Saturday, January 7, 2012

Harus Mula Berfikir untuk Berkorban

Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Maha Penyayang

PENGORBANAN
Hidup adalah perjuangan. Perjuangan sentiasa akan menuntut pengorbanan. Bezanya, pengorbanan itu dilakukan oleh kita sendiri atau orang lain yang melakukan pengorbanan untuk kita.

Dalam usaha mencari redha dan cinta ALLAH, itu adalah suatu perjuangan. Maka, tatkala hati kita memilih untuk mencari cinta itu dalam kehidupan kita harus sedar bahawa ada pengorbanan yang mesti kita lakukan.

Bukanlah dinamakan sebuah pengorbanan bila ia adalah suatu yang mudah untuk kita lakukan. Di situ, kita harus sedar bahawa pengorbanan itu selalunya pahit tatkala dilakukan... Namun, alangkah indahnya bila kepahitan yang ditelan itu ALLAH berjanji akan membalasnya dengan nikmat terbesar yang tiada bandingan dan tiada terbayang dek akal; syurga-NYA.

Sepanjang aku berkenalan dengan jalan ini, aku lihat pelbagai pengorbanan orang sekeliling.
Teman-teman yang menyambut kehadiranku tika daku melawat, yang menyediakan masakan, yang menjadi teman ketika melawat persekitaran...
Pengorbanan untuk bermusafir berbatu-batu demi menghadiri majlis ilmu untuk menambah kefahaman tentang islam dan dakwah, sendirian. Merentas sempadan daerah dan negara, tanpa ragu..
Yang sanggup menerima kehadiran tetamu ketika diri sedang sibuk bersiap sedia untuk peperiksaan etc...
Ada juga temanku yang sanggup mengorbankan beratus-ratus wangnya demi melaksanakan amanah yang dipinta untuk sama-sama membuka mata akan tanggungjawab sebenar sebagai seorang hambaNYA...

Semoga aku jua terus hidup dalam perjuangan ini, kerana perjuangan ini pasti menuntut diri ini berkorban... Berkorban harta, masa dan tenaga hanya semata-mata untuk mencari cinta-NYA...


MANGSA KEADAAN
Aku mendengar cerita-cerita teman-teman yang bermusafir ke negeri orang. Ada yang pergi ke negara majoriti penduduknya adalah muslim dan melihat bahawa islam itu tidak terlaksana dengan syumulnya. Ada yang ke negara yang dulu islam pernah gemilang dan akhirnya tumbang, melihat betapa daifnya kehidupan umat islam.. Suatu kontradiksi; melukut di tepi gantang di tanah yang dahulunya islam pernah gemilang

Aku juga mendengar berita-berita hangat tentang betapa jauhnya muslimin hari ini dengan islam yang syumul, kamil dan mutakamil. Bila zina dianggap biasa, bila menjadi muslim itu cukup dengan hanya mendirikan solat dan puasa ramadhan dan zakat dan haji... Bila perkara yang di luar fitrah dianggap sesuatu yang memenuhi kehendak diri... Bila hukum ALLAH jadi bahan debat...

Kita semua tidak bersalah kerana kita adalah mangsa keadaan, saat kita masih belum mengetahui bahawa semua kerosakan dan keberantakan masyarakat ini adalah suatu agenda musuh yang cukup-cukup teliti dan tersusun...

Namun, rasa bersalahlah jika telah mengetahui bahawa rosaknya ummah hari ini adalah kerana segala perancangan yang super terancang itu dibiarkan terus meracuni diri, keluarga, teman dan jiran tetangga.


PENGORBANAN MEREKA
Nabi dan para sahabat berkorban semampu mereka; sehingga mereka semua syahid di bumi asing, bukan di bumi kelahiran mereka... Nabi SAW yang kita cintai berasal dari Mekah namun wafatnya di bumi Madinah. Saad bin Abi Waqas kuburnya di China. Abu Ayyub Al-ANsari dikuburkan di kubu Constantinople. Zaid bin Harithah,Jaafar bin Abi Thalib, Abdullah bin Abi Rawahah pula syahid di medan Mu'tah di
bumi Syam.. Dengan segala pengorbanan inilah islam tersebar luas ke seluruh penjuru dunia dan terus kekal hingga hari ini, islam itu bersama kita kini...

Bukan hanya sahabat-sahabat yang lelaki, bahkan sahabiah-sahabiah turut melakarkan sejarah membantu memperjuangkan islam.. Antara kisah paling aku kagumi, bagaimana ALLAH memilih wanita istimewa ini iaitu Asma' bin Abu Bakr sebagai salah seorang penyumbang berjayanya hijrah. Bagaimana pengorbanan wanita berjiwa kental ini untuk membekalkan makanan buat ayahanda dan Rasul yang dicintai, meredah sahara seorang diri... masyaALLAH!

Pengorbanan golongan musuh islam juga tidak kurang hebatnya... Jika islam meninggalkan ketamadunan ilmu untuk diwarisi oleh para saintis hari ini dan arkitektur indah yang memuji ALLAH, pengorbanan golongan musuh islam ini juga tak kurang hebatnya... Hinggakan hari ini jiwa nasionalism yang ditanam masih teguh berakar dalam hati muslimin menyebabkan izzah islam wal muslimin itu seolahnya terhakis sungguh daripada jiwa-jiwa muslimin; hingga perjuangan untuk membebaskan Al-Aqsa iaitu perjuangan mempertahankan tanah suci dianggap sebagai sebuah perjuangan mendapatkan sebuah negara berdaulat...Tidak, tidak! Persaudaraan kita adalah persaudaraan yang terikat oleh aqidah, bukan hanya kerana sempadan geografi atau politik. Betapa hebatnya ghazwul fikr (perang pemikiran) yang dilancarkan dan melekat di jiwa muslimin hari ini...


PERANAN KITA
Sekiranya sudah ada titik kesedaran dalam diri tentang rosaknya ummah dan diketahui puncanya, adakah kita masih mahu berdiam diri,terus melayani perasaan sendiri tanpa mula berfikir tentang perasaan insan-insan sekeliling dan mula memahami mereka, hanyut dengan cerita-cerita diri tapi melupakan cerita-cerita penindasan saudara-saudara kita di pelbagai negara islam lain...

Ummah ini jadi lemah kerana islam hanya di kulit, bukan lagi yang mewarnai diri dan jiwa. Bila islam terhakis dari jiwa, maka syaitan akan menguasai dan menjadikan terasa indah segala perkara yang buruk. Saat itu, tercabutlah pergantungan total kepada ALLAH dan ketundukan sebenar yang merupakan syarat utama untuk kita berada di puncak kemuliaan.

Maka, marilah kita sama-sama membina iman dan kefahaman islam yang benar dalam diri agar kita mampu menjadi agen perubahan dalam keluarga dan masyarakat. Agar kita juga dapat menyebarkan kefahaman dan tasawur islam yang murni dan benar kepada seluruh umat islam, kerana hari ini umat islam telah diperdaya dan dipesongkan daripada kebenaran.


Ini peringatan buat diri agar mensibghahkan diri dengan sibghah ALLAH. Buktikan dengan amal, bukan hanya banyak bicara...Ya ALLAH, mudahkanlah!

^^ Murnikan niat, hanya keranaNYA...teruskan langkah dgn bimbinganNYA ^^

No comments:

Post a Comment