Saturday, December 10, 2011

~ Belong To ~

Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Maha Penyayang

Faktor Motivasi
Salah satu teori motivasi Maslow mengatakan bahawa perasaan 'belong to' atau tergolong adalah salah satu faktor yang boleh meningkatkan motivasi seseorang yang berada dalam sesebuah organisasi.
Itu teori untuk sebuah organisasi atau syarikat..

Sedar tak sedar, manusia adalah makhluk sosial; yang tak mungkin hidup sendirian sebaliknya sangat memerlukan orang lain dalam kehidupannya.
Setiap hari kita berada dalam lingkungan sosial; di sekolah, fakulti, hostel bahkan di rumah kita.
Apabila kita berada dalam lingkungan sosial ini, perasaan 'belong to' atau tergolong dalamnya akan menentukan selama mana kita akan berada bersama lingkungan itu.

Contohnya, kita berpiknik di tepi pantai bersama beberapa orang batchmates kita untuk buat
sandcastle aka istana pasir. Jika kita tak merasakan bahawa diri kita ialah sebahagian daripada kawanan ini, akan ada suatu perasaan untuk segera meninggalkan pantai itu. Sedikit kesalahan buat kita rasa cepat nak melenting. Gurauan dianggap sindiran. Deruan ombak jadi muzik yanh membingitkan telinga dan menyesakkan jiwa. Ukhwah dan senyum terasa hambar.

Sebaliknya, jika kita merasakan kita adalah sebahagian daripada kawanan ini, semua akan terasa indah... Walaupun makanan kita tertumpah dan tak dapat makan, itu adalah kenangan indah. Deru ombak terasa mendamaikan... Jiwa jadi tenang dan kasih semakin subur.

Penting Ni!
Perasaan belong to ini sangat penting, terutama dalam kita mengatur langkah bersama-sama untuk menegakkan yang makruf dan mencegah yang mungkar. Dalam saf kita, harus dibina perasaan tergolong dan terikat dan bersama dengan orang lain di sisi kita. PENTING! SUPER PENTING!
Perasaan ini harus dibina dan diciptakan oleh diri individu! Jangan biarkan diri tak merasai perasaan 'belong to' ini...
Bahkan ia adalah usaha semua orang juga! Kehadiran setiap orang harus dihargai sebaiknya dan binalah ikatan hati agar orang lain merasakan dia adalah seseorang bagi kita.

Kerana ukhwah itu teras kegemilangan...insyaALLAH...

^^ Murnikan niat, hanya keranaNYA...teruskan langkah dgn bimbinganNYA ^^

Friday, December 9, 2011

al-Ma'un~ refleksi..

Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Maha Penyayang

بِسۡمِ اللّٰہِ الرَّحۡمٰنِ الرَّحِیۡمِ


  1. اَرَءَیۡتَ الَّذِیۡ یُکَذِّبُ بِالدِّیۡنِؕ

  2. فَذٰلِکَ الَّذِیۡ یَدُعُّ الۡیَتِیۡمَۙ

  3. وَ لَا یَحُضُّ عَلٰی طَعَامِ الۡمِسۡکِیۡنِؕ

  4. فَوَیۡلٌ لِّلۡمُصَلِّیۡنَۙ

  5. الَّذِیۡنَ ہُمۡ عَنۡ صَلَاتِہِمۡ سَاہُوۡنَۙ

  6. الَّذِیۡنَ ہُمۡ یُرَآءُوۡنَۙ

  7. وَ یَمۡنَعُوۡنَ الۡمَاعُوۡنَ



[1]
Tahukah engkau akan orang yang mendustakan ugama (meliputi hari pembalasan)?
[2]
Orang itu ialah yang menindas serta berlaku zalim kepada anak yatim,
[3]
Dan ia tidak menggalakkan untuk memberi makanan yang berhak diterima oleh orang miskin.
[4]
(Kalau orang yang demikian dikira dari bilangan orang-orang yang mendustakan ugama), maka kecelakaan besar bagi orang-orang Ahli Sembahyang -
[5]
(laitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya;
[6]
(Juga bagi) orang-orang yang berkeadaan riak (bangga diri dalam ibadat dan bawaannya),
[7]
Dan orang-orang yang tidak memberi sedikit pertolongan (kepada orang yang berhak mendapatnya).


SURAH AL-MA'UN
Surah pendek ini mengandungi mesej tentang hakikat Islam yang sebenar, sebuah surah yang sewajarnya mengubah persepsi dan cara fikir kita bila berbicara tentang islam sebagai sebuah agama....

ALLAH bertanya kepada kita, 'Tahukah siapa yang termasuk dalam golongan yang mendustakan agama?'
Lalu ALLAH memberikan jawapan kepada kita bahawa mereka yg mendustakan agama ialah mereka yang menindas anak yatim dan tidak menggalakkan untuk memberi makan kepada anak yatim.

Tiga ayat pertama ini jelas suatu yg mengejutkan! Golongan yang mendustakan agama bukanlah mereka yg kafir, yg menolak utk beriman dgn hari kiamat dan risalah yg dibawa oleh Rasulullah SAW, tetapi adalah golongan yang menindas anak yatim dan tak menggalakkan utk memberi makan kepada anak yatim!

Siapa yang boleh jadi termasuk dalam golongan ini?
Adakah hanya orang kafir?
Tidak!
Orang islam sendiri boleh jadi salah seorang yang melakukan perbuatan ini.

Ini cukup memberikan satu peringatan yang besar kepada kita muslimin, bahawa Islam bukan hanya sebuah pengakuan atau ibadah-ibadah ritual (solat, zakat - seperti yang diterangkan dalam ayat-ayat seterusnya dalam surah ini), bahkan ia adalah aqidah bagi hati yang membersihkan jiwa sehingga jiwa itu tak mampu membiarkan insan lain berada dalam kesusahan.
Jiwa kasih sayang yang lahir daripada sebuah keimanan kepada yang Maha Esa... Inilah yang harus kita bina dalam diri kita bila kita mengakui diri sebagai seorang muslim.

Bahkan, segala ibadah yang kita lakukan, nilainya ialah pada ikhlasnya hati dan sucinya jiwa untuk tunduk kepadaNYA. Lantaran itulah ALLAH menyebutkan tentang orang yang lalai dalam solatnya... Siapakah yang mengetahui kita sedang berlalaian dalam solat kita walaupun kita mendirikan solat pada awal waktu? Siapakah yang mengetahui ada riya' dalam hati kita ketika kita melakukan kebaikan?

Astaghfirullah 3x...

Ini peringatan ALLAH kepada kita. Mari kita sama-sama berusaha membina jiwa yang benar-benar tunduk kepada ALLAH sehingga kita jadi ikhlas semata-mata keranaNYA dalam setiap amal perbuatan kita.
Bahkan agar jiwa kita menjadi jiwa yang lembut dan halus, disulam oleh kasih sayang yang tiada sempadan....
Agar jiwa kita mengasihi saudara-saudara kita yang sedang ditindas di bumi Palestin, Syria, Libya dan banyak lagi...
Serta mengasihi saudara-saudara kita yang hanyut dibius oleh serangan pemikiran yang dilancarkan oleh musuh-musuh Islam sehingga islam jadi semakin jauh daripada diri...

Kesimpulannya;
Jiwa pengasih kepada insan lain yang mungkin tak pernah bersua, tiada perhubungan darah itu hanya mampu lahir daripada jiwa yang dibersihkan dengan ketundukan dan keimanan kepada ALLAH. Itu hakikat deen ini, ISLAM... Dari sinilah ISLAM menjadi rahmat buat seluruh alam kerana kasih sayangnya adalah kasih sayang yang global dan universal, tanpa sempadan bangsa dan geografi...

wallahu a'lam

tampalan daripada : Hlas Palestiny

^^ Murnikan niat, hanya keranaNYA...teruskan langkah dgn bimbinganNYA ^^

Thursday, December 1, 2011

Camne nak exam?

Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Maha Penyayang

Ibarat kelapa tua,kaya dengan minyaknya...Begitu pula orang lama, kaya juga pengalamannya.
Bahkan, jika kita tidak lokek bertanya dan mendekati orang-orang lama ni,insyaALLAH kita boleh jadi kaya ilmu.

insyaALLAH, post ini saya tujukan khas buat adik-adik junior Palacky University,Olomouc,Czech Republic.

Masalah utama : Bagaimana nak set tarikh exam?
1) Cuba senaraikan semua test yang akan dihadapi
Supaya boleh lihat apa sebenarnya menanti kita pd minggu hadapan dan seterusnya.

2) Pilih yang mana prioriti & seimbangkan dengan kemampuan serta kesediaan diri
Untuk prioriti, di sini (di Czech) sistem peperiksaan ini mengajar kita untuk menentukan prioriti kita. Maksud saya, kita bebas mengatakan yang mana lebih prioriti. Neraca prioriti itu mungkin berbeza...Kerana ada yang merasakan mahu selesaikan semua credit test sebelum proceed dengan exam besar. Ada juga yang rasa perlu habiskan exam besar dan tangguhkan dulu credit test.

Kita banyak belajar mengenal diri dan memaksimakan kemampuan diri...
Mengenal diri terutama ketika memilih tarikh exam tu. Kita akan cuba mengevaluasi diri dan menilai sejauh mana kita telah bersedia untuk menghadapi sesuatu peperiksaan...Menilai sejauh mana kita benar-benar memahami sesuatu subjek sepanjang semester yang sedang menuju penghujungnya.
Memaksimakan kemampuan diri kerana kita akan cuba struggle untuk mencapai target habiskan exam. Saya lihat sendiri kawan-kawan saya bersungguh-sungguh bermujahadah bersungguh-sungguh sampai ada yang tidur di fakulti semata-mata mencari suasana yang akan membuat diri belajar..
Ada yang balik malam-malam dari fakulti supaya boleh fokus belajar.
Ada juga yang makannya jadi tak teratur, tak masak sebab nak maximizekan masa utk studi..

Masalah jugak : Cuak nak ambil exam!
1) Mindset
Bagi saya,semuanya bermula dengan mindset! Jangan terlalu terpengaruh dengan cerita-cerita yg didengari drpd senior (termasuklah saya... ;)) kerana perubahan itu mungkin saja berlaku setiap tahun. Kami melihat sendiri perubahan-peruahan tersebut... Test mingguan yg direkod, lecturer yg semakin lembut dgn students... etc etc...

Jadi, kuncinya ada pada dirimu sendiri...
a) Belajarlah untuk menambah ilmu yang mampu membawa manfaat kepada orang lain kelak...
b) Yakinlah bahawa dirimu mampu menghadapi apa jua ujian yang disediakan! (lecturer tak mahu senyum, gelabah n nervous, tak boleh nak fikir dalam masa yang singkat etc)
c) Yakinlah kepada ALLAH, bahawa DIA sentiasa bersamamu.Sentiasalah berdoa memohon kekuatan daripadaNYA.
d) Harus sentiasa menjaga hubungan dengan ALLAH. (jangan sampai abaikan solat, abaikan al-Quran etc)
e) Bila tarikh exam dah makin dekat, tetapkan hati dan bulatkan tekad utk ambil pada tarikh yang dah dipilih. Jangan teraffected dgn kawan yg withdraw atau jangan rasa terlalu ragu dgn knowledge yg ada (kecuali betul2 rasa tak tahu banyakkkk benda). Semoga dengan itu kita tak menutup peluang orang lain atau menghalang perancangan exam orang lain.

