Dengan nama ALLAH yang Maha Pengasih Maha Penyayang
Kenapa ingin menulis?
Mungkin entry ini sepatutnya jadi entry pertamaku. Namun kucoretkan tulisan kali ini sebagai satu muhasabah buat diri sendiri dan semoga ia mampu menjadi motivasi kepada orang lain yang sedang mencari-cari jawapan.
Pabila ingin berbicara tentang soalan di atas, satu perkara yang harus tersemat kukuh dalam pemikiran kita ialah kita harus sentiasa memelihara niat kita. Niat kita akan menjadi penentu diterimanya amalan kita oleh ALLAH SWT atau ia hanya akan menjadi seperti debu-debu berterbangan, sia-sia. Niat kita di awal perjalanan akan menjadi penentu di mana akhirnya kita. Niat kita juga akan menentukan sama ada kita akan terus kukuh melaksanakan apa yang kita buat walaupun diuji di pertengahan jalan.
Teringat satu ketika, bila seseorang cuba memujuk daku untuk menulis blog. Aku katakan padanya aku takut tak mampu memberi komitmen untuk selalu 'up-date' entry baru secara konsisten. Tambahan pula, aku rasakan ada cabaran untuk belajar segala kerenah teknologi (design, url, etc...dan segala istilah yang tak kufahami).
Setelah beberapa lama, akhirnya perasaan itu datang sendiri...Perasaan ingin berkongsi...Terlupa aku di mana titik mulanya. Seingatku, kata-kata seorang kakak telah membuatkan aku berfikir panjang mengenai idea memiliki blog sendiri. Sukar untukku ungkapkan semula kata-katanya. Namun, satu yang pasti ialah kata-katanya telah membuatku bertekad untuk membuat blog. Apa yang dikatakannya adalah pesan sang murabbi kepadanya, bahawa tulisan itu mungkin boleh jadi medium yang berkekalan untuk mesej tentang islam itu sampai kepada manusia.
Lantaran perasaan ingin berkongsi Islam yang indah ini dengan seluruh manusia, aku mula merasakan blogging adalah satu cara yang bagus!
Nak tulis apa?
Aaah...pening juga nak fikir apa yang patut ditulis. Sesungguhnya pernah sahaja perasaan rendah diri menguasai diri pabila membaca karya-karya bloggers yang hebat, yang patah katanya begitu menyentuh hati, yang bahasanya begitu indah disusun.
Tapi, kerana hati sudah bulat aku teruskan langkah membuat blogku sendiri. Aku tuliskan sedikit refleksiku pada apa yang daku perhatikan dan perasaan hatiku terhadapnya. Terasa begitu keanak-anakan sekali namun aku teruskan sahaja...Banyak entryku yang berbentuk luahan hatiku dan aku cuba untuk menyampaikan islam daripadanya.
Setelah beberapa ketika, (setelah beberapa lama tak update entry baru...layout yang tak menarik etc) aku ambil keputusan untuk buka blog baru. Hajatku, ia bakal menjadi blog yang lebih matang walaupun aku sendiri masih tak dapat membayangkan apa yang matangnya. Dari masa ke masa, aku teruskan melihat-lihat blog-blog yang kurasakan matang,yang kukagumi tulisannya.
Ia telah membuka mataku bahawa untuk aku menulis dengan lebih baik, bacaanku harus ditambah! Terasa saja, blogku begitu sempit ruang lingkupnya...Hanya sekitar pengalaman-pengalaman diri, jarang sekali aku membicarakan tentang isu-isu semasa...Ya, aku tahu aku tak bicarakan isu semasa kerana aku takut melontarkan pandanganku. Ini pasti bukan sebab lain, kerana diri sendiri kurang membaca lalu tak tahu apa yang ingin diulas.
Aku sendiri merasakannya, bila kutambah bahan bacaanku idea untukku menulis makin bertambah (walaupun masih belum banyak tulisan-tulisan matang yang kuhasilkan). Sangatlah benar firmanNYA agar kita jadi umat yang membaca seperti dalam wahyu pertama kepada Rasulullah SAW tercinta. Surah al-Qalam pula memberikan daku satu lagi dos keyakinan kerana dalam ayat kedua, ALLAH bersumpah dengan pena dan apa yang tertulis...
Alhamdulillah, dengan memahami ayat-ayat ALLAH aku rasakan keyakinanku untuk terus menghidupkan blogku sentiasa ada. Walaupun mungkin tak ramai yang membaca, sekurang-kurangnya yang membaca akan mendapat manfaat. Aku juga yakin, kita harus menambahkan bilangan blog-blog yang mampu merealisasikan ummah yang saling menasihati dan mengingatkan sebagaimana yang dianjurkan olehNYA dalam Surah Al-Asr dan hadis baginda SAW (baca : hadits 7 - agama adalah nasihat).
