Friday, January 20, 2012

Isilah Kekosongan Itu


Bismillahirrahmanirraheem...

JIWA KOSONG

Pernah rasa jiwa kosong? Melihat apa yang di depan mata hanya sebagai
suatu yang tiada ertinya buat diri sendiri...Semua di sekeliling tiada
kaitan dengan diri...Hambar, tiada makna...

Jiwa itu fitrahnya menuntut diisi oleh sesuatu. Fitrahnya mahu mencari
apa yang hilang.

KITA ADA MISI?

Ya, kita berada di dunia dengan suatu misi... Mencari yang Maha Satu!
Cinta hati kita yang mungkin hilang ketika kita lahir di dunia...
Maksudnya?
Ingat tak, sebenarnya jiwa kita atau roh kita sebenarnya berada dekat
dengan ALLAH sebelum roh-roh kita ditiupkan ke dalam jasad yang
dikandung ibu kita?Dan kita telah berjanji akan mencariNYA di dunia
ini...seperti firman-NYA dalam surah al-A'raf,172

'Dan ingatlah ketika Tuhanmu mengeluarkan dari sulbi (tulang belakang)
anak cucu Adam keturunan mereka dan ALLAH mengambil kesaksian terhadap
roh mereka (seraya berfirman),
"Bukankah AKU ini Tuhanmu?"
Mereka menjawab, "Betul (ENGKAU Tuhan kami), kami bersaksi."
(KAMI lakukan yang demikian itu) agar di akhirat kelak kamu tidak
mengatakan, "Sesungguhnya kami ketika itu lengah terhadap ini."
(Al-A'raf :172)

ALLAH telahpun mengambil kesaksian itu daripada kita!

Bahawa kita hanya akan mengesakan DIA dalam hidup kita yang sementara di dunia.

Bahawa kita akan mencari cahaya hidayahNYA sepanjang perjalanan hidup
kita ini.

Bahawa cintaNYA lah yang akan menjadi dambaan kita.

Bahawa rindu padaNYAlah yang akan memenuhi jiwa raga kita...

Namun, sila berhati-hati!

Dunia, tempat persinggahan kita semua ini
ada tarikan yang hebat yang mungkin membuat kita lupa misi kita
mencari-NYA di dunia ini.

Pabila matlamat sudah melencong daripada landasan sebenar, maka jiwa
itu akan hilang arah...
Hilang tujuan...
Mudah sekali merasa kosong...

Lalu jiwa yang tersesat tanpa bimbingan itu akan mencari-cari sesuatu
yang lain untuk diisi dalam jiwanya.
Kaburlah matanya oleh perhiasan dunia...
Sehingga jiwa itu gembira dengan suatu yang sementara sifatnya,
sehingga terlupa jiwa itu perlukan RABBnya...

Tuhannya...


Penciptanya..

Pemeliharanya...

Terlupa bahawa ALLAH lah yang dicarinya...

Sehingga jiwa itu gembira dengan suatu yang membinasakan dirinya...
Jatuhlah hamba ALLAH itu dalam lembah kemaksiatan dan kemurkaan ILAHI...


ISILAH JIWA ITU

Maka, isilah jiwa itu dengan cahaya ILAHI...

Itulah salah satu kandungan doa rabithah kita ; ya ALLAH, penuhkanlah
piala hati kami dengan cahaya Rabbani-MU.

Ya, kita perlukan cahaya rabbani itu untuk memenuhi piala hati kita...
Kerana, jika tidak akan ada sesuatu yang lain akan memenuhinya...

Mari sama-sama penuhkan hati kita dengan ingatan kepada ALLAH
(zikrullah) dan mengajak jiwa-jiwa lain meletakkan ALLAH ke dalam
jiwa-jiwa mereka...
Mari lakukan apa-apa sahaja yang boleh membawa jiwa kita dekat kepadaNYA...

Isilah, jangan dibiarkan jiwa itu gersang tanpa mengingati janji dan
cahaya hatinya >> ALLAH...

