Thursday, February 27, 2014

Ubah Kiblatmu

2: 142-150

Ketika ALLAH memerintahkan kaum muslimin mengubah arah kiblat mereka dari Masjidil Aqsa ke Masjidil Haram, berbunyilah suara-suara yang bakal menggugah keyakinan kaum muslimin. 

'Apalah diorang ni dah berpaling daripada kiblat diorang dulu?' 

'Dah kalau solat menghadap kiblat yang salah, maknanya solat korang sebelum ni tak sah lah?' 

(dialih ke bahasa pasar kita) 

Persoalan ini bukan persoalan yang enteng walaupun sekali pandang kita tak merasakan di mana besarnya ayat ini kepada kaum muslimin. 
Point 1 : apabila ALLAH menyebutkan tentang sesuatu peristiwa itu pastinya ada pembersihan dan didikan yang hendak disampaikan kepada muslimin agar menjadi panduan kehidupan. 
Point 2 : kita harus cuba menyelami keadaan umat Islam ketika itu dengan latar belakang sejarah mereka agar bisa memahami apa kaitannya peristiwa ini dengan apa yang ALLAH hendak kita fahami. 

ORANG ARAB & KAABAH
Sejak zaman Jahiliyah, orang Arab memang terkenal memuliakan rumah suci Kaabah di Masjidil Haram sehinggakan orang-orang Quraisy yang berjiran dengan Kaabah seringkali mendapat kelebihan apabila berdagang. Begitu orang Arab memuliakan Kaabah sehingga jiran dan kaum yang menjaga Kaabah pun mereka muliakan. Kaabah itu terkenal sebagai tempat ibadah mereka, di mana mereka mengerjakan haji. 

Lalu, bayangkan apa gelojak rasa mereka tatkala ALLAH memerintahkan mereka menghadap Masjidil Aqsa ketika solat? 

Eh, tapi ALLAH dah suruh.. Dengan ketaatan, mereka turuti perintah tersebut. 

YAHUDI NASRANI & MASJIDIL AQSA
Masjidil Aqsa di Baitul Maqdis dianggap sebagai tanah suci ketiga-tiga agama samawi (Islam, Yahudi, Nasrani).
Lantaran kiblat ini jugalah yang dikongsi oleh Yahudi dan Nasrani, mereka mengambil peluang untuk mengolok-olokkan kebenaran Islam. 

'Diorang ajak kita masuk agama baru diorang tapi diorang solat menghadap tempat suci kita. Ternyata agama kitalah yang benar sebenarnya.' 

Apa agaknya perasaan kaum muslimin mendengarkan butir-butir bicara sebegini? Sukar bagi mereka nak membuktikan kebenaran Islam kerana perkara ini dipermain- mainkan oleh orang Yahudi. 

17 bulan di Madinah, selepas hijrah kaum muslimin solat menghadap Masjidil Aqsa; menahan rasa ingin memuliakan Kaabah dan menghadapi olokan dan ejekan kaum Yahudi. 

Ujian, kan?

Alah bisa tegal biasa.. Kerana ALLAH, kami turutkan.. - Saya pasti, inilah semangat dan kefahaman yang berlegar di kotak fikir muslimin ketika itu.. 

*************

Pembicaraan tentang ayat-ayat ALLAH di permulaan juzuk kedua Al-Quran ini boleh dilihat daripada pelbagai sudut. 
  • Harus memahami suasana diturunkan ayat ini
  • Harus mengetahui apa tema utama Surah al-Baqarah
Dari sudut tema, surah al-Baqarah ini membicarakan tentang tanggungjawab kekhalifahan yang ALLAH berikan kepada orang beriman. Kisah-kisah yang dipaparkan dalam surah ini berpaksikan tema ini; contoh kepimpinan yang patut diikuti disampaikan ALLAH melalui kisah Nabi Adam a.s dan Nabi Ibrahim a.s dan contoh kepimpinan yang mengkhianati amanah khalifah ini diwakili oleh kisah Bani Israel. 

Memahami suasana diturunkan ayat-ayat permulaan, telah saya bicarakan secara ringkas di permulaan tulisan ini. 

