Bismillahirrahmanirraheem..
Lama rasanya tidak mencoret rasa.. Sungguh, ada terlalu banyak yang ingin dikongsi tapi mungkin belum diberi ilham untuk disusun dek pena.
Alhamdulillah, syukur sangat-sangat ke hadrat ILAHI atas semua kurniaanNYA; islam, iman, hidayah, tarbiyah, keluarga, sahabat, guru dan segala ilmu yang berkenan olehNYA untuk berada dalam dadaku..
Hari ini.. Poster ini sangatlah menyentak jiwaku.. Sekali lagi, terima kasih ya ALLAH kerana tak henti-henti mengetuk jiwa ini dengan peringatan-MU! Kepada yang menghasilkan poster ini, barakallahu fiik! Semoga ALLAH memberkatimu.
Pelaku Dosa
Ya ALLAH, aku melihat diriku pada poster ini!
Semua orang melakukan dosa, tetapi yang terbaik di kalangan pelaku dosa ialah orang-orang yang segera memohon ampun kepada ALLAH.
Astaghfirullah3x.. Sungguh, jika bersihnya diri daripada dosa menjadi faktor untuk mendapat hidayah dan cahaya-MU, nescaya jauhlah diri ini daripada bisa menggapai cahaya itu. Terasa begitu hina dan rendahnya diri ini jika nak dibandingkan dengan nikmat-MU ya ALLAH!
Terlalu banyak dosa yang kulakukan, sama ada yang kusedari atau tidak. Yang terlihat oleh mata insan lain atau yang tersembunyi (tapi tidak pernah terlepas daripada pengetahuan-MU, yang Maha Mendengar, Maha Melihat)..
Nikmat Tak Terbatas
Aku bukanlah insan terbaik di muka bumi, dan diri ini penuh dengan sejarah hitam semalam. Namun, ENGKAU tidak kedekut untuk mengurniakan diri ini kefahaman dan penghayatan terhadap deen-MU. KAU kurniakan diri ini teman-teman dan guru-guru yang bersungguh-sungguh mengajakku mengejar cinta-MU.
ALLAHU AKBAR!
Atas alasan apakah diri ini layak meninggi diri? Dengan ilmu dan kefahaman yang lebih daripada orang awam? Dengan amal sunat yang lebih sedikit daripada orang lain, tapi tidak diketahui nilai ikhlasnya mampu menandingi orang yang dipandang kurang?
Atas alasan apakah diri ini layak untuk melanggar perintah-MU dan melakukan larangan-MU? Merasa selamat dengan sedikit amalan? Merasa ada alasan kerana sedang memperjuangkan islam?
MasyaALLAH, hebat sekali kurnia-MU ini ya ALLAH! Kefahaman yang sedikit demi sedikit dibina dalam diri. Keinginan dan kemahuan untuk menjadi pejuang deen-MU.
Asyik sekali kenikmatan ini! Sehingga mungkin saja aku bisa hanyut dalam khayalan dan keinginan mengejar syurga-MU tanpa menyedari diri semakin mendekati neraka-MU.
Jangan Alpa
Gembira kerana rasa sedang melakukan sesuatu untuk agama ALLAH sepatutnya tak membuat kita lupa untuk bermuhasabah. Mengingati bagaimana kita boleh terjebak ke jalan dakwah dan tarbiyah; di situ ada tanda kebesaran dan tanda kasih ALLAH yang sangat besar untuk diri kita.
Mengenangkan bagaimana jalan dakwah dan tarbiyah ini telah membawa diri keluar daripada segala mimpi gelap semalam. Sungguh, jalan ini adalah jalan penyelamat.. Mengeluarkan diriku daripada kesempitan dunia kepada keluasan hidup abadi di akhirat.. Membebaskan daku daripada kesempitan kabilah kepada persaudaraan seaqidah yang bisa kutemui di mana jua ceruk dunia.
Dan paling penting, jalan ini menunjukkan daku jalan untuk membersihkan diri, mensucikan diri agar mampu kembali kepadaNYA sebagai hamba yang layak dipandang dengan ihsan oleh Al-Malik yang Maha Berkuasa.
Semoga diri ini tidak lupa. Bahawa suatu ketika dahulu, ada lumpur dosa yang tercalit pada diriku dan ALLAH telah mengirimkan hidayahNYA untuk membersihkan daku untuk aku jadi seorang yang lebih baik (walaupun kini tidaklah diri ini sebaik mana~).
Semoga ENGKAU berkenan mengampuni dosaku dan membersihkan diri ini, ya ALLAH..
Mencari cinta-MU ialah targetku kini, ya Rabb.. Bantulah hamba-MU ini ya ALLAH!