Kita adalah umat yang dianjurkan untuk membaca dan menulis. Kesan kedua-dua medium ilmu ini memang luar biasa sebenarnya. Medan dakwah ilallah (kepada ALLAH) yang begitu berkesan sekali (walaupun ada yang memang tak suka membaca..). Masihku ingat, bagaimana tulisan-tulisan menjadi medium menyampaikan mesej-mesej untuk bangkit memperjuangkan kemerdekaan di tanah air kita, Malaysia. Bahkan, Al-Quran sendiri turun sebagai sebuah kitab untuk bacaan.
Media penulisan ini harus kita kuasai! Betapa banyak penulisan-penulisan oleh mereka yang memburukkan Islam sehingga memberi pandangan buruk terhadap islam. Siapa yang akan melawan atau membetulkan kembali pandangan yang salah ini? Bukankah sepatutnya mereka yang memahami dan merasai indahnya islam yang mampu berbuat demikian? Takkanlah seorang yang tidak mengenali islam pula kita harapkan untuk menjadi pembelanya.
Blog Hina Islam
Baru-baru ini aku dikejutkan dengan berita wujudnya sebuah blog yang menghina islam dengan kata-kata yang super-duper kesat kepada islam..bukan pada ajaran islam sahaja tapi kepada Raja sekalian alam, ALLAH dan rasul pembawa rahmat ke seluruh alam, Muhammad SAW. Kesat sekali bahasanya, kasar sekali gelaran-gelaran yang diberi. Sedih hati membacanya. Namun, sedih juga hatiku melihat insan-insan yang komen untuk membela islam dan menyuruh penulis berhenti berkarya sebegitu. Yang kasar dibalas kasar...
Tidak begitu islam mengajarkan kita. Islam mengajar kita untuk menghadapi tohmahan dengan hikmah dan kesabaran. Baginda SAW sentiasa menggunakan perkataan yang baik dalam hubungan baginda dengan golongan yang diseru, begitu jugalah yang sepatutnya kita lakukan. Ya, memang sangat marah dengan ungkapan-ungkapan si penulis namun kita harus terus berpegang dengan akhlak islamiyah yang dibawa oleh baginda SAW. Diam tidak bermakna kalah, kan? Berundur bukan bererti lemah, kan? Balaslah ungkapan-ungkapan buruknya dengan kata-kata hikmah yang melembutkan jiwa. Dalam hati manusia yang keras, masih ada sedikit fitrah, bukan? Cungkil dan cuitlah fitrahnya itu dengan kelembutan bahasa kita...Dakwah itu indah dan seni. Ia mampu dilaksanakan di mana sahaja, bahkan dalam penulisan kita...
Seruanku
Wahai hati-hati yang menyayangi islam, marilah kita berkarya! Kerana islam dan dakwah itu adalah seni! manfaatkanlah segala potensi seni dalam diri kita untuk menyebarkan yang benar tentang islam. Islam itu ajaran ALLAH yang benar dan ia perlukan pendukungnya... Pendukung yang akan mempersembahkan islam yang benar dan sebenar kepada mata dunia.
Lantas, hargai setiap medium yang ada untuk islam itu disebarkan. Sedikit kefahaman kita tentang keindahan islam itu berhak diketahui juga oleh orang lain. Mungkin kita tak pandai menyampaikannya melalui lisan kita kerana berteraburnya tatabahasa kita etc, tapi kita masih boleh menulis. Jika tak mampu untuk menulis, mungkin dengan menghasilkan video-video...
Lihat dunia hari ini, media paling terkenal ialah internet! Media ini harus kita kuasai kerana jika tidak dikuasai oleh umat islam, musuh-musuh islam mampu melakukan apa sahaja untuk berkata buruk tentang islam tanpa ada karya lain yang menerangkan indahnya islam. Filem-filem yang memenuhi Youtube adalah filem-filem yang merosakkan iman dan ditonton oleh majoriti umat islam. Kita harus berkarya untuk membantu saudara-saudara kita yang seolah-olah tertipu dengan kehendak dan nafsu... Kita boleh hidup tanpa hiburan yang merosakkan iman. Namun, mereka yang sukakan hiburan perlu dibawa meninggalkan hiburan dengan memberi alternatif lain. Rupanya seperti suatu yang menghiburkan tapi isinya berisi penuh dengan peringatan untuk mengingati dan tunduk kepada ALLAH.
Mari berkarya untuk ISLAM!
p/s : Dalam usaha untuk mematangkan penulisan dan berhajat untuk menulis dalam bahasa inggeris...doakan!
No comments:
Post a Comment