Saturday, January 7, 2012

Harus Mula Berfikir untuk Berkorban

Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Maha Penyayang

PENGORBANAN
Hidup adalah perjuangan. Perjuangan sentiasa akan menuntut pengorbanan. Bezanya, pengorbanan itu dilakukan oleh kita sendiri atau orang lain yang melakukan pengorbanan untuk kita.

Dalam usaha mencari redha dan cinta ALLAH, itu adalah suatu perjuangan. Maka, tatkala hati kita memilih untuk mencari cinta itu dalam kehidupan kita harus sedar bahawa ada pengorbanan yang mesti kita lakukan.

Bukanlah dinamakan sebuah pengorbanan bila ia adalah suatu yang mudah untuk kita lakukan. Di situ, kita harus sedar bahawa pengorbanan itu selalunya pahit tatkala dilakukan... Namun, alangkah indahnya bila kepahitan yang ditelan itu ALLAH berjanji akan membalasnya dengan nikmat terbesar yang tiada bandingan dan tiada terbayang dek akal; syurga-NYA.

Sepanjang aku berkenalan dengan jalan ini, aku lihat pelbagai pengorbanan orang sekeliling.
Teman-teman yang menyambut kehadiranku tika daku melawat, yang menyediakan masakan, yang menjadi teman ketika melawat persekitaran...
Pengorbanan untuk bermusafir berbatu-batu demi menghadiri majlis ilmu untuk menambah kefahaman tentang islam dan dakwah, sendirian. Merentas sempadan daerah dan negara, tanpa ragu..
Yang sanggup menerima kehadiran tetamu ketika diri sedang sibuk bersiap sedia untuk peperiksaan etc...
Ada juga temanku yang sanggup mengorbankan beratus-ratus wangnya demi melaksanakan amanah yang dipinta untuk sama-sama membuka mata akan tanggungjawab sebenar sebagai seorang hambaNYA...

Semoga aku jua terus hidup dalam perjuangan ini, kerana perjuangan ini pasti menuntut diri ini berkorban... Berkorban harta, masa dan tenaga hanya semata-mata untuk mencari cinta-NYA...


MANGSA KEADAAN
Aku mendengar cerita-cerita teman-teman yang bermusafir ke negeri orang. Ada yang pergi ke negara majoriti penduduknya adalah muslim dan melihat bahawa islam itu tidak terlaksana dengan syumulnya. Ada yang ke negara yang dulu islam pernah gemilang dan akhirnya tumbang, melihat betapa daifnya kehidupan umat islam.. Suatu kontradiksi; melukut di tepi gantang di tanah yang dahulunya islam pernah gemilang

Aku juga mendengar berita-berita hangat tentang betapa jauhnya muslimin hari ini dengan islam yang syumul, kamil dan mutakamil. Bila zina dianggap biasa, bila menjadi muslim itu cukup dengan hanya mendirikan solat dan puasa ramadhan dan zakat dan haji... Bila perkara yang di luar fitrah dianggap sesuatu yang memenuhi kehendak diri... Bila hukum ALLAH jadi bahan debat...

Kita semua tidak bersalah kerana kita adalah mangsa keadaan, saat kita masih belum mengetahui bahawa semua kerosakan dan keberantakan masyarakat ini adalah suatu agenda musuh yang cukup-cukup teliti dan tersusun...

Namun, rasa bersalahlah jika telah mengetahui bahawa rosaknya ummah hari ini adalah kerana segala perancangan yang super terancang itu dibiarkan terus meracuni diri, keluarga, teman dan jiran tetangga.


PENGORBANAN MEREKA
Nabi dan para sahabat berkorban semampu mereka; sehingga mereka semua syahid di bumi asing, bukan di bumi kelahiran mereka... Nabi SAW yang kita cintai berasal dari Mekah namun wafatnya di bumi Madinah. Saad bin Abi Waqas kuburnya di China. Abu Ayyub Al-ANsari dikuburkan di kubu Constantinople. Zaid bin Harithah,Jaafar bin Abi Thalib, Abdullah bin Abi Rawahah pula syahid di medan Mu'tah di
bumi Syam.. Dengan segala pengorbanan inilah islam tersebar luas ke seluruh penjuru dunia dan terus kekal hingga hari ini, islam itu bersama kita kini...

