Tuesday, May 10, 2011

Interaksi Denganmu ; Al-Quran

Dengan nama ALLAH yang Maha Pengasih Maha Penyayang

Setiap hari dalam solat lima waktu yang kita kerjakan, kita pasti akan membaca 7 ayat yang nilainya sungguh tinggi yang terkandung dalam surah al-fatihah. Dalam salah satu ayatnya, terkandung satu permohonan doa hamba kepada Rabbnya agar ditunjukkan jalan yang lurus (shirothol mustaqeem).

Hidup kita memerlukan panduan agar kita mampu hidup sebaik-baiknya di atas dunia ini. Agar hadirnya kita di atas dunia ini mampu memberi manfaat yang sewajarnya utk diri sendiri & orang serta makhluk lain. Kita perlukan undang-undang untuk menuntun kita menjalani kehidupan mengikut caranya, agar keharmonian masyarakat dan diri dapat dicapai.

ALLAH, pencipta manusia dan sekalian alam telah menurunkan panduan & manual terbaik untuk manusia sebagaimana firmannya;

'Al-Quran itu adalah kitab yg tiada keraguan (padanya).' (2:2)


Al-Quran : bacaan wajib setiap hari





Sungguh, tiada keraguan padanya! Sehebat mana manusia tentera taghut cuba menafikan kebenaran yang dikandungi al-Quran, takkan mampu menggoyahkan kebenaran yang diturunkan oleh ALLAH al-Haq. Lantas, di situ bererti kita sebagai muslim yg meyakini al-Quran sebagai panduan hidup kita harus berpegang teguh dengan kebenaran yang terkandung di dalamnya.

Manusia hari ini jauh daripada al-Quran. al-Quran itu hanya untuk dibaca dalam majlis khatam al-Quran pada penghujung Ramadhan atau bagi anak-anak yang berjaya menghabiskan pengajian al-Quran di sekolah agama. Hanya enak didendangkan di majlis tilawah al-Quran peringkat antarabangsa atau dialunkan sang qari' di pembukaan majlis-majlis rasmi.

Jelas sekali, interaksi muslimin hari ini dengan al-Quran begitu berbeza dengan interaksi generasi sahabat. Bagaimana seharusnya kita berinteraksi dengan al-Quran?

Bagi para sahabat yang begitu dekat dengan baginda Rasulullah SAW, baginda telah mendidik mereka agar hanya mengambil al-Quran sebagai manual atau panduan untuk mereka melaksanakan segala urusan. Ini dapat dilihat bagaimana Baginda SAW merah padam tatkala melihat Umar takjub dengan Taurat yang dibacanya.

'Sekiranya Isa a.s masih hidup sekarang, pastinya dia akan menjadi pengikutku.

~ Suatu ungkapan yang cukup besar untuk menggambarkan betapa pentingnya menjadikan al-Quran semata-mata panduan kehidupan.~


5 CARA INTERAKSI DENGAN AL-QURAN
















Leburkan al-Quran ke dalam diri

1) Menghadirkan hati

Hati adalah alat utama untuk kita memahami ayat-ayat al-Quran. Jika al-Quran itu turun untuk memenuhi keperluan akal manusia, bukankah agak tidak adil untuk mereka yang kurang kemampuan akalnya. Hati adalah raja yang menentukan perbuatan manusia & sekiranya hati ini dipenuhi dengan hidayah al-Quran pastinya akan sejahtera kehidupan manusia & alam. Sedangkan seorang raja dan pemerintah memerlukan penasihat, pastilah hati kita memerlukan bimbingan yang terbaik. Bimbingan yang terbaik itu hanya mampu diberi oleh al-Quran, manual terbaik yang diturunkan oleh Rabbul a'lamin.

2) Merasakan setiap ayat al-Quran adalah untuk diri sendiri

Pelbagai cara ALLAH tujukan ayat & peringatan dalam al-Quran. Adakalanya ALLAH tujukan kepada orang-orang beriman (wahai orang-orang beriman), ada yang ditujukan umum kepada manusia seluruhnya (wahai sekalian manusia) dan ada ayat-ayat berupa ancaman kepada manusia yang kufur & fasiq. Jika kita sudah merasakan dalam hati kita ada iman, mungkin saja kita tidak terasa dengan ayat-ayat ALLAH yang menyebut tentang orang-orang kafir. Namun, persepsi ini harus kita betulkan kerana kita mungkin saja tidak terlepas daripada sikap-sikap kafirun yang ALLAH ceritakan. Rasailah bahawa tiap-tiap kalimat ILAHI dalam al-Quran itu untuk kita agar apa yang dibaca itu mampu membuahkan amal dalam kehidupan kita.

3) Faham bahasa Arab

'Sesungguhnya Kami menurunkannya berupa al-Quran berbahasa Arab, agar kamu mengerti.' (12:2)

al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab, bahasa terbaik yang mampu menerangkan sesuatu dengan penerangan yang paling tepat. Sekiranya erti katanya difahami secara mendalam, pasti ia akan memberi suatu kefahaman yang lebih meluhur & mendalam. Bahkan ia mampu memberi kesan kepada jiwa dan tindakan. Dan sememangnya al-Quran itu ayat-ayatnya bertujuan untuk menggerakkan jiwa dan anggota untuk mentaati ALLAH.

4) Mengetahui asbabun nuzul (sebab turun)

Jika kita tahu sebab turunnya ayat itu, barulah kita semua mampu memahami dan menghargai susunan ayat-ayat dalam Quran. Adakalanya kita lihat perkara berbeza dalam satu ayat dan itu hanya dapat dijelaskan jika kita mengetahui sebab turunnya ayat itu. Bahkan peristiwa yang berlaku hingga menjadi sebab turunnya ayat itu akan memberikan kita pengajaran yang lebih berkesan dalam kita mempraktikkan ayat-ayat ALLAH dalam kehidupan seharian.

5) Mempunyai pengetahuan tentang sirah

Sejarah baginda SAW penting untuk diketahui dengan mendalam supaya kita bisa memahami suasana masyarakat ketika turunnya wahyu ALLAH kepada utusan terakhir, Rasulullah SAW. Mengetahui asbabun nuzul sahaja tidak mencukupi untuk kita memahami tentang masyarakat dan latar masa turunnya sesuatu ayat.

InsyaALLAH, ini serba sedikit cara untuk kita berinteraksi dengan al-Quran selain kita menjaga adab-adab terhadap al-Quran. Selalunya kita terlupa perkara-perkara di atas dalam usaha untuk menghargai dan memahami al-Quran.
Wallahu a'lam.

^^ Murnikan niat, hanya keranaNYA...teruskan langkah dgn bimbinganNYA ^^

No comments:

Post a Comment