Tuesday, December 10, 2013

Tunduk Kepada Sebuah Ketentuan


Bismillahirrahmanirraheem

Jalan cerita hidup kita, ketentuan pencipta kita.. 


Menjadi hambaNYA, bukan hanya pada ketika meletakkan dahi ke bumi dalam sujud atau ketika menahan diri daripada lapar dan dahaga atau ketika tangan menghulurkan sebahagian wang untuk membayar zakat atau ketika dalam ihram melakukan tawaf mengelilingi Kaabah. Bahkan hakikat kehambaan itu menuntut seluruh kehidupan, jiwa raga, ligat fikir agar berorientasi hanya untuk tunduk kepadaNYA. 

Dan sungguh, setiap hari DIA akan mengajar kita sesuatu. Tidak lain, hanyalah untuk menjadikan kita semakin hari semakin tunduk kepadaNYA. 

Allahu!

Kadangkala, diri ini lupa. Lupa bahawa pabila lidah telah melakar janji bahawa DIAlah Tuhanku, aku sepatutnya menyerahkan semuanya kepada DIA. Serahkan cinta kepada DIA, serahkan rindu hanya untukNYA, serahkan kegembiraan hanya untuk mencari redhaNYA, serahkan keputusan hidup untuk DIA tentukan.. Dan banyak lagi penyerahan diri yang perlu dilakukan dalam langkah kita untuk berusaha benar-benar menjadi hambaNYA. Dan sungguh, aku masih belajar. 

Terlupa aku, ketika mengeluh akan kurniaanNYA yang kurasa tak sebaik kurniaan DIA untuk orang lain. 
Bahawa aku harus tunduk dengan penyusunan dan ketetapanNYA atas diriku.

Dan pabila DIA mengirimkan peringatanNYA melalui kejadian-kejadian di sekelilingku, barulah kusedari bahawa aku telah sekian kalinya mempersoalkan penyusunanNYA. 

ya ALLAH, terima kasih atas rahmatMU, masih sudi mengetuk hati ini dengan peringatanMU. Masih memberikanku rasa sensitif yang membuat daku sedar aku harus menjadi seperti temanku yang kau kirim sebagai peringatan. Dia hambaMU yang tunduk kepada ketentuanMU walaupun dirinya terasa tidak menyukai apa yang harus dilalui. Hanya keimanan kepadaMU dan perasaannya yang mendamba bimbinganMU itu, menguatkan hatinya menempuh jua apa yang sebenarnya berat untuk dia laksanakan. 

Sedang aku, bahkan merungut tatkala ketentuanMU tidak berpihak kepada keinginan dan harapanku. 

Allahu.. 

Masih terlalu lemah, terlalu rapuh keyakinanku kepada aturanMU untukku.. Dan tiadalah daya upayaku melainkan dengan rahmat dan bimbinganMU ya Rabb. 

p/s: Sungguh, kalam ini kuluah ketika diri masih rapuh membuktikannya dengan amal. Cuma mengharap agar ini menjadi penguat untukku berdiri menanam keyakinan yang benar dalam hati dan dibuahkan oleh amal. 
Allahu.. menulis bukan hanya pada tinta tapi menuntut buktinya dalam diari hari. ya ALLAH, mudahkan diriku membuktikan keyakinan hatiku ini ya ALLAH.. semoga tidak menjadi hamba yang KAU murkai kerana tidak menunaikan apa yang dikata. (61:2-3) 

No comments:

Post a Comment