Bukan hanya sahabat-sahabat yang lelaki, bahkan sahabiah-sahabiah turut melakarkan sejarah membantu memperjuangkan islam.. Antara kisah paling aku kagumi, bagaimana ALLAH memilih wanita istimewa ini iaitu Asma' bin Abu Bakr sebagai salah seorang penyumbang berjayanya hijrah. Bagaimana pengorbanan wanita berjiwa kental ini untuk membekalkan makanan buat ayahanda dan Rasul yang dicintai, meredah sahara seorang diri... masyaALLAH!

Pengorbanan golongan musuh islam juga tidak kurang hebatnya... Jika islam meninggalkan ketamadunan ilmu untuk diwarisi oleh para saintis hari ini dan arkitektur indah yang memuji ALLAH, pengorbanan golongan musuh islam ini juga tak kurang hebatnya... Hinggakan hari ini jiwa nasionalism yang ditanam masih teguh berakar dalam hati muslimin menyebabkan izzah islam wal muslimin itu seolahnya terhakis sungguh daripada jiwa-jiwa muslimin; hingga perjuangan untuk membebaskan Al-Aqsa iaitu perjuangan mempertahankan tanah suci dianggap sebagai sebuah perjuangan mendapatkan sebuah negara berdaulat...Tidak, tidak! Persaudaraan kita adalah persaudaraan yang terikat oleh aqidah, bukan hanya kerana sempadan geografi atau politik. Betapa hebatnya ghazwul fikr (perang pemikiran) yang dilancarkan dan melekat di jiwa muslimin hari ini...


PERANAN KITA
Sekiranya sudah ada titik kesedaran dalam diri tentang rosaknya ummah dan diketahui puncanya, adakah kita masih mahu berdiam diri,terus melayani perasaan sendiri tanpa mula berfikir tentang perasaan insan-insan sekeliling dan mula memahami mereka, hanyut dengan cerita-cerita diri tapi melupakan cerita-cerita penindasan saudara-saudara kita di pelbagai negara islam lain...

Ummah ini jadi lemah kerana islam hanya di kulit, bukan lagi yang mewarnai diri dan jiwa. Bila islam terhakis dari jiwa, maka syaitan akan menguasai dan menjadikan terasa indah segala perkara yang buruk. Saat itu, tercabutlah pergantungan total kepada ALLAH dan ketundukan sebenar yang merupakan syarat utama untuk kita berada di puncak kemuliaan.

Maka, marilah kita sama-sama membina iman dan kefahaman islam yang benar dalam diri agar kita mampu menjadi agen perubahan dalam keluarga dan masyarakat. Agar kita juga dapat menyebarkan kefahaman dan tasawur islam yang murni dan benar kepada seluruh umat islam, kerana hari ini umat islam telah diperdaya dan dipesongkan daripada kebenaran.


Ini peringatan buat diri agar mensibghahkan diri dengan sibghah ALLAH. Buktikan dengan amal, bukan hanya banyak bicara...Ya ALLAH, mudahkanlah!

^^ Murnikan niat, hanya keranaNYA...teruskan langkah dgn bimbinganNYA ^^

Friday, January 6, 2012

Medic, seriously? (0_o)

Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Maha Penyayang

1st of all, don't expect this post to be in english... ;)

Sekarang sudah masuk tahun ketiga aku di sini, di bumi Olomouc,Czech Republic untuk menimba ilmu perubatan aka kedoktoran.
Dua tahun sudah berlalu... Dua tahun mempelajari perkara-perkara teori, tahun ini akan memasuki fasa transisi menuju kepada klinikal. Anatomy, physiology, biochemistry, biology, biophysics; semuanya adalah ilmu-ilmu asas yang diperlukan untuk memahami subjek-subjek klinikal...

