik bukan hanya pada diri sendiri bahkan akan menyakitkan orang lain, pasti diri akan mujahadah sedaya upaya untuk melawan daya yang menjadikan diri statik..

Semoga ALLAH sentiasa membimbing diri untuk jadi lebih baik.

Tawakkal a'lallah.

^^ Murnikan niat, hanya keranaNYA...teruskan langkah dgn bimbinganNYA ^^

Sunday, June 24, 2012

PPM & Euro

Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Maha Penyayang

Banyak yang ingin dikongsi dengan semua tentang perkembangan dunia. Namun, terasa ada halangan-halangan yang buatku tak berhasil menukilkan sesuatu untuk dikongsi. (Ah, mungkin ia sebenarnya adalah alasan sahaja.. Masa itu milik ALLAH. Mintalah ALLAH cukupkan masa untuk kita realisasikan apa yang kita mahu lakukan~!)

insyaALLAH, ini hanya sedikit lontaran fikiran untuk dikongsi..

Pilihanraya Presiden Mesir (PPM) & EURO 2012 
Let's see what's happening around us~
Di benua Eropah, kehangatan EURO 2012 di Poland berjaya menghantar gelombangnya ke seluruh pelosok dunia hingga ke ceruk-ceruk negeri di bumi Malaysia yang begitu kecil.

Di Timur Tengah, pilihanraya presiden sedang hangat berlangsung. Perjuangan rakyat Mesir untuk mendapatkan kebebasan dan keadilan seolah diejek oleh segala perancangan saki-baki Rejim Mubarak. Golongan pemerintah ini kelihatannya tidak mahu menyerahkan tampuk pimpinan kepada golongan lain (dipanggil golongan islamis)..

Kuku besi.. Sepertinya, kuku besi itu masih lagi bertahan tidak mahu mengalah untuk terus mencengkam kekuasaan yang dipegang. Sedang rakyat sudahpun bersuara menolak kekejaman kuku besi itu..

Seolahnya, suara rakyat yang mahukan revolusi dan pembaharuan itu diendahkan, mereka tutup telinga mereka daripada mendengar suara-suara itu. Mereka hanyut dalam keseronokan melihat darah orang yang menentang mereka. Mereka seronok melihat derita orang-orang yang berhajat menjatuhkan mereka daripada singgahsana kekuasaan.

Penting Ke?
Pentingkah untuk kita ambil tahu tentang perjuangan rakyat Mesir?
Pentingkah untuk kita ambil tahu tentang EURO 2012?

Apa agaknya neraca kita?
____

Kita berada di negara di mana berlakunya peristiwa besar ini? >dah ada kat sini, takkan nak jadi ignorant & noobs sgt about what's happening in your house?<
Kita memang sangat sukakan politik atau sukan bola sepak? >gua memang takleh tak ambil tahu pasal minat gua ni<
Semua orang sibuk sebut-sebut tentang dua event bersejarah ini? >well, it's historic dude! how can you just let it go..<

_____

Kaca Mata Kita

Sifirnya mudah saja..
1) Apa yang memenuhi kotak fikiran kita? Apa yang menjadi minat kita?
Yang kita minati itulah yang selalunya akan memenuhi kotak fikir dan ruang lingkup pemikiran kita.

2) Apa yang besar dan penting untuk kita?
Yang kita minati dan jadi suatu yang memenuhi fikir kita itulah yang akan jadi suatu yang besar buat diri kita.

Persoalannya ialah, apa neraca yang ALLAH mahu kita guna???? @_@
Semestinya neraca ALLAH!

Macam mana nak tahu neraca ALLAH itu yang bagaimana?
Mestilah harus merujuk sumber paling asli yang ALLAH jamin akan pelihara hingga ke akhir zaman; Al-Quran...
Nabi pun pesan; kalau berpegang pada Al-Quran dan sunnah, nescaya kita takkan sesat.
SO, PEGANGLAH, RUJUKLAH AL-QURAN & SUNNAH BAGINDA SAW.