2) Support system
Roomate atau housemate adalah antara orang2 paling dekat dengan kita. Atas nama ukhwah itu, wujudkanlah keadaan saling membantu.

Bantu, dengan mengingatkan, menaikkan semangat dan membetulkan sebarang kesilapan...
Bantu, dengan mengingatkan tujuan kita belajar di sini...
Bantu, dengan saling berbincang dan berkongsi apa yang difahami...
Bantulah dengan apa jua bantuan yang mampu diberi...

Selain itu, batchmates juga berperanan utk membina suasana saling membantu.

p/s : Jaga hati, akhlak, iman dan amal setiap masa... Semoga dengan itu, cahaya ILAHI bisa menembusi hati dan memudahkan diri utk fahami semua ilmu yg dipelajari...Apa jua yg kita lakukan, beringatlah bahawa ALLAH sentiasa melihat dan mendengar setiap patah kata...Semua itu akan tercatat dan akan dihisab kelak...
Astaghfirullah3x
p/s/s : setakat ini dahulu coretan2 ni...=)

^^ Murnikan niat, hanya keranaNYA...teruskan langkah dgn bimbinganNYA ^^

Wednesday, November 23, 2011

Ikan Di Laut

Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Maha Penyayang

Perumpamaan itu
Siapa pernah dengar analogi ikan di laut?
Pernah makan ikan laut masin? Apa rasa ikan tu? Masin tak?
Seingat saya, ikan tu tak masinpun isinya...

Ikan yang hidup dalam laut masin, persekitaran yg masin tapi isinya tak jadi masin...
Begitulah sepatutnya seorang muslim. Terus hidup dan berkeliaran dalam tempat tinggalnya yang mungkin tidak menyokongnya untuk menjadi muslim yg taat tapi tidak menjadikan dirinya larut oleh suasana...

Susah, susah...
Itu suatu keperluan! Menjadikan diri hanya tersibghah dengan celupan ALLAH!

Di situ ada cabarannya! Kerana hati manusia yg begitu mudah berbolak balik, lebih cepat berbolak balik drpd air yg menggelegak...
Begitulah hatiku... Mungkin orang rasa aku kuat, tapi hatiku lemah sebenarnya...
(takutnya nak kata begini... seolahnya hati masih belum penuh dengan cinta ILAHI, masih belum berpaut teguh dgn tali ILAHI...wuhuhu...so sad...)

Bila Berinteraksi Dengan Silang Jantina
Aku tahu lemahnya hatiku bila berada dalam situasi yg memerlukan lelaki perempuan berinteraksi. Mungkin kerana tarikan fitrah (ok, jgn gunakan fitrah sebagai alasan utk membenarkan apa yg salah!), aku berasa senang dgn suasana interaksi itu. Aku
mudah merasa selesa dan akhirnya kurang menjaga diri dan tingkah laku (akhlak).

Mungkin ada yang bertanya, di mana salahnya merasa gembira berinteraksi, bertukar senyum, bertukar cerita dgn lelaki...
Bagiku, cukuplah hubungan lelaki dan perempuan itu pada perkara yg benar-benar perlu. Bagi aku, keperluan terbesar dalam hidup ini ialah mentaati ALLAH dan mengajak orang lain untuk sama-sama mentaatiNYA (suatu yg kadangkala, diri ini tak tertunaikan... T_T)...
Dalam melaksanakan ketaatan itu, perlukah bertukar cerita? Perlukah bertukar senyum? Bukanlah bererti tak boleh senyum langsung, tetapi ada hadnya...
Kerana bagiku, yg utama adalah hatiku sendiri... Aku gembira tetapi kemudian aku ragu-ragu dengan perasaan gembira bertukar senyum itu. Dan Nabi telah bersabda, yg tergaru-garu di hati itu adalah petanda dosa... Astaghfirullah 3x...

Mungkin orang lain tak rasa begini... Tapi inilah yang aku rasa... Tiada lain kuharapkan melainkan agar DIA memimpin diri ini utk merasakan apa yg benar dan dekat dengan redhaNYA...

Perlukan semua
Aku hanya insan yg lemah, yang sangat memerlukan sokongan semua untuk menjadi hambaNYA yang taat dan benar-benar berserah diri...

Aku perlukan rakan-rakan lelaki yg menjaga diri dan menghormati apa yg ALLAH perintahkan kepada kita (An-Nur:30-31)!

Aku perlukan rakan-rakan perempuan yg akan mengingatkan diri jika aku sudah melampaui batas... (hadis nasihat)

Aku perlukanMU,ya ALLAH untuk meneguhkan hati ini dan bimbinganMU agar aku mampu menempuh jalan dan membuat pilihan yg ENGKAU redhai dalam setiap tindakanku...

ALLAH, ALLAH, ALLAH T_T

La haula wala quwwata illa billah!~

^^ Murnikan niat, hanya keranaNYA...teruskan langkah dgn bimbinganNYA ^^

Sunday, November 20, 2011

Mara, Hilton

Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Maha Penyayang

Mara, Hilton
Alhamdulillah a'la kulli haal, telah selesai minggu ini dengan diisi oleh sebuah program kelolaan Pejabat Mara German bersama pelajar tajaan Mara di Czech Republic. Program 1 hari setengah di sebuah hotel terkemuka, Hilton... syukur tak terhingga atas kurniaan peluang untuk duduk di hotel mewah ni...

Harapanku...
Pada awal-awal program, dalam sesi ice-breaking kami semua telah ditanya tentang harapan daripada 'Program Pembangunan Pelajar 2011' ini. Berbagai-bagai jawapan kudengari. Aku antara orang-orang terakhir jadi dapatlah peluang mendengar harapan-harapan orang lain + dapat masa lebih untuk fikir apa sebenarnya yang kuharapkan daripada kehadiranku di sini... Harapan-harapan yg dilontarkan semuanya seolah-olah suatu peringatan buat diri ini... Ada yang berharap agar masa dan wang yg dibelanjakan oleh semua pihak (penganjur & peserta) tidak sia-sia dan bermanfaat... Ada yg berharap dapat belajar sesuatu dan amalkan sesuatu pulang nanti. Ada yang berharap agar harapan dan matlamat penganjuran program berjaya dicapai. Ramai sekali yang menyatakan harapan untuk bertemu dengan teman-teman daripada universiti lain.

Alhamdulillah, setelah mendengar semua harapan rakan-rakan lain, aku simpulkan harapan peribadiku ialah untuk mengenal diri. Aku ingin pertemuanku dengan teman-teman dari universiti lain mengajarku sesuatu tentang diri sendiri... Apa yang harus aku baiki dan apa yang harus aku kekalkan dalam diri... Aku ingin ceramah-ceramah yg disampaikan oleh penyampai-penyampai membuka mataku tentang sesuatu... Aku ingin tahu tentang harapan penaja dan polisi baru agar aku sentiasa ingat harapan-harapan yg tersandang di bahuku; harapan ibu bapa, harapan keluarga, harapan negara...

Sesungguhnya, benarlah sabda Rasulullah SAW bila baginda mengatakan bahawa seseorang akan mendapat apa yg ia niatkan... insyaALLAH, aku rasakan makin banyak benda yang aku tahu tentang diriku melalui semua akitiviti dalam kumpulan, perbincangan bersama ahli kumpulan dan ceramah-ceramah yg disampaikan.

Lambat @_@
Salah satu titik hitam dalam program ini ialah bila aku lambat masuk sesi 'Dialog Tentang Negaraku' pagi Ahad. 15 minit lambat... Masya ALLAH, astaghfirullahal a'zhim... Moga ALLAH berkenan mengampuni diri ini...

Kenapa lambat?
Aku berlengah kerana menyangka masih ramai yang sedang makan sarapan. Tambahan pula, sesi sebelum ini juga banyak terdrag...
OK! This is unacceptable, right!!! How can I let myself think that way??!!
Kalau orang lain lambat, aku sendiri tak suka dan tahu ia salah kerana tidak menepati masa. Sedang masa itu tinggi sekali nilainya sehingga ALLAH bersumpah dengan masa. Dan aku main-main dengan masa??!! Astaghfirullah 3x...
Terasa bahawa diri ini seperti lalang, tiada pendirian yang teguh tentang menjaga masa ni!

Aku masih ingat, kata-kataku kepada ahli kumpulanku bahawa pemimpin harus berpegang teguh dengan prinsip dan kebenaran, tidak terpengaruh oleh bilangan undi atau suara-suara yang menuntut suatu yg salah... (aku ucapkan ini ketika kami berbicara tentang pembinaan hub hiburan yang tidak dipersetujui oleh ramai yg dipersetujui oleh pemimpin islam...bagiku, seorang muslim patut berpegang teguh dgn syariat dan berjuang mempertahankan syariat dengan kuasa yg mereka ada, tentunya dengan berhikmah)
Kata-kataku ini seolahnya terkena di batang hidung sendiri... Terima kasih ALLAH kerana memberikan aku rasa utk terkena dengan peringatan ini!

Kesimpulan : Jaga masa!

Dialog Tentang Negaraku
Salah satu sesi yg paling aku sukai ialah 'Dialog tentang Negaraku'. Kami perlu berbincang tentang 5 pencapaian, 5 cabaran, 5 penambahbaikan Malaysia. Rasa seronok berbincang dengan rakan sekumpulan tentang negara yg tercinta. insyaALLAH, bersyukur ada sesi ni sebab sedikit sebanyak membuka mata dan mengingatkan diri tentang sejauh mana diri mengenali negara sendiri dan sejauh mana diri ini concern tentang tanah airku...
Aku personally sangat sedih dengan segala masalah yang wujud di negaraku.

Cabaran-cabaran
Perpaduan, mentaliti kelas ketiga, gejala sosial adalah antara cabaran-cabaran Malaysia sekarang.
Aku melihat persoalan mentaliti itu sebagai masalah terbesar yang perlu diatasi.
1) Ramai yang lebih suka menerima daripada memberi dan menghasilkan sesuatu.
2) Ramai yang terpengaruh dengan pemikiran utk enjoy di masa muda dan bergembira. Ramai yang tewas oleh pujukan-pujukan hedonism.
3) Banyak juga yang kurang berfikir panjang dan kurang berfikiran jauh; eg: bila diberi peruntukan untuk berniaga, duit dilaburkan sekaligus...
4) Suka ambil jalan mudah dan tak berani ambil risiko...