Pada tahun ketiga ini, sudah mula belajar pathophysiology, pathology, microbiology...aku termuhasabah...

Sejauh mana ilmu-ilmu yang aku pelajari 2 tahun sebelum ini benar-benar aku kuasai untuk aku menghadapi subjek-subjek klinikal yang aku sudah mula pelajari semester kelima ini?

Sejauh mana masa dua tahun yang sudah berlalu itu aku gunakan dengan sebaiknya?

Jawapannya..
AKU MASIH BELUM SERIUS...

Astaghfirullah 3x... Ini sungguh pengakuan yang memalukan diri sendiri... Namun, walaupun pahit kebenaran itu harus ditelan jua... Dan jika mahu jadi mukmin yang beruntung, hari ini harus lebih baik daripada semalam... Kata orang putih,'There's still room for improvement.'

Bila Perlu Serius?
Untuk menjadi seorang doktor atau pengamal perubatan, ia adalah suatu perkara serius! Ada tanggungjawab besar yang tergalas. Saat kita memilih jalan ini (karier sebagai seorang doktor), kita sebenarnya telahpun secara tidak langsung mengikat diri dengan sebuah perjanjian bahawa kita akan serius!

Premis 1 : How can we play with human life?
Premis 2 : A doctor deals with human life.
Conclusion : How can a doctor plays with human life?

huhu... Seorang pelajar perubatan ialah seorang bakal doktor. Sebagaimana seorang doktor harus serius dalam segala keputusan dan diagnosisnya terhadap seseorang pesakit, begitulah seorang pelajar perubatan harus serius dalam setiap ilmu perubatan yang ditimbanya!

Serius yang Bagaimana , ye?
1) Harus cuba memahami bukan sekadar menghafal fakta.
Beware! Dalam bidang ini, anda akan menemui ribuan fakta penting yang perlu diketahui dan diingati... Sebaiknya, fakta-fakta ini bukan hanya diingati untuk tackle soalan peperiksaan. Fahamilah setiap benda yang dipelajari supaya ia lebih mudah diingati dan lebih bermanfaat untuk masa depan. Kerana target kita bukan hanya mahu menghabiskan 12 semester di medical school, tapi kita sedang mempersiapkan diri untuk sebuah karier penting iaitu mengubati pesakit-pesakit.

2) Harus tumpukan perhatian ketika dalam kelas & tutorial.
Jangan main handphone atau dengar muzik. Maksimakan perhatian supaya nanti senang bila nak ulangkaji. Bolehlah bertanya jika tak faham. Kalau segan nak tanya di khalayak ramai, boleh juga tanya pensyarah selepas lecture tu atau set masa untuk buat consultation.

3) Hadiri lecture dan tutorial dengan niat untuk menuntut ilmu dengan cikgu tu, tak kira cikgu tu best atau tak..
Bila namanya cikgu, pasti ada ilmu di dadanya yang boleh kita ambil. Teringat kata seorang teman, 'ilmu itu suatu yang mulia,maka muliakanlah penyampai ilmu itu.'
Kerana islam sendiri mengajar kita untuk menghormati pengajar atau penyampai ilmu.

4) Perlu sentiasa perbaharui niat
Ini persoalan paling utama untuk kita membina keseriusan dalam diri. Dalam setiap perbuatan kita, sedarilah bahawa semuanya akan dihisab. Sedarilah bahawa kita sendiri perlu jelas mengapa kita melakukan ini. Bimbang jika kita tidak jelas, kita akan senang terayun oleh arus dunia dan kelalaian sehingga kita tergelincir daripada tujuan sebenar kita berada di sekolah perubatan ini. Sehingga kita tidak belajar untuk menjadi seorang doktor, sebaliknya kita belajar untuk menghabiskan semester.