Rasulullah SAW telahpun mengisyaratkan kepada kita bahawa tidak jika kita tidak berfikir tentang orang islam, Nabi tak mengaku kita sebagai sebahagian daripada kalangan baginda.
Fuhhhhhhhhh... Apa ek perasaan bila baca hadis baginda SAW ni?

Em...
Hurm...
Erk.. T_T

Of course lah harus bergetar seluruh sendi dan jiwa raga!
Nabi tak mengaku umat tu!!

Tak takut? Mungkin sebab tak rasa ada apa-apa kehilangan ye jika Nabi tak mengaku umat?
Mungkin harus disebut suatu perkataan ; SYAFAAT.

Di akhirat kelak, kita akan dihisab. Jom sama-sama renungkan, banyak mana, tinggi mana sudah kita beramal dalam umur kita yang sudahpun berlalu? Layakkah semua amal jadi tiket masuk syurga ILAHI?
Namun, ALLAH janjikan bahawa kita boleh dapat 'kabel'~ ala-ala recommendation gitu..
KABEL aka SYAFAAT! ~

Kalaulah baginda SAW dah tak mengaku kita sebagai umat baginda, bolehkah agaknya kita mendapatkan syafaat baginda??

...


Luaskan Horizon Pemikiran
Sebenarnya, kita harus sama-sama luaskan horizon pemikiran kita. Don't just stop and say yes to what dunya is providing and displaying to us! Coz dunya always cheats you~!

Luaskan; bahawa hidup kita bukan dunia sahaja.. Sebaliknya dunia ini adalah ladang menanam amal dan mencari bekal sedangkan akhirat tempat kita akan dihisab dan ditentukan mana tempat akhir kita akan berkampung (syurga atau neraka).

Carilah medan amal yang bisa memberi manfaat kepada diri dan ummah.

Kalau keep updating EURO boleh buat kita semangat nak jadi sihat dan tinggi stamina, silakan! Tapi, sila hati-hati jangan sampai EURO tu jadi sebab kita tak cukup duit nak infaq untuk tabung Palestin & Syria bulan ini. Jangan sampai tengok EURO sampai terabai cerita warga Rohingya yang dibunuh di Myanmar yang sebenarnya taklah begitu jauh daripada tanah air kita tercinta..

Kalau keep updating Pilihanraya Presiden Mesir buat kita makin kenal erti sebuah perjuangan mendapatkan kebebasan, silakan! Jangan sampai hanya sedih tengok gambar tapi tak kirim doa untuk mereka melalui Qunut Nazilah.. Jangan sampai obses dengan Dr Mursi sampai terlupa untuk muhasabah diri dan perkasakan tarbiyah diri untuk jadi sebaik dan sehebat bakal pengislah dunia ini!

Ayuh, dapatkan inspirasi dan beramallah!
Tinggalkan apa yang mengganggu kita beramal agar prestasi mampu diperkasa untuk memacu kemajuan diri (jangka masa pendek) dan kemajuan ummah (jangka masa panjang).
Apapun, pemuda luar biasa adalah mereka yang fikir lebih tentang orang lain lebih daripada dirinya sendiri.. Renung-renungkanlah apa yang utama..



  

^^ Murnikan niat, hanya keranaNYA...teruskan langkah dgn bimbinganNYA ^^

Tuesday, May 29, 2012

Dulu, Kini..

Bismillahirrahmanirraheem..

Lama rasanya tidak mencoret rasa.. Sungguh, ada terlalu banyak yang ingin dikongsi tapi mungkin belum diberi ilham untuk disusun dek pena. 

Alhamdulillah, syukur sangat-sangat ke hadrat ILAHI atas semua kurniaanNYA; islam, iman, hidayah, tarbiyah, keluarga, sahabat, guru dan segala ilmu yang berkenan olehNYA untuk berada dalam dadaku.. 

Hari ini.. Poster ini sangatlah menyentak jiwaku.. Sekali lagi, terima kasih ya ALLAH kerana tak henti-henti mengetuk jiwa ini dengan peringatan-MU! Kepada yang menghasilkan poster ini, barakallahu fiik! Semoga ALLAH memberkatimu.