Dalam sesi bersama Mara, ada dinaikkan isu tentang kurangnya kemahiran berkomunikasi di kalangan pelajar Malaysia di CR sehingga menyebabkan berlaku sedikit masalah ketika oral exam. Aku sangat tertarik dengan lontaran pandangan yg menyebutkan bahawa pelajar Malaysia tak banyak bergaul dengan pelajar dari negara-negara lain (CR, UK, Portugal etc) dan banyak menghabiskan masa hanya bersama-sama orang Malaysia. Keadaan ini menyebabkan tidak berlakunya improvement atau communication skill development.
Ini masalah bila terlalu ramai Malaysian, terutama di universitiku. Dua tahun kebelakangan, universiti kami menerima banyak pelajar Malaysia sehingga kami sudah menjadi golongan majoriti dalam kalangan international student di uni ini...

Tapi, itu bukan alasan... Again, mentaliti... Kami sendiri perlu memulakan langkah pertama utk merapatkan jurang komunikasi dan bahasa dengan bangsa-bangsa lain. Ini satu peluang yang tak patut dilepaskan... Kami sepatutnya menghargai peluang berada sendiri di CR utk lebih menguasai bahasa Czech dan memahami budaya hidup mereka di sini...

Punca semua masalah?
Hanya satu yang mampu kulihat; hilangnya roh dalam diri sehingga semua begitu mudah digentel-gentel oleh pemikiran-pemikiran pelik yg disogokkan oleh musuh-musuh islam.
Atau kata lainnya, sudah hilang jati diri dalam diri masyarakat. Aku lebih suka melihat kepada individu kerana bagiku individu adalah nukleus sebuah masyarakat. Jika baik individu dalam masyarakat itu, maka baiklah masyarakatnya.
Masalah utama ialah bercelarunya identiti individu. Kita seolah tiada suatu pegangan yg teguh terhadap suatu perkara. Aku sedar masalah ini ada pada diriku jua. Sekarang, aku akan berusaha membina jati diri! Aku yakin jati diri sebagai seorang muslimlah yang harus aku perkasakan! Harus kenal ALLAH, tahu apa yang ALLAH suka dan apa yg ALLAH tak suka! Kerana siapapun aku (student, Melayu, anak, kakak, kawan etc), aku adalah hambaNYA.

ALLAH itu Maha Sempurna, maka pasti ajaran yg diturunkan-NYA utk manusia juga adalah ajaran sempurna... cuma kelemahan diri membuat diri jadi hamba-NYA yg tidak sempurna...

Alhamdulillah, aku bersyukur atas semua yg diaturNYA. insyaALLAH, hujung minggu di Hilton Prague mengajarku sesuatu tentang diriku... Aku harus punyai jati diri agar aku mampu melangkah teguh di bumi untuk menegakkan cita-cita menuju tegaknya Islam....

Langkah Pertama
Kena ada MINDSET & USAHA untuk berkenal-kenalan dengan lebih ramai orang!
(kan ALLAH ciptakan kita berbeza bangsa dan bahasa utk berkenal-kenalan?? Ini seruan daripada yang Maha Bijaksana, Maha Penyayang... tunggu apa lagi??)

^^ Murnikan niat, hanya keranaNYA...teruskan langkah dgn bimbinganNYA ^^

Friday, November 18, 2011

Mengisi Jiwa

Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Maha Penyayang

Isilah Jiwa Dengan Ma'rifatullah
Jiwa manusia ibarat ladang yang subur. Ia bisa menjadi ladang yang dipenuhi dengan tanaman yang bermanfaat untuk orang lain atau bisa saja ia ditumbuhi lalang-lalang dan semak-samun.

Kita, empunya tanah ladang itulah yang menentukan apa yang ingin kita tanami di atasnya.

Kisah Raja & Rakyatnya
Tersebut kisah, seorang raja yang kejam telah memerintah sebuah negara. Para rakyat sangat takut kepada sang raja sehinggakan sang raja boleh berbuat apa sahaja ke atas mereka. Takut merajai jiwa mereka sehingga tiada apa yang berdaya dilakukan untuk menghentikan kezaliman sang raja.
Sang raja sebenarnya sangat angkuh sehinggakan ia merasa ia boleh berbuat apa sahaja kepada rakyat yang 'taat' dan takut kepada dirinya. Sehinggakan ia tiba ke puncak kezaliman; sang raja sanggup mengaku diri sebagai tuhan kepada rakyatnya... Astaghfirullah3x...

Itulah kisah Firaun dan Bani Israel.

Banyak sekali kisah-kisah mereka dan rasul pilihanNYA, Musa as yang terlakar dalam al-Quran al-Kareem.
Keangkuhan Firaun juga diungkapkan berulang kali sebagai peringatan kepada manusia. Setiap kali diungkapkan, ALLAH menceritakan kisah keangkuhan itu dengan sudut cerita yang berbeza kerana banyak sekali peringatan dan ibrah yang ingin DIA sampaikan kepada kita.

Mari kita sama-sama telusuri apakah ibrah kisah keangkuhan Firaun ini...

Telah tertulis dalam Kalamullah, surah an-Nazi'at : 15-26.
7. Sudahkah sampai kepadamu wahai Muhammad perihal Nabi Musa? Ketika ia diseru oleh Tuhannya di “Wadi Tuwa” yang suci. Lalu diperintahkan kepadanya: “Pergilah kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufuran dan kezalimannya. Serta katakanlah kepadanya: `Adakah engkau suka hendak mensucikan dirimu dari kekufuran? Dan mahukah, aku tunjuk kepadamu jalan mengenal Tuhanmu, supaya engkau merasa takut melanggar perintahNya? ‘ ”

8. Setelah Nabi Musa menyempurnakan perintah Tuhannya, dan Firaun pun meminta bukti kebenarannya; maka Nabi Musa memperlihatkan kepada Firaun: mukjizat yang besar.

9. Tetapi Firaun mendustakan Nabi Musa dan menderhaka kepada Allah. Ia berpaling ingkar sambil menjalankan usahanya menentang Nabi Musa. Ia menghimpunkan orang2nya dan menyeru dengan berkata: “Akulah tuhan kamu, yang tertinggi”.

10. Maka Allah menyeksa Firaun di akhirat dan di dunia ini dengan azab yang menakutkan sesiapa yang mengetahuinya.

11. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang yang takut melanggar perintah Tuhannya.
Ini salah satu kisah yang ALLAH ceritakan tentang Musa, Firaun dan Bani Israel.

Perhatikan dan fikirkan... Firaun sebenarnya hanya seorang lelaki yang telah mengambil kesempatan atas kelemahan rakyatnya (Bani Israel). Rakyat sebenarnya lebih ramai daripada seorang pemerintah kejam itu.

Di mana sebenarnya kekuatan Firaun?
Tidak lain, pada takutnya dan lemahnya jiwa rakyatnya.

Banyak lagi yang boleh dihurai drpd petikan ayat al-Quran di atas... Namun, saya hanya ingin berkongsi tentang kebebasan jiwa yang sebenar...

Apa sebenarnya yang menjadikan Bani Israel lemah?
Kerana mereka tiada perasaan takut kepada yang selayaknya.

Takut yang Sebenar
Sesungguhnya, ALLAHlah yang paling layak ditakuti oleh sekalian makhluk.

Jika takut kepada ALLAH memenuhi jiwa seorang manusia, ia takkan takut untuk menegakkan kebenaran, takkan takut untuk membetulkan apa yang salah, tak takut untuk menegakkan haknya yang telah dicabuli...

Kerana tiada makrifatullah dalam jiwa-jiwa mereka, maka tindakan mereka juga menjadi tindakan-tindakan yang lemah sehingga akhirnya mereka dengan mudah ditindas.

Jiwa-jiwa yang kosong daripada makrifatullah itu akhirnya diisi oleh bisikan-bisikan jahiliyah yang sangat rapuh. Bisikan yang membisik agar mereka jadi golongan yang hanya mengikuti apa orang kata, tiada pendirian. Bisikan yang menjadikan jiwa mereka longlai dalam perjuangan... Tiada semangat dan kesungguhan untuk mengatasi kelemahan dan kekurangan diri...
Pabila kita tidak berdiri untuk sesuatu prinsip yang teguh, akhirnya kita pasti akan mudah sekali ditumbangkan oleh apa sahaja yang mendatangi kita....

Mencari Makrifatullah
Jiwa-jiwa ini butuh diisi dengan makrifatullah, yang akan membawa jiwanya kepada fitrah dan tujuan sebenar kehadirannya di muka bumi. Makrifatullah, yang akan membawa jiwa itu kepada rindunya... kerana jiwa-jiwa yang lahir ke dunia itu rindu pada Penciptanya... kerana dulu roh jiwa itu berada dekat sekali dengan Penciptanya...
Semoga makrifatullah itu membawa jiwa nan rindu kepada yang dirindui...

Tuntasnya, mari mengisi jiwa dengan makrifatullah kerana makrifah akan membawa diri menuju ketaatan dan ketundukan (islam,insyaALLAH)!
Kerana bimbang jika tidak diisi dengan makrifatullah, terisi pula jiwa-jiwa ini dengan kedurhakaan...


*Jiwa sang perindu yang sedang mencari-cari jalan menuju rindunya...*

Peringatan ALLAH daripada kelas Soc Med

Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Maha Penyayang

InsyaALLAH,fikir dan zikir akan sentiasa mampu membawa kita semakin dekat kepada Yang Maha Pencipta...

Sudah lama berfikir, kini aku harus mulakan semula coretanku.. Semoga kelak ia bermanfaat untuk orang lain dan sebagai peringatan kepada diri sendiri di kala terlupa nanti...

SOCIAL MEDICINE LECTURE

Nasihat daripada sesiapa sahaja
Sudah beberapa sesi lecture dan praktikal yg aku hadiri untuk subjek ni memberikan aku peringatan dan nasihat... Nasihat-nasihat yg meluncur keluar daripada lidah-lidah insan yang belum mengenal islam dan ALLAH (huhu...kena berusaha kenalkan mereka dgn islam dan ALLAH ni!) Betapa peringatan ALLAH itu bisa didapati daripada sesiapa pun...
Maka jangan pernah bersangka buruk kepada orang lain... Letakkan kerendahan hati untuk menerima peringatan daripada sesiapa sahaja...
Moga dengan itu, hati tidak kering mencari-cari peringatan yg disangka hanya dapat diperolehi daripada talk-talk atau bulatan-bulatan kecil (halaqah)...

Tetap pendirian
Minggu lepas, kami berbincang dalam kelas social medicine tentang tajuk 'euthanasia' atau kata mudahnya 'mercy killing'.
Bila kami membincangkan persoalan 'Siapa setuju euthanasia dijadikan suatu yg sah di sisi undang-undang?', aku rasa sangat kagum dengan pendirian seorang rakan. Dia menyatakan ketegasannya bahawa dia sangat-sangat menghargai jiwa (nyawa) manusia. Kita sebagai manusia lain tiada hak langsung untuk memberikan kematian kepada pesakit walaupun mereka mahukan kematian itu segera.