Sekarang, mari kita cuba bawa ayat-ayat ini agar dekat dengan kita. 

Kiblat & Pemimpin
Allah telah memilih umat Islam untuk menjadi pimpinan dunia. Kerana umat yang tiada iman dan taqwa akan memimpin dunia ke arah kebinasaan sebaliknya umat yang punya iman dan taqwa dalam dada insyaALLAH mampu memimpin dunia ke arah kebaikan dan kesejahteraan. 

Pabila dikatakan umat pilihan, satu logika yang boleh diterima ialah umat itu harus mempunyai perbezaan daripada golongan yang hendak dipimpin. Ketua harus punya kredibiliti dan kemampuan yang berbeza daripada anak buah, jika tidak lebih baik anak buah tersebut naik menggantikan tempatnya ketua.. 

Subhanallah, inilah yang ingin ALLAH sampaikan kepada umat Islam melalui peristiwa perubahan kiblat ini. 
Di samping menyimpan ujian ketaatan yang hebat kepada jiwa-jiwa sahabat, perubahan kiblat ini juga mengisyaratkan agar umat Islam itu menghadap kiblat yang tidak sama dengan golongan yang mendurhakai ALLAH (Yahudi dan Nasrani). 

Tamayyuz (berbeza). 
Satu sifat yang perlu ada pada sebuah masyarakat yang hendak membawa perubahan dan menjadi pimpinan. 
Kemuliaan Baitul Maqdis terserlah namun ternyata ALLAH telah memilih Kaabah untuk menjadi kiblat umat Islam hingga akhir zaman. 

Kiblat Kita
Pada diri kita, mungkin masih jauh rasa ingin menyambut amanah kepimpinan itu. Tapi, 'ke mana kiblat kita?' adalah satu persoalan yang penting dan perlu kita selesaikan sebelum kita hendak berbicara tentang persoalan-persoalan lain tentang memimpin dunia. 

Lantas, penting sekali untuk kita memeriksa kiblat kita. Andai kiblat kita benar, benarlah jalan hidup kita dan kelak benarlah tindakan kita. 
Apakah yang menjadi rujukan dan penenang kita tatkala kita keresahan dan kebingungan? Pesan orang-orang tuakah? Dialog pelakon kesukaan kitakah?
Apakah yang sering memenuhi kotak fikir kita dan pendorong kita dalam melakukan sesuatu? 

Kaabah hanyalah simbol atau lambang. Kita harus tahu bahawa jiwa kita dan kehidupan kita selayaknya dihadapkan kepada DIA sahaja. Perubahan kiblat ini adalah suatu simbolik untuk mengajak kita sekalian umat Islam untuk menjadikan seluruh kehidupan kita menghala kepada ALLAH semata-mata. 

Jika dulu kita mencari movie Korea untuk menghibur lara jiwa, ubahlah kepada mencari tikar sejadah untuk bersujud penuh pengharapan kepadaNYA.
Jika dulu kita mendengar merdu suara Maher Zain untuk mencari inspirasi, ubahlah kepada mengalunkan kalimah suci ILAHI yang penuh ilham dan petunjuk.
Jika dulu, kotak fikir kita penuh memikirkan fesyen baru,games baru,gajet baru; ubahlah kepada memikirkan kecelaruan ummah yang juga berkurun dahulu menjadi pemenuh kotak fikir para Rasul dan Anbiya'.

Sebagaimana para sahabat diuji pada perasaan mereka, namun mereka teguh menurut perintah ALLAH. Begitu juga kita, dengan segala perasaan yang timbul dan membuat kita rasa lemah, dengan segala bisik rayu atau caci hina yang dilontar oleh orang lain, kita harus kuat bertahan menempuhinya dengan sabar kerana ALLAH. 

Kesimpulannya : Halakan jiwa dan kehidupan kita kepada apa yang disukaiNYA. 
-Walau payahnya hanya DIA yang tahu-Hanya kepadaMu kami mohon kekuatan,ya ALLAH-


No comments:

Post a Comment