Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Maha Penyayang
Kematian seorang akh (saudara) dalam dakwah baru-baru ini benar-benar mengetuk diri. Aku yang seolah kehilangan arah dalam langkah telah ditunjukkan semula ke mana harus aku melangkah. Aku yang memberontak dalam diam akhirnya terdiam melihatkan pengakhiran akh ini yang sungguh, penuh keindahan dan kebaikan.
MasyaALLAH, semua orang mendoakan kebaikan untuknya. Semua orang dengan rela hati mahu menjadi saksi bahawa arwah adalah seorang yang telah bersungguh-sungguh untuk deenullah (mujahid) dan seorang yang telah membenarkan janjinya (as-siddiqeen).
Selalu kuungkapkan, bahawa seorang mukmin itu wawasan hidupnya ialah wawasan akhirat. Teringat ungkapan seorang akh al-mujahid juga yang kematiannya dulu pernah menggetarkan hati ramai orang; 'Kami ibarat anak-anak akhirat, melihat dunia dari jendela akhirat.' Ya, sama sahaja pemikiran kita tetapi akhi, kau telah membuktikannya dengan kesyahidanmu.
Dan kini, Akh Iman Syafiq, telah membuktikan katanya ; 'Dakwah dan tarbiyah adalah nadiku. Mana mungkin aku hidup tanpanya' dengan kesyahidannya.
Akhi, aku juga punya perasaan yang sama tapi itu masih belum terbukti sehinggalah aku mati mempertahankannya sepertimana dirimu membuktikan. Ya, masih jauh perjalananku untuk membuktikannya. Semoga ALLAH mengurniakan daku kekuatan dan ketsabatan hati.
Betapa, kisah kematian insan-insan istimewa ini adalah tazkirah besar buat diriku. Dan aku pasti, ia adalah tazkirah besar buat semua orang lain yang juga sama-sama berjuang di jalan ALLAH.
Alhamdulillah, kurasakan ada nafas baru sedang berhembus pada diri setelah ditazkirah dengan kehilangan seorang akh mujahid ini. Seolahnya, ALLAH memperingatkanku bahawa dunia ini sementara. Ya, ia memang tempat persinggahan sementara sahaja! Hidup di dunia ada akhirnya dan penghujungnya sebaliknya kehidupan yang abadi menanti setelah berakhirnya kehidupan di dunia itu. Hadis kotak yang baginda SAW lukiskan itu kini memberikan aku suatu pengertian baru. Lalu, aku lakarkan diagram di atas untukku mudahkan bicara.
Dunia yang bersifat sementara ini mengandungi penipuan yang menjauhkan manusia daripada tujuan sebenar dia diciptakan, menjauhkan manusia daripada menunaikan amanah yang perlu dilaksanakan. Lantas, kerana itulah ALLAH mengutuskan Rasul-NYA untuk membawakan petunjuk dan memberikan contoh bagaimana sepatutnya manusia hidup di dunia yang sementara ini agar kelak dapat beroleh kehidupan abadi yang bahagia, tanpa sengsara dan duka.
Ya, kembalilah kepada Tuhanmu! Tundukkan hatimu sepenuhnya, tanpa ragu, tanpa rasa berat, tanpa rasa lemah! Dan bagiku, dakwah dan tarbiyahlah yang membawa hatiku kembali kepada Rabbku.
Anda.. Pilihlah jalan yang akan membawa hati anda tunduk kepadaNYA tanpa kompromi dan sekutu! Jangan bertangguh kerana kita tak pernah tahu bila kita akan kembali kepadaNYA. Ketahuilah, DIA sedang menanti kita untuk tunduk kembali kepadaNYA dan melepaskan diri kita daripada ikatan-ikatan duniawi kepada kebebasan rabbani.
Akhir kalam, selamat menghayati sebuah lagu indah daripada seorang penyanyi yang kukagumi karyanya, yang selalu menyentuh hati ini untuk sentiasa merasakan ALLAH itu ada..
Maher Zain : This Worldly Life
^^ Murnikan niat, hanya keranaNYA...teruskan langkah dgn bimbinganNYA ^^
No comments:
Post a Comment