Kala ini, aku teringat...ALLAHlah yang Menghidupkan dan Mematikan...

Jadi, kenyataan yg dikeluarkannya sangat bertepatan dengan aqidah islam!!!

Aku terpukul sendiri kerana aku sendiri tiada pendirian yg kukuh tentang euthanasia ni... sedangkan aqidah islam sepatutnya memberikan aku peringatan tentang ini...

Ya, perbincangan ini bisa saja dilanjutkan lagi dengan merujuk kepada pendapat-pendapat mereka yang lebih ahli...

Cuma, aku terasa sangat diperingatkan tentang ALLAH yg Menghidup dan Mematikan!

ya ALLAH, sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, matiku hanyalah untuk ALLAH, Rabb seluruh alam...

Di pagi jumaat ini, saya ingin mengajak diri dan semua untuk sama-sama memeriahkan penghulu segala hari ni dengan membaca surah AL-Kahfi... mari sama2 hayati maksudnya dan terjemahkan dalam kehidupan seharian...

alhamdulillah, thank you ALLAH for giving me back the strength and feeling to write... missing this feeling for ages... (opss...hyperbolaaa)

^^ Murnikan niat, hanya keranaNYA...teruskan langkah dgn bimbinganNYA ^^

Monday, June 13, 2011

3:110 + 65:2-3

Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Maha Penyayang

Macam-macam cerita kita lalui dalam musim-musim tegang exam ni. Ada cerita gembira yang buatkan kita senyum sampai ke telinga, ada pula cerita duka yang buat kita rasa nak terjun ke sedalam-dalam kerak bumi.

Kala ini kita mencari-cari kekuatan dan motivasi diri. Rupanya, motivasi itu ada dekat dengan kita...Dalam kitab yang mungkin berhabuk ditutupi debu di musim menghadap buku akademik...

Al-Quran Mengajarku
Aku mengulang-ulang bacaanku pada ayat ini; 3:110
"Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah. "

Tatkala ALLAH mengatakan kita umat terbaik, itu tandanya apa? Itu tandanya ALLAH acknowledge kita, mengiktiraf kita sebagai umat terbaik di kalangan manusia. Wow, pengiktirafan daripada Lord of A'lamin (Rabb al-A'lamin)! Bukan calang-calang pengiktirafan...

Ok, point 1 : Kita special!

Bila melihat ayat ini, ALLAH ungkapkan lafaz 'ukhrijat' daripada kata 'kharaja' yang maksudnya berkait kata 'keluar'. (saya bukan expert bahasa arab..tapi kata kharaja ni selalunya maksud dia ialah 'keluar'). Huraian saya seterusnya ini tidak dirujuk kepada mana-mana kitab tafsir, cuma pandangan seorang insan kerdil...
ALLAH mengeluarkan umat islam sebagai umat terbaik. Siapa umat terbaik itu? Kitalah! Yang mengaku beriman & berusaha melaksanakan amar makruf nahi munkar itu....

Di kala ALLAH mengatakan kita 'keluar', saya lihat ia sebagai kata yang bermaksud menampilkan diri di hadapan dunia sebagai golongan terbaik yang mempunyai segala ciri terbaik pada neraca manusia. Plus, ditambah dengan ciri terbaik yang ALLAH gariskan dalam ayat tersebut.

Point 2 : Kita harus cuba keluarkan yang terbaik dari dalam diri kita dengan dimotivasikan oleh keimanan yang lurus kepada ALLAH. Be the best as you can be!
~perlu mujahadah di sini..!!~

So, menghadapi exam ini kita hadapilah dengan usaha sungguh-sungguh sedaya yang kita mampu. Kita ingin jadi yang terbaik di mata ALLAH, yang tak pernah leka dengan usaha kita di kala manusia menafikan hak kita untuk berjaya setelah kita berusaha sedaya kita...Terbaik di mata ALLAH, ganjarannya pasti! Walaupun mungkin masih terlalu jauh...

Kesimpulan 1 : Istimewanya kita di mata ALLAH sebagai umat islam sepatutnya menggerakkan seluruh tubuh dan anggota untuk melakukan yang terbaik dalam setiap benda yang kita lakukan. Special kot...Kenalah jaga standard,kan?

Tawakal Itu Keajaiban Hidup
Ayat 65 : 2-3

"Barangsiapa bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberi rezeki kepadanya tanpa di sangka-sangka. Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkannya.Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu."
(Surah At-Thalaaq: 2 -3)

dada...insyaALLAH.


Setelah kita meletakkan sepenuh usaha kita untuk menjadi yang terbaik di mata ALLAH, kita harus serahkan urusan kita hanya semata-mata kepada ALLAH. Berusaha sekerasnya! Kemudian, lupakan segala penat kita itu! Sandarkan pula harapan kepada yang Maha Menentukan! Jika kita mengingat usaha kita, pasti kita kecewa jika hasil yang ALLAH tentukan tidak seberapa. Sebaliknya jika kita ingat bahawa ALLAH ada rencana terbaik untuk kita dan kita berusaha keranaNYA, tiada kebimbangan dan kerisauan! Langkah akan kita teruskan dengan penuh keyakinan di

Boleh dengar di sini :

That's so amazing! Itulah magiknya tawakal! Hanya yang pernah melaluinya mampu merasakan keajaiban itu! Hanya yang bertawakal mampu mengakui magiknya menyerahkan segala urusan kepada ALLAH...

Jadi, mari berusaha sedaya upaya kita untuk mengeluarkan yang terbaik dari dalam diri! Kemudian, serahkan bulat-bulat kepada ketentuan ALLAH, tawakal sepenuhnya kepada DIA!

p/s : Post terakhir sebelum saya hibernate...iA...semoga bermanfaat untuk diri sendiri dan yang membaca...

Coz We Have ALLAH, so NO WORRIES! =)

^^ Murnikan niat, hanya keranaNYA...teruskan langkah dgn bimbinganNYA ^^

Wednesday, June 8, 2011

Tak Bebas Lagi!

Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Maha Penyayang

Bila menjenguk tetingkap berita-berita dunia yang penuh dengan kisah tunjuk perasaan dan pertempuran, fikiran mula menerawang ke bumi Malaysia yang tercinta. Saat kekecohan di negara lain timbul kerana mahu mempertahankan hak di bumi sendiri, warga Malaysia seolah-olah berlumba-lumba membinasakan diri...

Jelas bahawa kita masih dijajah! Tarikh 7 Jun 1967 melakarkan bagaimana Israel kembali menjajah bumi Palestina!
Dan...hari ini, setelah berlalu 44 tahun umat islam di merata dunia masih lagi dijajah!


Kita masih belum bebas! Belum bebas daripada penguasaan minda oleh tentera-tentera taghut! Belum bebas daripada kuasa militan musuh-musuh Islam! Lalu bagaimana kita mampu berharap Palestin yang kita cintai akan dibebaskan?

Zahir dan batinnya, kita masih lagi dijajah! Belum bebas!

Lihat di sini : http://palestinkini.info/?p=9543

juga di sini : http://english.aljazeera.net/indepth/features/2011/05/201153185927813389.html

dan di sini : http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Ibumenangisanakdihukummati/Article

Jika kita semua masih bisa dijatuhkan oleh segala senjata yang dicipta oleh musuh islam, bila agaknya kita mampu bangkit menentang mereka?
Kenyataan ini harus kita sedari! Bahawa kita masih belum bebas!

Jika kita terus jatuh dan lemah, inilah yang akan mereka lakukan...Impian mereka akan tertunai sedangkan impian mereka itu akan mereka dirikan atas kelemahan dan jatuhnya kita...

Untuk itu, marilah segera bangkit, wahai muslimin! Cari erti sebenar sebuah kebebasan! Dan permulaan kebebasan itu adalah dari dalam diri kita!



p/s : Mari bangkit daripada tidur! Mari sedarkan diri daripada segala khayalan! Kita tak boleh duduk diam selagi kebebasan itu belum kita capai!!!
~pesanan terbesar untuk diri sendiri!~

^^ Murnikan niat, hanya keranaNYA...teruskan langkah dgn bimbinganNYA ^^

Tuesday, June 7, 2011

Omelan Musim Exam

Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Maha Penyayang

Musim peperiksaan yang dilalui oleh para pelajar di Czech Republic menjanjikan pengalaman yang berbeza daripada pelajar di tempat lain.

Apa yang lainnya?


1) Anda boleh memilih tarikh peperiksaan mengikut tahap persediaan anda...atau kata lainnya, anda boleh rancang dan pilih exam mana yang anda ingin buat dulu, yang mana yang ingin dikemudiankan... ~It's good for you to practice your planning skill coz mine is very bad...~

2) Exam utama adalah oral exam...

Walaupun hanya dua ciri yang saya sebutkan, ia meninggalkan banyak kesan kepada kami, sebagai student di sini... Percaya tak?

Kesannya?

1) Kita boleh lewat-lewatkan dan tangguh-tangguh tarikh exam kita...
Ini boleh jadi suatu kebaikan, boleh jadi juga suatu keburukan.
Kebaikan untuk mereka yang ingin bersedia dengan lebih mantap. Dah cuba gunakan masa yang ada sebaiknya tapi still rasa tak cukup bersedia, so withdraw untuk ulang semula revision dan ingat sebanyaknya info...dan nanti akan datang pada tarikh baru dengan lebih berkeyakinan!
Keburukan untuk mereka yang suka bermalas-malasan, tangguh exam sebab tak all out ketika masa banyak dan bila tarikh dah dekat baru perasan tak cukup ready, so withdraw...Akhirnya, dah tiada tarikh, terpaksa buat juga dan kualitinya jawapan tak seberapa...Hanya cukup-cukup untuk lepas je...

2) Kekuatan emosi dan rohani akan sangat-sangat teruji
Bila ada kawan-kawan yang habis exam awal dan anda masih belum selesai dengan satu exam pun, ditambah pula dengan kredit yang masih belum diperoleh (sebelum masuk final exam, kena buat credit test dulu, pre-requisite untuk daftar final exam)...
Mula-mula anda akan akan rasa yakin je untuk teruskan langkah. Senyum semanisnya diukir bila kawan beritahu yang mereka dah lepas exam ni, exam tu... Tapi, dalam hati...
Ada perang yang dahsyat berlangsung dalam hati..Antara bisikan iman yang menyeru untuk bersabar dan bersyukur atas kejayaan teman dan bisikan hawa' yang membisikkan elusan kedengkian dan rasa lemah.
Bukan setakat result kawan-kawan yang ambil exam awal je yang akan affect emosi dan rohani, kepulangan mereka untuk cuti summer akan menambahkan parahnya luka di hati..
Orang lain boleh balik awal dan bertemu keluarga awal tapi kita kena tunggu di Czech untuk habiskan exam, kena menghadap buku....
Faham kan ketensian itu?