Kemuliaan Ilmu
Apa jua ilmu, sebenarnya adalah ilmu ALLAH. Mengapa ilmu itu suatu yang dianggap mulia? Kerana ilmu sepatutnya membawa kita mengenal kebesaran dan kesempurnaanNYA. Ilmu adalah antara ayat-ayat (tanda-tanda) ALLAH.
Jika kita rasa seronok mencari ilmu, kita sebenarnya sedang seronok menuju kemuliaan. Dan kemuliaan tertinggi ialah kemuliaan ALLAH kepada hambaNYA yang beriman... Ilmu sepatutnya menambahkan iman seterusnya membuka jalan kepada kita untuk meningkatkan amal soleh kepada ALLAH.

BE SERIOUS, now or never!
Kemuliaan itu suatu yang serius!
Ilmu itu serius!
Menjadi seorang pelajar perubatan itu serius!

Firman ALLAH dalam surah Abasa ayat 23,
'Sekali-kali jangan begitu! Dia (manusia) itu belum melaksanakan apa yang DIA (ALLAH) perintahkan kepadaNYA.'

Bagiku, ini satu peringatan pendek yang menggoncang jiwa bahawa 'aku masih belum serius!'
Hidup di dunia ini adalah untuk melaksanakan tugas sebagai hamba dan khalifah yang akan memakmurkan alam dengan kesejahteraan islam. Maka, keberadaan kita di sekolah perubatan ini sepatutnya selalu berorientasikan tujuan ini... Tujuan penciptaan kita ialah apa yang ALLAH sebutkan dalam ayat di atas sebagai 'apa yang DIA (ALLAH) perintahkan kepadaNYA'.

Keseriusan ; harus bermula dari saat diberikan kesedaran! Mulalah untuk serius di jalan ini... Kerana ini jalan menuju redha dan cinta ILAHI...

Jika ditanya,
mengapa mahu serius dalam studimu?

Akanku jawab,
kerana aku cinta... cinta kepada ALLAH; yang telah memberikan segala nikmat terbaik untukku di dunia ini... yang telah menyediakan semuanya untuk aku berusaha menggapai cintaNYA...

How can we be not serious on this really big matter (searching for ALLAH's love)?

^^ Murnikan niat, hanya keranaNYA...teruskan langkah dgn bimbinganNYA ^^

Tuesday, January 3, 2012

Pesan Pendek

Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Maha Penyayang

Kita tak boleh biarkan diri dalam keadaan jahil
Maka, harus menuntut ilmu dan belajar...

Ilmu bukan untuk disimpan sendiri
Sebaliknya harus memberi manfaat kepada diri dan orang lain...
Maka, harus AMALkan ilmu dan SEBARKAN kepada insan-insan lain tentang apa yang diketahui...

Kadangkala untuk menyebarkan lebih mudah daripada mengamalkan sendiri...

Kerana itulah, kata orang;
Medan kata-kata lebih luas daripada medan amal, lantaran itu tidak ramai yang berkata-kata mampu menterjemahkan kata-katanya kepada amal..

p/s : Banyak cakap, banyak amal = bagus,
banyak cakap, sikit amal = bahaya,
sikit cakap,banyak amal = bahagia...

ya ALLAH, bantulah hambaMU ini mentaatiMU dan mencari keredhaanMU...

^^ Murnikan niat, hanya keranaNYA...teruskan langkah dgn bimbinganNYA ^^

Saturday, December 10, 2011

~ Belong To ~

Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Maha Penyayang

Faktor Motivasi
Salah satu teori motivasi Maslow mengatakan bahawa perasaan 'belong to' atau tergolong adalah salah satu faktor yang boleh meningkatkan motivasi seseorang yang berada dalam sesebuah organisasi.
Itu teori untuk sebuah organisasi atau syarikat..

Sedar tak sedar, manusia adalah makhluk sosial; yang tak mungkin hidup sendirian sebaliknya sangat memerlukan orang lain dalam kehidupannya.
Setiap hari kita berada dalam lingkungan sosial; di sekolah, fakulti, hostel bahkan di rumah kita.
Apabila kita berada dalam lingkungan sosial ini, perasaan 'belong to' atau tergolong dalamnya akan menentukan selama mana kita akan berada bersama lingkungan itu.