Pelaku Dosa
Ya ALLAH, aku melihat diriku pada poster ini! 
Semua orang melakukan dosa, tetapi yang terbaik di kalangan pelaku dosa ialah orang-orang yang segera memohon ampun kepada ALLAH.

Astaghfirullah3x.. Sungguh, jika bersihnya diri daripada dosa menjadi faktor untuk mendapat hidayah dan cahaya-MU, nescaya jauhlah diri ini daripada bisa menggapai cahaya itu. Terasa begitu hina dan rendahnya diri ini jika nak dibandingkan dengan nikmat-MU ya ALLAH! 

Terlalu banyak dosa yang kulakukan, sama ada yang kusedari atau tidak. Yang terlihat oleh mata insan lain atau yang tersembunyi (tapi tidak pernah terlepas daripada pengetahuan-MU, yang Maha Mendengar, Maha Melihat)..

Nikmat Tak Terbatas
Aku bukanlah insan terbaik di muka bumi, dan diri ini penuh dengan sejarah hitam semalam. Namun, ENGKAU tidak kedekut untuk mengurniakan diri ini kefahaman dan penghayatan terhadap deen-MU. KAU kurniakan diri ini teman-teman dan guru-guru yang bersungguh-sungguh mengajakku mengejar cinta-MU. 
ALLAHU AKBAR! 

Atas alasan apakah diri ini layak meninggi diri? Dengan ilmu dan kefahaman yang lebih daripada orang awam? Dengan amal sunat yang lebih sedikit daripada orang lain, tapi tidak diketahui nilai ikhlasnya mampu menandingi orang yang dipandang kurang? 

Atas alasan apakah diri ini layak untuk melanggar perintah-MU dan melakukan larangan-MU? Merasa selamat dengan sedikit amalan? Merasa ada alasan kerana sedang memperjuangkan islam? 

MasyaALLAH, hebat sekali kurnia-MU ini ya ALLAH! Kefahaman yang sedikit demi sedikit dibina dalam diri. Keinginan dan kemahuan untuk menjadi pejuang deen-MU. 
Asyik sekali kenikmatan ini! Sehingga mungkin saja aku bisa hanyut dalam khayalan dan keinginan mengejar syurga-MU tanpa menyedari diri semakin mendekati neraka-MU. 

Jangan Alpa
Gembira kerana rasa sedang melakukan sesuatu untuk agama ALLAH sepatutnya tak membuat kita lupa untuk bermuhasabah. Mengingati bagaimana kita boleh terjebak ke jalan dakwah dan tarbiyah; di situ ada tanda kebesaran dan tanda kasih ALLAH yang sangat besar untuk diri kita. 

Mengenangkan bagaimana jalan dakwah dan tarbiyah ini telah membawa diri keluar daripada segala mimpi gelap semalam. Sungguh, jalan ini adalah jalan penyelamat.. Mengeluarkan diriku daripada kesempitan dunia kepada keluasan hidup abadi di akhirat.. Membebaskan daku daripada kesempitan kabilah kepada persaudaraan seaqidah yang bisa kutemui di mana jua ceruk dunia. 
Dan paling penting, jalan ini menunjukkan daku jalan untuk membersihkan diri, mensucikan diri agar mampu kembali kepadaNYA sebagai hamba yang layak dipandang dengan ihsan oleh Al-Malik yang Maha Berkuasa. 

Semoga diri ini tidak lupa. Bahawa suatu ketika dahulu, ada lumpur dosa yang tercalit pada diriku dan ALLAH telah mengirimkan hidayahNYA untuk membersihkan daku untuk aku jadi seorang yang lebih baik (walaupun kini tidaklah diri ini sebaik mana~). 
Semoga ENGKAU berkenan mengampuni dosaku dan membersihkan diri ini, ya ALLAH.. 

Mencari cinta-MU ialah targetku kini, ya Rabb.. Bantulah hamba-MU ini ya ALLAH!