3) Untuk oral exam pula, masalah utama ialah examiner...ada examiner yang baik senanglah kita nak lepas...kalau examiner ikut perasaan yang tak stabil, result kita pun mungkin affected...kalau tak lepas, terpaksa repeat...
Kena repeat exam samalah juga macam jatuh...Dah jatuh, nak bangun ke tak? Nak layan sakit ke nak pergi cari ubat untuk disapu atas luka tu...Semua pun akan affect perasaan, emosi dan motivasi diri...

Solusinya?

Jiwa harus kuat!
Kuat berpaut pada tali ALLAH, kuat mengingati ALLAH sebanyak-banyaknya!

Jiwa juga harus sedar, bahawa hidup ini penuh dengan ujian daripada ALLAH.
Ujian ALLAH untuk hambaNYA tak sama..
Tiap-tiap kita akan diuji pada titik lemahnya
Supaya titik lemah itu akan dikuatkan sementelah diuji...

Tak pernah ALLAH datangkan ujian untuk melemahkan hambaNYA
akan tetapi kita hambaNYA lah yang sering membiarkan diri tewas oleh pujukan hawa' dan bisikan syaitan...

Semasa menjawab soalan di hadapan examiner, keyakinan harus total disandarkan kepada ALLAH,
Bukan pada segala nota yang dibaca dan dibuat,
Bukan mengharap ihsan examiner,
Akan tetapi,
Bulatkanlah keyakinan kepada ALLAH semata-mata!
Bahawa DIAlah sebaik-baik pembantu dan pemelihara!
Bahawa dengan kehendakNYA, yang kita tak pernah baca pun kita boleh jawab,
Kerana DIA izinkan ilham menerpa minda kita...

Oleh itu,
yakinlah pada ALLAH!
mulakan langkah mengulangkaji dan memahami ilmu kerana ALLAH!
Teruskan juga,dengan sentiasa memanjatkan doa kepadaNYA!

Lantaran itu,
Mari sucikan jiwa dengan air mata taubat,
Hiasi dahi dengan sujud kesyukuran,
Ukirkan senyum yang lahir daripada hati penuh keikhlasan,
Kerana kita pasti,
Bahawa ALLAH kan selalu bersama kita jika,
Jika kita ingat selalu kepadaNYA,
Jika kita selalu bersih, rohani dan jasmani...



p/s : Semoga bahasa rojak saya tak melanggar kesopanan melayu dan akhlak islamiyah... Bukan mengeluh cuma melontarkan apa yang terfikir di benak...apapun, semua itu harus kita atasi dan sirami dengan keimanan yang benar agar hilanglah segala perasaan buruk dan bisikan-bisikan yang tak sepatutnya...Semoga ALLAH bimbing hati-hati kita menuju redhaNYA setiap masa...

^^ Murnikan niat, hanya keranaNYA...teruskan langkah dgn bimbinganNYA ^^

Saturday, June 4, 2011

Info Ringkas Palestina


Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Maha Penyayang

Peristiwa Nakbah & Gelombang Kebangkitan
15 Mei 1948
Palestin itu tanah yang dijajah. Tebing Barat & Gaza itu sedang dijajah. Ya, mereka ada nama kerajaan mereka namun di situ ada tentera-tentera Israel yang berkawal. Sempadan memasuki wilayah Palestin ini dikawal oleh tentera Israel.

Israel bukan mempertahankan diri kerana diserang oleh roket-roket pejuang Hamas di Gaza, tapi mereka membunuh anak-anak kecil di dahi dan perut! Adakah ini satu tindakan mempertahankan diri?

15 Mei 2011
Pemuda-pemuda melancarkan kempen Intifadha Ketiga yang cuba menyatukan suara dunia Arab untuk melaungkan jeritan membebaskan Palestin daripada cengkaman Israel.

Domino Effect Di Timur Tengah & Masa Depan Perjuangan Palestin
Positif :
1) Regim Hosni Mubarak ditumbangkan
2) Pimpinan baru bersetuju untuk membuka sempadan ke Palestin di Rafah - takkan ditutup
3) Hamas & Fatah mencapai persetujuan damai atas 3 dasar;
a) Palestin adalah negara berdaulat
b) Baitul Maqdis adalah ibu negara
c) Hak rakyat Palestin untuk kembali ke negara mereka tidak boleh dinafikan

Tanggungjawab Kita
Kita berhutang dengan orang Palestin kerana membiarkan mereka berjuang mempertahankan tanah suci umat Islam sendirian, tanpa bantuan senjata dan bekalan peperangan.

1) Tambahkan pengetahuan tentang Palestin
2) Sebarkan pengetahuan tentang Palestin
3) Doakan
4) Mari kita BOIKOT 4! Coca Cola, McD, Loreal & Nestle...

^^ Murnikan niat, hanya keranaNYA...teruskan langkah dgn bimbinganNYA ^^

Friday, June 3, 2011

Hadir Sekali Lagi Rindu Itu

Bicara si adik >>>
'Kak yong balik bila?'
Hujung bulan ni, insyaALLAH
'Nanti kak yong balik, adik peluk tak nak lepas-lepas...'
....

Bicara si anak saudara yang sebaya si adik >>>
'Mak yong, mata mak yong dah besar ke sekarang?'
Kenapa tanya camtu?
'Ye la...mak yong punya mata tu kan selalu sepet...'
'Nanti mak yong masak gulai tempoyak untuk Bila ek?'
....

Hadirnya Rindu Itu Sekali Lagi
Entah kenapa, tika saat pertemuan makin menjelang tiba (insyaALLAH) perasaan itu makin kuat mengetuk jiwa. Sebelum ini, bila berbicara di hujung talian, lidah seringkali kelu. Panggilan hanyalah untuk menunaikan tanggungjawab dan melaporkan keadaan diri kepada ibu bapa yang sebenarnya bertanggungjawab ke atas diri ini..

Si adik pula makin hebat menutur bicara rindu, sedangkan sebelum ini sukar sekali diajak bicara bila panggilan dibuat.

Terima kasih ya ALLAH kerana mendatangkan rindu ini sekarang...Bukan ketika diri ada bebanan tanggungjawab lain yang harus diutamakan...Ya, rindu itu sentiasa ada cuma ia tidak melepasi threshold. Kali ini, rindu itu datang lagi...

Seringkali rindu itu datang, kan? Namun, kesannya berbeza pada setiap kali. (teringat limbic system...) Adakalanya kesannya ialah degupan jantung yang bertambah, terasa seram sejuk di hujung jemari, perut mula rasa tak sedap sehinggakan selera berkurang dan tenaga seolah hilang untuk mengggerakkan otot-otot...Sehingga, kelenjar air mata begitu mudah merembeskan air mata....
Di kala lain pula, rindu itu menjadikan diri semakin bermotivasi...Seolah ada suntikan tenaga untuk menggerakkan tubuh agar yang dirindui dapat dicapai segera (metabolism bertambah kot?)...Rindu yang membuatkan bibir menguntum senyuman..

Dari Mana Datangnya Rindu Itu?
Datangnya rindu itu pula berbeza sebabnya pada setiap kali...cuma yang pastinya, ada memori yang tersingkap semula (hippocampus?) Memori-memori yang berbeza...Keluarga, teman...segala benda yang disayangi dan dihargai bagi diri seseorang itu...
Yang pastinya...DIA sentiasa ada di belakang setiap faktor yang membuatkan kerinduan itu hadir semula.

Ya, DIA sentiasa ada, sentiasa wujud dalam kehidupan kita. Jadi, marilah kita sandarkan segala rindu ini kepadaNYA! Agar rindu itu menjadi rindu yang menggerakkan tubuh. Degup kerinduan itu datangnya daripada kerinduan kepadaNYA lalu menghasilkan amal yang penuh ihsan, dengan satu kesedaran bahawa DIA sentiasa melihat dan mendengar kita. Amal yang terlukis lantaran kerinduan itu ingin dihilangkan segera! Lalu, kita pun berlari-lari dengan kerinduan itu menujuNYA...

insyaALLAH..

ya ALLAH, aku mohon agar tujuanku hanyalah untuk mencari redhaMU dalam apa jua keadaan...

p/s : Adik-adikku sayang, doakan kekandamu...Tak sabar ingin pulang bertemu kalian...Ayahbonda, doakan anakanda...



~ luahan rindu seorang kekanda ~

Friday, May 27, 2011

Siapa Kita?

Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Maha Penyayang

Masih ingat kisah sang singa yang tersesat lalu akhirnya hidup bersama kawanan kijang, melakukan akitivti yang kijang lakukan? Kisah ini adalah simboliknya bagaimana ghazwul fikr (perang pemikiran) yang dilancarkan oleh musuh islam berjaya melemahkan izzah islam dalam jiwa-jiwa muslimin.

Singa adalah raja di rimba, yang kehadirannya digeruni seluruh warga rimba namun akhirnya berlagak seperti sang kijang,yang sepatutnya adalah makanan sang singa. Kukunya yang tajam tak menimbulkan kegerunan, taringnya tidak membuatkan kijang tunduk...
Begitulah umat islam yang dibius dan dicabut izzah islam dari jiwanya.

Lihatlah hari ini.. Siapa bernama muslim, pasti akan jadi sasaran untuk dihapuskan; oleh musuh islam dan tambah menyedihkan bila muslim jadi sasaran muslim juga.
Lihat di bumi Syam, warga Syria disembelih oleh rejim pemerintah yang kejam yang tidak mampu lagi melihat persaudaraan islam. 
Lihat di bumi Asia Tenggara (dekat sekali dengan kita), Myanmar menyaksikan umat Islam Rohingya dibunuh sesuka hati.

...

Apa semua ini?

Kita jadi selesa bermain lumpur sedang kita sepatutnya berada di singgahsana...
Kita tumpulkan tajam senjata kita pada musuh yang paling berbahaya...
Kita hanyut bersama arus yang membawa kebinasaan sedangkan kita sepatutnya adalah penyelamat...
Kita tambahkan kerosakan sedangkan kita sepatutnya menjadi penjaga paling amanah...

Point utamanya ialah : Kita dilupakan siapa diri kita!

Mencari Izzah Yang Palsu
Kita lupa bahawa kita ini hambaNYA (51:56) lalu pabila mencari izzah & kebanggaan, kita cari kebanggaan itu pada benda-benda yang lemah dan rapuh. Sedangkan kita ada faktor izzah tertinggi, iaitu ALLAH!
ALLAH rakamkan dalam surah Fatir, ayat 35 :
'Barangsiapa menghendaki kemuliaan, maka ketahuilah kemuliaan itu semuanya milik ALLAH.'

Pabila racun ghazwul fikr sudah meresapi diri, tiadalah ALLAH di hati! Bukan ALLAH yang beraja di hati! Bukan ALLAH yang dirindui..Bukan syariat ALLAH yang diikuti dan dipelihara..Maka, saat ALLAH diletakkan lebih rendah daripada rasa mulia perkauman, profesion dan yang sewaktu dengannya, itulah saat kita meletakkan kemuliaan diri pada tahap terendah.