Contohnya, kita berpiknik di tepi pantai bersama beberapa orang batchmates kita untuk buat
sandcastle aka istana pasir. Jika kita tak merasakan bahawa diri kita ialah sebahagian daripada kawanan ini, akan ada suatu perasaan untuk segera meninggalkan pantai itu. Sedikit kesalahan buat kita rasa cepat nak melenting. Gurauan dianggap sindiran. Deruan ombak jadi muzik yanh membingitkan telinga dan menyesakkan jiwa. Ukhwah dan senyum terasa hambar.

Sebaliknya, jika kita merasakan kita adalah sebahagian daripada kawanan ini, semua akan terasa indah... Walaupun makanan kita tertumpah dan tak dapat makan, itu adalah kenangan indah. Deru ombak terasa mendamaikan... Jiwa jadi tenang dan kasih semakin subur.

Penting Ni!
Perasaan belong to ini sangat penting, terutama dalam kita mengatur langkah bersama-sama untuk menegakkan yang makruf dan mencegah yang mungkar. Dalam saf kita, harus dibina perasaan tergolong dan terikat dan bersama dengan orang lain di sisi kita. PENTING! SUPER PENTING!
Perasaan ini harus dibina dan diciptakan oleh diri individu! Jangan biarkan diri tak merasai perasaan 'belong to' ini...
Bahkan ia adalah usaha semua orang juga! Kehadiran setiap orang harus dihargai sebaiknya dan binalah ikatan hati agar orang lain merasakan dia adalah seseorang bagi kita.

Kerana ukhwah itu teras kegemilangan...insyaALLAH...

^^ Murnikan niat, hanya keranaNYA...teruskan langkah dgn bimbinganNYA ^^

Friday, December 9, 2011

al-Ma'un~ refleksi..

Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Maha Penyayang

بِسۡمِ اللّٰہِ الرَّحۡمٰنِ الرَّحِیۡمِ


  1. اَرَءَیۡتَ الَّذِیۡ یُکَذِّبُ بِالدِّیۡنِؕ

  2. فَذٰلِکَ الَّذِیۡ یَدُعُّ الۡیَتِیۡمَۙ

  3. وَ لَا یَحُضُّ عَلٰی طَعَامِ الۡمِسۡکِیۡنِؕ

  4. فَوَیۡلٌ لِّلۡمُصَلِّیۡنَۙ

  5. الَّذِیۡنَ ہُمۡ عَنۡ صَلَاتِہِمۡ سَاہُوۡنَۙ

  6. الَّذِیۡنَ ہُمۡ یُرَآءُوۡنَۙ

  7. وَ یَمۡنَعُوۡنَ الۡمَاعُوۡنَ



[1]
Tahukah engkau akan orang yang mendustakan ugama (meliputi hari pembalasan)?
[2]
Orang itu ialah yang menindas serta berlaku zalim kepada anak yatim,
[3]
Dan ia tidak menggalakkan untuk memberi makanan yang berhak diterima oleh orang miskin.
[4]
(Kalau orang yang demikian dikira dari bilangan orang-orang yang mendustakan ugama), maka kecelakaan besar bagi orang-orang Ahli Sembahyang -
[5]
(laitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya;
[6]
(Juga bagi) orang-orang yang berkeadaan riak (bangga diri dalam ibadat dan bawaannya),
[7]
Dan orang-orang yang tidak memberi sedikit pertolongan (kepada orang yang berhak mendapatnya).


SURAH AL-MA'UN
Surah pendek ini mengandungi mesej tentang hakikat Islam yang sebenar, sebuah surah yang sewajarnya mengubah persepsi dan cara fikir kita bila berbicara tentang islam sebagai sebuah agama....

ALLAH bertanya kepada kita, 'Tahukah siapa yang termasuk dalam golongan yang mendustakan agama?'
Lalu ALLAH memberikan jawapan kepada kita bahawa mereka yg mendustakan agama ialah mereka yang menindas anak yatim dan tidak menggalakkan untuk memberi makan kepada anak yatim.

