Monday, May 16, 2011

Tunggu Sampai Seru?

Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Maha Penyayang

Islam ialah ketundukan sepenuhnya kepada segala perintah ALLAH swt. Dalam kita mengimpikan untuk membina ketundukan dan penyerahan yang total kepada ALLAH itu, kita memang takkan terlepas daripada suatu sesi iaitu sesi melatih diri! Melatih, mengajar dan mendidik diri untuk menjadi hambaNYA yang benar-benar tunduk.

Kelihatannya seperti susah untuk menjadi hamba yang benar-benar taat jika dinisbahkan kepada suatu latihan. Mungkin apa yang terbayang di fikiran ialah bagaimana askar-askar dan tentera dilatih. Latihan yang dilalui semuanya keras-keras dan payah, perlukan banyak tenaga dan kekuatan jiwa.

Ya, memang susah bila kita memilih untuk menanamkan islam ke dalam diri dengan latihan. Ada satu lagi cara yang bunyinya lebih mudah tapi, harus diingat bahawa latihan ini memang suatu elemen yang kita perlukan dalam membentuk ketaatan dan ketundukan sebenar kepada ALLAH.

Cara lain untuk membina ketundukan itu ialah dengan membina perasaan; iaitu menyuburkan cinta yang sebenar kepada ALLAH.

Jika seorang kekasih itu dirindui, maka tanamkanlah dalam hati rasa rindu yang tak pernah padam kepada pertemuan dengan ILAHI.
Jika seorang kekasih itu kata-katanya sentiasa jadi azimat & suatu yang akan diikuti, maka berpegang teguhlah dengan kalamullah, al-Quran al-kareem dan zahirkan ajaran dalam al-Quran itu kepada kehidupan kita seharian.
Jika seorang kekasih itu hatinya akan sentiasa dijaga daripada dilukai, maka haruslah kita berusaha agar tiada tingkah dan ucapan kita mengundang murka ALLAH..
Jika seorang kekasih itu apa yang tidak disukainya akan dihindari, maka hindarilah apa yang boleh membuat ALLAH tak suka pada kita..
Jika seorang kekasih itu adalah insan yang selalu diingati dan terbayang-bayang di layar fikiran, maka ALLAH haruslah sentiasa diingati sehingga timbul perasaan bahawa kita tak pernah mampu membawa diri jauh daripada ingatan dan ikatan hati kepadaNYA.

Semua ini adalah mengenai perasaan...

"Aaahh, apa perasaan-perasaan ni! Aku tak layan benda-benda lembik begini.."

Mungkin ada saja yang pernah berfikir seperti itu. Tanpa disedari, faktor perasaan ini sentiasa mendominasi kehidupan seorang manusia, faktor yang menjadi penyebab terkuat dalam penilaian dan ketika kita mengambil keputusan.

Kesimpulannya,
Carilah zouq itu! Perasaan itu! Zouq utk hidup dengan islam yang sebenar, seperti yang ALLAH mahu.

Dengan perasaan aka zouq itu, maka kita akan tunduk kepadaNYA dengan suatu ketundukan yang luar biasa. Bukan ketundukan yang dipaksa atau disuruh-suruh, sebaliknya lahir dengan suatu kesedaran.

Jangan hanya menunggu tiba masanya kita dikurniakan zouq itu...Berusahalah mendapatkannya! Sebagaimana kita berusaha bersungguh-sungguh untuk membuat insan yang kita cintai sudi menerima dan membalas cinta kita, marilah kita berusaha mencari zouq itu...

Zouq untuk rasa malu melakukan apa yang ALLAH murkai,
Zouq untuk rasa sabar terhadap segala kerenah manusia yang kita temui,
Zouq untuk rasa bersungguh-sungguh ingin menginfaqkan harta dan jiwa raga untuk agama ALLAH,
Zouq untuk rasa ingin mengekalkan ketaatan dan istiqamah dalam amalan..
...dan banyak lagi..

Dalam kita cuba menanamkan akhlak islam ke dalam diri, mari kita tanamkan zouq untuk menghayati akhlak itu supaya ALLAH hilangkan rasa malas atau lemah untuk mengekalkan akhlak mulia itu.


^^ Murnikan niat, hanya keranaNYA...teruskan langkah dgn bimbinganNYA ^^

No comments:

Post a Comment