Pengiktirafan Yang Diabaikan
Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, (kerana kamu) menyeru kepada kebaikan dan mencegah dari yang mungkar dan beriman kepada ALLAH.
3:110

Sekali lagi, pengiktirafan ini kita lupakan! Jangan berbangga hanya dengan bahagian awal ayat tersebut sahaja, kerana kemuliaan itu ada syaratnya. Cuba lihat & fikirkan, adakah umat yang hilang izzah pada islam, terhakis imannya dek maksiat yang dilakukan akan berusaha mengajak kepada kebaikan & mencegah yang mungkar? Sedangkan, itulah sebab pengiktirafan ALLAH kepada umat islam.

Ini neraca pengiktirafan ALLAH yang pastinya KPI nya adalah KPI yang tinggi. Kita akan seringkali mengeluarkan alasan, susah untuk beramar makruf nahi munkar...Ya, ia susah bilamana hati kita ada cinta lain, selain cinta kepada ALLAH...cinta kepada korean movie, hero/in hindustan yang kita minati, fesyen barat yang kita kagumi (yang tak menjaga batas aurat) dan segala perkara lagha yang buat kita jauh daripada mengingati ALLAH.

Yakini Masa Depan Islam
Sebenarnya tamadun barat yang diagungkan oleh ramai orang sedang berada di tepi jurang kebinasaan & keruntuhan. Bangunan mereka hebat, teknologi mereka maju namun bukankah roh masyarakat sudah begitu menghilang...
Mungkin ada yang berkata, kes-kes keruntuhan akhlak di Malaysia bahkan lebih buruk daripada negara-negara maju (barat).
Apa acuan negara kita? Islamkah? Bukankah acuan barat yang diikuti...
Negara kita yang memang masih baru membangun, tampak lebih buruk daripada acuan yang diikuti...Kerana kita memang masih merangkak...
Dan satu lagi, kerana sikap kita sendiri kepada islam yang kita anuti..Islam yang sepatutnya mengangkat kita menjadi masyarakat paling harmoni telah dicampak ke belakang dalam kamus hidup masyarakat. Islam hanya pada ibadah tapi tidak pada muamalat...Muamalat acuan lain lebih diyakini...lalu pincanglah masyarakat...

Itu sisi gelap masyarakat islam...

Bila sejarah kegemilangan islam diputar dan dibandingkan dengan realiti dunia hari ini, kita muslim harus lebih-lebih meyakini bahawa islamlah harus memimpin dunia!
Bukan islam yang ditampal pada segala keburukan jahiliyah tetapi islam yang syumul dan asli.

Mengapa?
Kerana Islam akan mengembalikan manusia kepada kemanusiaan melalui 'islamic worldview'. Apakah itu islamic worldview (cara pandang dunia yang islami)?
Islamic worldview itu terkandung padat dalam sebuah surah lazim yang sering dibaca iaitu surah al-ikhlas!

Tauhid ; islamic worldview yang menyembuhkan
Surah pendek ini membawa mesej bahawa hanya arahan ALLAH yang akan kita ikuti dan patuhi, hanya larangan ALLAH yang kita akan tinggalkan dan jauhi, segalanya HANYA untuk ALLAH! Pemikiran, tingkah laku, perbuatan, urusan kehidupan semuanya kita lakukan dengan SENTIASA MENGINGATI &a MENTAATI ALLAH. HANYA ALLAH yang menjadi faktor gembira, sedih...
Segala perasaan kita lahir sebagaimana yang ALLAH mahukan..

Lalu, membuahlah seruan kepada seluruh manusia hanya untuk mengesakan ALLAH. Kerana al-ikhlas itu maksudnya ialah 'the purity', segalanya hanya jadi milik 'the purity'...Keagungan, kebesaran, kebijaksanaan, keadilan & keperkasaan HANYA milik ALLAH.

DIA memiliki segala sifat kesempurnaan...Jadi, berpaut padanya ketika senang dan susah akan sentiasa memberikan kita kesempurnaan... Sebutkan segala kesempurnaan yang diimpikan insan; bahagia, tenang, mudah, etc...Semuanya mampu ALLAH berikan! Jadi, hidup kita akan sempurna bila kita benar-benar meletakkan ALLAH SATU-SATUnya dalam dada,hati dan jiwa...Jika HANYA ALLAH yang menjadi faktor penentu keputusan yang kita pilih. Kerana DIA tak pernah menyuruh hambaNYA meletakkan diri ke dalam kebinasaan...

Kesimpulan
Umat islam hari ini sedang cedera teruk akibat serangan musuh islam. Tapi, tanpa sedar kita telah dibius sehingga sakit itu tak kita rasai...
Umat islam hari ini sedang dikijangkan...
Kita harus bangkit, membebaskan diri daripada segala ikatan-ikatan jahiliyah ini dan berpaut pada tali ALLAH yang kukuh (2:256) dengan membetulkan semula pandangan kita terhadap kehidupan..Reset ia dengan jarum tauhid dan ihsan!
Kerana kita ada misi besar!
Misi memimpin dunia yang sedang porak peranda...

^^ Murnikan niat, hanya keranaNYA...teruskan langkah dgn bimbinganNYA ^^

Thursday, May 26, 2011

Kenapa Menulis


Dengan nama ALLAH yang Maha Pengasih Maha Penyayang

Kenapa ingin menulis?
Mungkin entry ini sepatutnya jadi entry pertamaku. Namun kucoretkan tulisan kali ini sebagai satu muhasabah buat diri sendiri dan semoga ia mampu menjadi motivasi kepada orang lain yang sedang mencari-cari jawapan.

Pabila ingin berbicara tentang soalan di atas, satu perkara yang harus tersemat kukuh dalam pemikiran kita ialah kita harus sentiasa memelihara niat kita. Niat kita akan menjadi penentu diterimanya amalan kita oleh ALLAH SWT atau ia hanya akan menjadi seperti debu-debu berterbangan, sia-sia. Niat kita di awal perjalanan akan menjadi penentu di mana akhirnya kita. Niat kita juga akan menentukan sama ada kita akan terus kukuh melaksanakan apa yang kita buat walaupun diuji di pertengahan jalan.

Teringat satu ketika, bila seseorang cuba memujuk daku untuk menulis blog. Aku katakan padanya aku takut tak mampu memberi komitmen untuk selalu 'up-date' entry baru secara konsisten. Tambahan pula, aku rasakan ada cabaran untuk belajar segala kerenah teknologi (design, url, etc...dan segala istilah yang tak kufahami).

Setelah beberapa lama, akhirnya perasaan itu datang sendiri...Perasaan ingin berkongsi...Terlupa aku di mana titik mulanya. Seingatku, kata-kata seorang kakak telah membuatkan aku berfikir panjang mengenai idea memiliki blog sendiri. Sukar untukku ungkapkan semula kata-katanya. Namun, satu yang pasti ialah kata-katanya telah membuatku bertekad untuk membuat blog. Apa yang dikatakannya adalah pesan sang murabbi kepadanya, bahawa tulisan itu mungkin boleh jadi medium yang berkekalan untuk mesej tentang islam itu sampai kepada manusia.
Lantaran perasaan ingin berkongsi Islam yang indah ini dengan seluruh manusia, aku mula merasakan blogging adalah satu cara yang bagus!

Nak tulis apa?
Aaah...pening juga nak fikir apa yang patut ditulis. Sesungguhnya pernah sahaja perasaan rendah diri menguasai diri pabila membaca karya-karya bloggers yang hebat, yang patah katanya begitu menyentuh hati, yang bahasanya begitu indah disusun.
Tapi, kerana hati sudah bulat aku teruskan langkah membuat blogku sendiri. Aku tuliskan sedikit refleksiku pada apa yang daku perhatikan dan perasaan hatiku terhadapnya. Terasa begitu keanak-anakan sekali namun aku teruskan sahaja...Banyak entryku yang berbentuk luahan hatiku dan aku cuba untuk menyampaikan islam daripadanya.

Setelah beberapa ketika, (setelah beberapa lama tak update entry baru...layout yang tak menarik etc) aku ambil keputusan untuk buka blog baru. Hajatku, ia bakal menjadi blog yang lebih matang walaupun aku sendiri masih tak dapat membayangkan apa yang matangnya. Dari masa ke masa, aku teruskan melihat-lihat blog-blog yang kurasakan matang,yang kukagumi tulisannya.

Ia telah membuka mataku bahawa untuk aku menulis dengan lebih baik, bacaanku harus ditambah! Terasa saja, blogku begitu sempit ruang lingkupnya...Hanya sekitar pengalaman-pengalaman diri, jarang sekali aku membicarakan tentang isu-isu semasa...Ya, aku tahu aku tak bicarakan isu semasa kerana aku takut melontarkan pandanganku. Ini pasti bukan sebab lain, kerana diri sendiri kurang membaca lalu tak tahu apa yang ingin diulas.
Aku sendiri merasakannya, bila kutambah bahan bacaanku idea untukku menulis makin bertambah (walaupun masih belum banyak tulisan-tulisan matang yang kuhasilkan). Sangatlah benar firmanNYA agar kita jadi umat yang membaca seperti dalam wahyu pertama kepada Rasulullah SAW tercinta. Surah al-Qalam pula memberikan daku satu lagi dos keyakinan kerana dalam ayat kedua, ALLAH bersumpah dengan pena dan apa yang tertulis...

Alhamdulillah, dengan memahami ayat-ayat ALLAH aku rasakan keyakinanku untuk terus menghidupkan blogku sentiasa ada. Walaupun mungkin tak ramai yang membaca, sekurang-kurangnya yang membaca akan mendapat manfaat. Aku juga yakin, kita harus menambahkan bilangan blog-blog yang mampu merealisasikan ummah yang saling menasihati dan mengingatkan sebagaimana yang dianjurkan olehNYA dalam Surah Al-Asr dan hadis baginda SAW (baca : hadits 7 - agama adalah nasihat).

Kita adalah umat yang dianjurkan untuk membaca dan menulis. Kesan kedua-dua medium ilmu ini memang luar biasa sebenarnya. Medan dakwah ilallah (kepada ALLAH) yang begitu berkesan sekali (walaupun ada yang memang tak suka membaca..). Masihku ingat, bagaimana tulisan-tulisan menjadi medium menyampaikan mesej-mesej untuk bangkit memperjuangkan kemerdekaan di tanah air kita, Malaysia. Bahkan, Al-Quran sendiri turun sebagai sebuah kitab untuk bacaan.

Media penulisan ini harus kita kuasai! Betapa banyak penulisan-penulisan oleh mereka yang memburukkan Islam sehingga memberi pandangan buruk terhadap islam. Siapa yang akan melawan atau membetulkan kembali pandangan yang salah ini? Bukankah sepatutnya mereka yang memahami dan merasai indahnya islam yang mampu berbuat demikian? Takkanlah seorang yang tidak mengenali islam pula kita harapkan untuk menjadi pembelanya.