Tiga ayat pertama ini jelas suatu yg mengejutkan! Golongan yang mendustakan agama bukanlah mereka yg kafir, yg menolak utk beriman dgn hari kiamat dan risalah yg dibawa oleh Rasulullah SAW, tetapi adalah golongan yang menindas anak yatim dan tak menggalakkan utk memberi makan kepada anak yatim!

Siapa yang boleh jadi termasuk dalam golongan ini?
Adakah hanya orang kafir?
Tidak!
Orang islam sendiri boleh jadi salah seorang yang melakukan perbuatan ini.

Ini cukup memberikan satu peringatan yang besar kepada kita muslimin, bahawa Islam bukan hanya sebuah pengakuan atau ibadah-ibadah ritual (solat, zakat - seperti yang diterangkan dalam ayat-ayat seterusnya dalam surah ini), bahkan ia adalah aqidah bagi hati yang membersihkan jiwa sehingga jiwa itu tak mampu membiarkan insan lain berada dalam kesusahan.
Jiwa kasih sayang yang lahir daripada sebuah keimanan kepada yang Maha Esa... Inilah yang harus kita bina dalam diri kita bila kita mengakui diri sebagai seorang muslim.

Bahkan, segala ibadah yang kita lakukan, nilainya ialah pada ikhlasnya hati dan sucinya jiwa untuk tunduk kepadaNYA. Lantaran itulah ALLAH menyebutkan tentang orang yang lalai dalam solatnya... Siapakah yang mengetahui kita sedang berlalaian dalam solat kita walaupun kita mendirikan solat pada awal waktu? Siapakah yang mengetahui ada riya' dalam hati kita ketika kita melakukan kebaikan?

Astaghfirullah 3x...

Ini peringatan ALLAH kepada kita. Mari kita sama-sama berusaha membina jiwa yang benar-benar tunduk kepada ALLAH sehingga kita jadi ikhlas semata-mata keranaNYA dalam setiap amal perbuatan kita.
Bahkan agar jiwa kita menjadi jiwa yang lembut dan halus, disulam oleh kasih sayang yang tiada sempadan....
Agar jiwa kita mengasihi saudara-saudara kita yang sedang ditindas di bumi Palestin, Syria, Libya dan banyak lagi...
Serta mengasihi saudara-saudara kita yang hanyut dibius oleh serangan pemikiran yang dilancarkan oleh musuh-musuh Islam sehingga islam jadi semakin jauh daripada diri...

Kesimpulannya;
Jiwa pengasih kepada insan lain yang mungkin tak pernah bersua, tiada perhubungan darah itu hanya mampu lahir daripada jiwa yang dibersihkan dengan ketundukan dan keimanan kepada ALLAH. Itu hakikat deen ini, ISLAM... Dari sinilah ISLAM menjadi rahmat buat seluruh alam kerana kasih sayangnya adalah kasih sayang yang global dan universal, tanpa sempadan bangsa dan geografi...

wallahu a'lam

tampalan daripada : Hlas Palestiny

^^ Murnikan niat, hanya keranaNYA...teruskan langkah dgn bimbinganNYA ^^

Thursday, December 1, 2011

Camne nak exam?

Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Maha Penyayang

Ibarat kelapa tua,kaya dengan minyaknya...Begitu pula orang lama, kaya juga pengalamannya.
Bahkan, jika kita tidak lokek bertanya dan mendekati orang-orang lama ni,insyaALLAH kita boleh jadi kaya ilmu.

insyaALLAH, post ini saya tujukan khas buat adik-adik junior Palacky University,Olomouc,Czech Republic.

Masalah utama : Bagaimana nak set tarikh exam?
1) Cuba senaraikan semua test yang akan dihadapi
Supaya boleh lihat apa sebenarnya menanti kita pd minggu hadapan dan seterusnya.

2) Pilih yang mana prioriti & seimbangkan dengan kemampuan serta kesediaan diri
Untuk prioriti, di sini (di Czech) sistem peperiksaan ini mengajar kita untuk menentukan prioriti kita. Maksud saya, kita bebas mengatakan yang mana lebih prioriti. Neraca prioriti itu mungkin berbeza...Kerana ada yang merasakan mahu selesaikan semua credit test sebelum proceed dengan exam besar. Ada juga yang rasa perlu habiskan exam besar dan tangguhkan dulu credit test.

Kita banyak belajar mengenal diri dan memaksimakan kemampuan diri...
Mengenal diri terutama ketika memilih tarikh exam tu. Kita akan cuba mengevaluasi diri dan menilai sejauh mana kita telah bersedia untuk menghadapi sesuatu peperiksaan...Menilai sejauh mana kita benar-benar memahami sesuatu subjek sepanjang semester yang sedang menuju penghujungnya.
Memaksimakan kemampuan diri kerana kita akan cuba struggle untuk mencapai target habiskan exam. Saya lihat sendiri kawan-kawan saya bersungguh-sungguh bermujahadah bersungguh-sungguh sampai ada yang tidur di fakulti semata-mata mencari suasana yang akan membuat diri belajar..
Ada yang balik malam-malam dari fakulti supaya boleh fokus belajar.
Ada juga yang makannya jadi tak teratur, tak masak sebab nak maximizekan masa utk studi..

Masalah jugak : Cuak nak ambil exam!
1) Mindset
Bagi saya,semuanya bermula dengan mindset! Jangan terlalu terpengaruh dengan cerita-cerita yg didengari drpd senior (termasuklah saya... ;)) kerana perubahan itu mungkin saja berlaku setiap tahun. Kami melihat sendiri perubahan-peruahan tersebut... Test mingguan yg direkod, lecturer yg semakin lembut dgn students... etc etc...

Jadi, kuncinya ada pada dirimu sendiri...
a) Belajarlah untuk menambah ilmu yang mampu membawa manfaat kepada orang lain kelak...
b) Yakinlah bahawa dirimu mampu menghadapi apa jua ujian yang disediakan! (lecturer tak mahu senyum, gelabah n nervous, tak boleh nak fikir dalam masa yang singkat etc)
c) Yakinlah kepada ALLAH, bahawa DIA sentiasa bersamamu.Sentiasalah berdoa memohon kekuatan daripadaNYA.
d) Harus sentiasa menjaga hubungan dengan ALLAH. (jangan sampai abaikan solat, abaikan al-Quran etc)
e) Bila tarikh exam dah makin dekat, tetapkan hati dan bulatkan tekad utk ambil pada tarikh yang dah dipilih. Jangan teraffected dgn kawan yg withdraw atau jangan rasa terlalu ragu dgn knowledge yg ada (kecuali betul2 rasa tak tahu banyakkkk benda). Semoga dengan itu kita tak menutup peluang orang lain atau menghalang perancangan exam orang lain.

2) Support system
Roomate atau housemate adalah antara orang2 paling dekat dengan kita. Atas nama ukhwah itu, wujudkanlah keadaan saling membantu.

Bantu, dengan mengingatkan, menaikkan semangat dan membetulkan sebarang kesilapan...
Bantu, dengan mengingatkan tujuan kita belajar di sini...
Bantu, dengan saling berbincang dan berkongsi apa yang difahami...
Bantulah dengan apa jua bantuan yang mampu diberi...

Selain itu, batchmates juga berperanan utk membina suasana saling membantu.

p/s : Jaga hati, akhlak, iman dan amal setiap masa... Semoga dengan itu, cahaya ILAHI bisa menembusi hati dan memudahkan diri utk fahami semua ilmu yg dipelajari...Apa jua yg kita lakukan, beringatlah bahawa ALLAH sentiasa melihat dan mendengar setiap patah kata...Semua itu akan tercatat dan akan dihisab kelak...
Astaghfirullah3x
p/s/s : setakat ini dahulu coretan2 ni...=)

^^ Murnikan niat, hanya keranaNYA...teruskan langkah dgn bimbinganNYA ^^