Blog Hina Islam
Baru-baru ini aku dikejutkan dengan berita wujudnya sebuah blog yang menghina islam dengan kata-kata yang super-duper kesat kepada islam..bukan pada ajaran islam sahaja tapi kepada Raja sekalian alam, ALLAH dan rasul pembawa rahmat ke seluruh alam, Muhammad SAW. Kesat sekali bahasanya, kasar sekali gelaran-gelaran yang diberi. Sedih hati membacanya. Namun, sedih juga hatiku melihat insan-insan yang komen untuk membela islam dan menyuruh penulis berhenti berkarya sebegitu. Yang kasar dibalas kasar...

Tidak begitu islam mengajarkan kita. Islam mengajar kita untuk menghadapi tohmahan dengan hikmah dan kesabaran. Baginda SAW sentiasa menggunakan perkataan yang baik dalam hubungan baginda dengan golongan yang diseru, begitu jugalah yang sepatutnya kita lakukan. Ya, memang sangat marah dengan ungkapan-ungkapan si penulis namun kita harus terus berpegang dengan akhlak islamiyah yang dibawa oleh baginda SAW. Diam tidak bermakna kalah, kan? Berundur bukan bererti lemah, kan? Balaslah ungkapan-ungkapan buruknya dengan kata-kata hikmah yang melembutkan jiwa. Dalam hati manusia yang keras, masih ada sedikit fitrah, bukan? Cungkil dan cuitlah fitrahnya itu dengan kelembutan bahasa kita...Dakwah itu indah dan seni. Ia mampu dilaksanakan di mana sahaja, bahkan dalam penulisan kita...

Seruanku
Wahai hati-hati yang menyayangi islam, marilah kita berkarya! Kerana islam dan dakwah itu adalah seni! manfaatkanlah segala potensi seni dalam diri kita untuk menyebarkan yang benar tentang islam. Islam itu ajaran ALLAH yang benar dan ia perlukan pendukungnya... Pendukung yang akan mempersembahkan islam yang benar dan sebenar kepada mata dunia.

Lantas, hargai setiap medium yang ada untuk islam itu disebarkan. Sedikit kefahaman kita tentang keindahan islam itu berhak diketahui juga oleh orang lain. Mungkin kita tak pandai menyampaikannya melalui lisan kita kerana berteraburnya tatabahasa kita etc, tapi kita masih boleh menulis. Jika tak mampu untuk menulis, mungkin dengan menghasilkan video-video...

Lihat dunia hari ini, media paling terkenal ialah internet! Media ini harus kita kuasai kerana jika tidak dikuasai oleh umat islam, musuh-musuh islam mampu melakukan apa sahaja untuk berkata buruk tentang islam tanpa ada karya lain yang menerangkan indahnya islam. Filem-filem yang memenuhi Youtube adalah filem-filem yang merosakkan iman dan ditonton oleh majoriti umat islam. Kita harus berkarya untuk membantu saudara-saudara kita yang seolah-olah tertipu dengan kehendak dan nafsu... Kita boleh hidup tanpa hiburan yang merosakkan iman. Namun, mereka yang sukakan hiburan perlu dibawa meninggalkan hiburan dengan memberi alternatif lain. Rupanya seperti suatu yang menghiburkan tapi isinya berisi penuh dengan peringatan untuk mengingati dan tunduk kepada ALLAH.

Mari berkarya untuk ISLAM!

p/s : Dalam usaha untuk mematangkan penulisan dan berhajat untuk menulis dalam bahasa inggeris...doakan!

Monday, May 16, 2011

Tunggu Sampai Seru?

Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Maha Penyayang

Islam ialah ketundukan sepenuhnya kepada segala perintah ALLAH swt. Dalam kita mengimpikan untuk membina ketundukan dan penyerahan yang total kepada ALLAH itu, kita memang takkan terlepas daripada suatu sesi iaitu sesi melatih diri! Melatih, mengajar dan mendidik diri untuk menjadi hambaNYA yang benar-benar tunduk.

Kelihatannya seperti susah untuk menjadi hamba yang benar-benar taat jika dinisbahkan kepada suatu latihan. Mungkin apa yang terbayang di fikiran ialah bagaimana askar-askar dan tentera dilatih. Latihan yang dilalui semuanya keras-keras dan payah, perlukan banyak tenaga dan kekuatan jiwa.

Ya, memang susah bila kita memilih untuk menanamkan islam ke dalam diri dengan latihan. Ada satu lagi cara yang bunyinya lebih mudah tapi, harus diingat bahawa latihan ini memang suatu elemen yang kita perlukan dalam membentuk ketaatan dan ketundukan sebenar kepada ALLAH.

Cara lain untuk membina ketundukan itu ialah dengan membina perasaan; iaitu menyuburkan cinta yang sebenar kepada ALLAH.

Jika seorang kekasih itu dirindui, maka tanamkanlah dalam hati rasa rindu yang tak pernah padam kepada pertemuan dengan ILAHI.
Jika seorang kekasih itu kata-katanya sentiasa jadi azimat & suatu yang akan diikuti, maka berpegang teguhlah dengan kalamullah, al-Quran al-kareem dan zahirkan ajaran dalam al-Quran itu kepada kehidupan kita seharian.
Jika seorang kekasih itu hatinya akan sentiasa dijaga daripada dilukai, maka haruslah kita berusaha agar tiada tingkah dan ucapan kita mengundang murka ALLAH..
Jika seorang kekasih itu apa yang tidak disukainya akan dihindari, maka hindarilah apa yang boleh membuat ALLAH tak suka pada kita..
Jika seorang kekasih itu adalah insan yang selalu diingati dan terbayang-bayang di layar fikiran, maka ALLAH haruslah sentiasa diingati sehingga timbul perasaan bahawa kita tak pernah mampu membawa diri jauh daripada ingatan dan ikatan hati kepadaNYA.

Semua ini adalah mengenai perasaan...

"Aaahh, apa perasaan-perasaan ni! Aku tak layan benda-benda lembik begini.."

Mungkin ada saja yang pernah berfikir seperti itu. Tanpa disedari, faktor perasaan ini sentiasa mendominasi kehidupan seorang manusia, faktor yang menjadi penyebab terkuat dalam penilaian dan ketika kita mengambil keputusan.

Kesimpulannya,
Carilah zouq itu! Perasaan itu! Zouq utk hidup dengan islam yang sebenar, seperti yang ALLAH mahu.

Dengan perasaan aka zouq itu, maka kita akan tunduk kepadaNYA dengan suatu ketundukan yang luar biasa. Bukan ketundukan yang dipaksa atau disuruh-suruh, sebaliknya lahir dengan suatu kesedaran.

Jangan hanya menunggu tiba masanya kita dikurniakan zouq itu...Berusahalah mendapatkannya! Sebagaimana kita berusaha bersungguh-sungguh untuk membuat insan yang kita cintai sudi menerima dan membalas cinta kita, marilah kita berusaha mencari zouq itu...

Zouq untuk rasa malu melakukan apa yang ALLAH murkai,
Zouq untuk rasa sabar terhadap segala kerenah manusia yang kita temui,
Zouq untuk rasa bersungguh-sungguh ingin menginfaqkan harta dan jiwa raga untuk agama ALLAH,
Zouq untuk rasa ingin mengekalkan ketaatan dan istiqamah dalam amalan..
...dan banyak lagi..

Dalam kita cuba menanamkan akhlak islam ke dalam diri, mari kita tanamkan zouq untuk menghayati akhlak itu supaya ALLAH hilangkan rasa malas atau lemah untuk mengekalkan akhlak mulia itu.


^^ Murnikan niat, hanya keranaNYA...teruskan langkah dgn bimbinganNYA ^^

Sunday, May 15, 2011

Up-grade Marketing

Dengan Nama ALLAH yang Maha Pengasih Maha Penyayang

Adakalanya pabila kita bergelumang dalam medan da'wah dan tarbiyah, kita terasa seolah diri kita dibentuk untuk menjadi orang-orang yang sama acuan sehingga ada orang boleh menggelarkan kita 'geng budak usrah' atau 'geng tudung saji' etc.

Bahkan adakalanya dalam diri kita sendiri, pabila menghadiri suatu program kita merasakan bahawa kita sedang diacu untuk menjadi dan berfikir seperti si penyampai. Pada gayanya, pada cara cakapnya, pada cara fikirnya...

Mungkin juga kita merasakan bahawa da'wah dan tarbiyah ini hanya mengajar kita untuk menjadi penyampai bahan (tafsir, tentang ghazwul fikr etc) atau menjadi seorang naqib yang boleh membawa usrah. Sehingga suatu masa kita merasakan tarbiyah ini tidak membawa kita ke mana-mana, tidak mengembangkan potensi kita, tidak meningkatkan kemampuan dan penguasaan kita terhadap dunia yang semakin maju.

Dalam merancang untuk program da'wah pula, kita rasakan kita harus mengikut templat senior kita ;

'Kak buat macam mana ek dulu? ooo, kami buat camtu je la ek...'

Adakalanya kita takut untuk mengorak langkah mencipta cara baru untuk kebaikan da'wah ini sedangkan minda seringkali memikirkan idea yang boom.

Cuba kita lihat bagaimana orang lain bekerja. Seringkali, yang mereka fikirkan adalah untuk menghasilkan suatu yang sungguh 'gempak' & hebat. Mereka akan berusaha sepenuh tenaga untuk menghasilkan sesuatu yang luar biasa agar ramai orang akan tertarik dengan apa yang mereka tawarkan.

Bahkan, kita ada tawaran yang jauh lebih baik daripada mereka. Namun kerana 'packaging' yang kurang menarik dan tiada unique selling point (USP) yang meyakinkan, akhirnya promosi kita jadi begitu hambar & tawar sehingga yang berminat untuk mendekati kita begitu sedikit.

Ini adalah kekurangan tapi tak bermakna kita harus bersedih dengan kesilapan dan kekurangan ini sebaliknya kita masih punya ruang & peluang yang terbentang untuk kita baiki selagi nafas masih di dada, selagi hati kita masih teguh meyakini kemenangan yang akan dicapai. Settle bab meyakini kemenangan ke atas Islam dan da'wah islamiyah, maka harus kita susun langkah kita untuk berusaha merealisasikan keyakinan dan impian kita (islam tertegak di muka bumi ini).

FIKIR & ANALISA
Mari kita lihat sekeliling. Berfikir & terus berfikir serta menganalisa untuk memahami keperluan ummah. Lihat setiap diri di sekitar dan fikirkanlah bagaimana islam mampu menembusi hatinya sehingga dia kelak akan menjadi pejuang deen ini. Tancapkan ke dalam hati satu keyakinan bahawa insan di hadapan kita ini akan menjadi pembela agama ALLAH kelak. Dengan kata lain, impikan dia sebagai rijal!

Apa yang menjadi tumpuan dan tarikan manusia hari ini? Ini harus kita gali dan kaji bersama.

Antara yang makin mendapat tempat di hati masyarakat ialah media dan teknologi maklumat. Hari ini, internet makin hebat menawarkan laman web sosial (facebook, twitter etc). Lihat sahaja bagaimana anak-anak kecil yang masih bersekolah rendah pun memiliki akaun facebook. Apa yang ada dalam facebook? Segala macam aplikasi yang jika dilihat, tak membangunkan potensi tetapi akan membuatkan kita menghabiskan masa berjam-jam menghadap laptop atau komputer hanya untuk melayan aplikasi yang melekakan itu. Mungkin ada sedikit nilai pendidikan dan mengasah skil tapi ke mana akhirnya skil ini akan dimanfaatkan? Sedang dalam masa yang sama, segala komen-komen dan gambar-gambar yang merosakkan hati dengan mudahnya dapat dibaca dan ditonton. Lantaran itu, kita lihat media hari ini memang berjaya merosakkan hati dan iman para pemuda (generasi muda terutamanya) sehingga mereka kemudian menjadi tentera penyebar pemikiran yang salah. Seperti pandemic yang disebarluas hanya dengan satu klik di hujung jari.
Mereka adalah mangsa keadaan, tidak sedar bahawa mereka telah direkrut untuk menjadi tentera penyebar virus yang merosakkan,melemahkan diri dan ummah, jadi jangan salahkan mereka.
Apa yang terjadi ini adalah kerana kita yang sudah memahami dan tahu tidak menyampaikan kesedaran itu kepada mereka yang terperangkap dalam jerat musuh ALLAH. (fuhh...berat ni...refleksi diriku!)

Lalu, apa yang harus kita lakukan?
Mari kita cari kelebihan dan kemampuan diri untuk dimanfaatkan semaksimanya demi menegakkan deen ALLAH dan menyampaikan kesedaran yang kita rasai kepada orang lain! Jika dilihat, ada keperluan bagi kita untuk sama-sama menguasai media & teknologi maklumat. Perlengkapkan diri dengan kemahiran tentang komputer dan internet serta segala aplikasi yang disediakan (blogger, netlog, rapidshare, vimeo dan banyak lagi). Sediakan diri untuk sentiasa belajar ilmu baru, jangan pernah rasa cukup dengan segala kemahiran yang sudah kita kuasai. Jelajahi(explore) dunia ini dan carilah ruang untuk kita belajar agar apa yang kita pelajari mampu membawa insan dekat kepada ALLAH.

Medan da'wah ini adalah seluruh dunia!
Luruskan niat dan sentiasalah berdoa kepadaNYA agar bimbinganNYA mengiringi pengembaraan kita ini!
Mari kita sama-sama up-grade marketing da'wah kita!


Putih & Aku

Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Maha Penyayang

Semasa praktikal Basic Patient Care di Fakultni Nemocnice, Olomouc kami dikehendaki untuk memakai satu suit putih (baju, seluar, tudung, kasut). Sebelum ni hanya melihat lecturer & pekerja di fakulti memakai pakaian serba putih. Bila diri sendiri yang memakai, terasa seperti diri yang baru...rasa lebih suci... (^_^)

Tiba-tiba, teringat hadis yang pernah kubaca;

Dari Ibnu Abbas r.a bahawasanya Rasulullah SAW bersabda;
"Kenakanlah yang berwarna putih dari pakaian-pakaianmu itu kerana sesungguhnya yang putih itu adalah yang terbaik di antara pakaian-pakaianmu, juga berikanlah kafan orang-orang yang mati dari engkau semua dengan kain yang berwarna putih."

(Bab 117; Riyadhus Salihin, Imam Nawawi)


alhamdulillah, bersyukur ke hadrat ILAHI kerana menunjukkan saya jalan ini..jalan menjadi seorang doktor! Teringat apa yang pernahku baca di blog seorang sahabat. Dia ditanya kenapa memilih doktor sebagai profesion. Lalu dia menjawab, menjadi seorang doktor dapat mendekatkan dirinya dengan ALLAH.

Bilaku baca hadis ini dan melaksanakan praktikal dengan pakaian putih itu, aku mula merasakan bagaimana profesion yangku pilih ini sedang mendekatkanku kepada mengingatiNYA dan melaksanakan sunnah baginda SAW.

Semoga ALLAH kuatkan diri ini untuk mencapai kepakaran dalam profesion ini.

^^ Murnikan niat, hanya keranaNYA...teruskan langkah dgn bimbinganNYA ^^

Tuesday, May 10, 2011

Interaksi Denganmu ; Al-Quran

Dengan nama ALLAH yang Maha Pengasih Maha Penyayang

Setiap hari dalam solat lima waktu yang kita kerjakan, kita pasti akan membaca 7 ayat yang nilainya sungguh tinggi yang terkandung dalam surah al-fatihah. Dalam salah satu ayatnya, terkandung satu permohonan doa hamba kepada Rabbnya agar ditunjukkan jalan yang lurus (shirothol mustaqeem).

Hidup kita memerlukan panduan agar kita mampu hidup sebaik-baiknya di atas dunia ini. Agar hadirnya kita di atas dunia ini mampu memberi manfaat yang sewajarnya utk diri sendiri & orang serta makhluk lain. Kita perlukan undang-undang untuk menuntun kita menjalani kehidupan mengikut caranya, agar keharmonian masyarakat dan diri dapat dicapai.

ALLAH, pencipta manusia dan sekalian alam telah menurunkan panduan & manual terbaik untuk manusia sebagaimana firmannya;

'Al-Quran itu adalah kitab yg tiada keraguan (padanya).' (2:2)


Al-Quran : bacaan wajib setiap hari





Sungguh, tiada keraguan padanya! Sehebat mana manusia tentera taghut cuba menafikan kebenaran yang dikandungi al-Quran, takkan mampu menggoyahkan kebenaran yang diturunkan oleh ALLAH al-Haq. Lantas, di situ bererti kita sebagai muslim yg meyakini al-Quran sebagai panduan hidup kita harus berpegang teguh dengan kebenaran yang terkandung di dalamnya.

Manusia hari ini jauh daripada al-Quran. al-Quran itu hanya untuk dibaca dalam majlis khatam al-Quran pada penghujung Ramadhan atau bagi anak-anak yang berjaya menghabiskan pengajian al-Quran di sekolah agama. Hanya enak didendangkan di majlis tilawah al-Quran peringkat antarabangsa atau dialunkan sang qari' di pembukaan majlis-majlis rasmi.

Jelas sekali, interaksi muslimin hari ini dengan al-Quran begitu berbeza dengan interaksi generasi sahabat. Bagaimana seharusnya kita berinteraksi dengan al-Quran?

Bagi para sahabat yang begitu dekat dengan baginda Rasulullah SAW, baginda telah mendidik mereka agar hanya mengambil al-Quran sebagai manual atau panduan untuk mereka melaksanakan segala urusan. Ini dapat dilihat bagaimana Baginda SAW merah padam tatkala melihat Umar takjub dengan Taurat yang dibacanya.

'Sekiranya Isa a.s masih hidup sekarang, pastinya dia akan menjadi pengikutku.

~ Suatu ungkapan yang cukup besar untuk menggambarkan betapa pentingnya menjadikan al-Quran semata-mata panduan kehidupan.~


5 CARA INTERAKSI DENGAN AL-QURAN
















Leburkan al-Quran ke dalam diri

1) Menghadirkan hati

Hati adalah alat utama untuk kita memahami ayat-ayat al-Quran. Jika al-Quran itu turun untuk memenuhi keperluan akal manusia, bukankah agak tidak adil untuk mereka yang kurang kemampuan akalnya. Hati adalah raja yang menentukan perbuatan manusia & sekiranya hati ini dipenuhi dengan hidayah al-Quran pastinya akan sejahtera kehidupan manusia & alam. Sedangkan seorang raja dan pemerintah memerlukan penasihat, pastilah hati kita memerlukan bimbingan yang terbaik. Bimbingan yang terbaik itu hanya mampu diberi oleh al-Quran, manual terbaik yang diturunkan oleh Rabbul a'lamin.

2) Merasakan setiap ayat al-Quran adalah untuk diri sendiri

Pelbagai cara ALLAH tujukan ayat & peringatan dalam al-Quran. Adakalanya ALLAH tujukan kepada orang-orang beriman (wahai orang-orang beriman), ada yang ditujukan umum kepada manusia seluruhnya (wahai sekalian manusia) dan ada ayat-ayat berupa ancaman kepada manusia yang kufur & fasiq. Jika kita sudah merasakan dalam hati kita ada iman, mungkin saja kita tidak terasa dengan ayat-ayat ALLAH yang menyebut tentang orang-orang kafir. Namun, persepsi ini harus kita betulkan kerana kita mungkin saja tidak terlepas daripada sikap-sikap kafirun yang ALLAH ceritakan. Rasailah bahawa tiap-tiap kalimat ILAHI dalam al-Quran itu untuk kita agar apa yang dibaca itu mampu membuahkan amal dalam kehidupan kita.

3) Faham bahasa Arab

'Sesungguhnya Kami menurunkannya berupa al-Quran berbahasa Arab, agar kamu mengerti.' (12:2)

al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab, bahasa terbaik yang mampu menerangkan sesuatu dengan penerangan yang paling tepat. Sekiranya erti katanya difahami secara mendalam, pasti ia akan memberi suatu kefahaman yang lebih meluhur & mendalam. Bahkan ia mampu memberi kesan kepada jiwa dan tindakan. Dan sememangnya al-Quran itu ayat-ayatnya bertujuan untuk menggerakkan jiwa dan anggota untuk mentaati ALLAH.

4) Mengetahui asbabun nuzul (sebab turun)

Jika kita tahu sebab turunnya ayat itu, barulah kita semua mampu memahami dan menghargai susunan ayat-ayat dalam Quran. Adakalanya kita lihat perkara berbeza dalam satu ayat dan itu hanya dapat dijelaskan jika kita mengetahui sebab turunnya ayat itu. Bahkan peristiwa yang berlaku hingga menjadi sebab turunnya ayat itu akan memberikan kita pengajaran yang lebih berkesan dalam kita mempraktikkan ayat-ayat ALLAH dalam kehidupan seharian.

5) Mempunyai pengetahuan tentang sirah

Sejarah baginda SAW penting untuk diketahui dengan mendalam supaya kita bisa memahami suasana masyarakat ketika turunnya wahyu ALLAH kepada utusan terakhir, Rasulullah SAW. Mengetahui asbabun nuzul sahaja tidak mencukupi untuk kita memahami tentang masyarakat dan latar masa turunnya sesuatu ayat.

InsyaALLAH, ini serba sedikit cara untuk kita berinteraksi dengan al-Quran selain kita menjaga adab-adab terhadap al-Quran. Selalunya kita terlupa perkara-perkara di atas dalam usaha untuk menghargai dan memahami al-Quran.
Wallahu a'lam.

^^ Murnikan niat, hanya keranaNYA...teruskan langkah dgn bimbinganNYA ^^